Topik Berfokus: Proses Pertaubatan (Bahagian 2) - Bagaimana?
(a) Ubah Fikiran Tentang Dosa Dan Perbenaran Saya
Perkara pertama di dalam proses pertaubatan ialah kita mesti ubah fikiran kita tentang dosa dan perbenaran kita. Satu perkara yang boleh menyebabkan orang Kristian dibelenggu oleh dosa ialah kerana mereka telah mendengar amaran tentang dosa begitu kerap sehingga mereka telah lali tentang betapa jijiknya dosa-dosa itu kepada Allah yang Maha Suci. Dalam keadaan begini mereka tidak lagi begitu berjaga-jaga akan dosa dan godaan yang dihadapinya. Malah mereka mula menerima dosa-dosa itu sebagai perkara yang biasa.
Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa peka betapa jijiknya dosa kita:
6Kami semua seperti orang bernajis,
dan segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar.
Kami semua layu seperti daun,
dan kesalahan-kesalahan kami menerbangkan kami seperti angin. (Yesaya 64:6, AVB)
Ayat ini memberi persepsi Allah tentang kita - kita semua seperti orang bernajis! Semua dosa kita seakan-akan seperti najis yang busuk dan menjijikkan. Bukan sahaja itu malah “segala kebenaran kita seperti kain yang tercemar!” Wah, semua kerja baik kita pun tidak mencapai standard kemuliaan Allah (Roma 3:23). Kalaulah kita tidak diberi kasih kurnia melalui Tuhan Yesus, memang jahanamlah kita!
Jika kita semakin mendekati Allah yang Maha Suci, maka kita akan rasa betapa kotornya kita. Kita akan insaf bahawa Allah tidak tahan melihat dosa dan menentang semua dosa dengan kita dengan sekeras-kerasnya. Semakin tinggi pandangan kita tentang Allah yang suci maka, semakin rendah pandangan kita terhadap diri kita yang penuh dengan dosa.
“Bertaubat” datang daripada perkataan “metanoia” (bahasa Yunani). “Meta” bermaksud “ubah” atau “selepas”. “Noia” bererti “fikiran”. Maka, apabila digabungkan kedua-dua perkataan ini, “metanoia” bermaksud “berfikir semula cara hidup saya.” Kita berfikir semula cara hidup kita sesuai dengan apa yang diwahyukan di dalam firman Tuhan.
Maka, kita perlu ubah fikiran kita tentang dosa dan perbenaran kita. Jika kita mengukur seluruh hidup kita dengan standard Allah yang begitu tinggi seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya, sudah tentu kita akan dapati kita tidak mencapainya. Begitulah dinyatakan analisis dan kesimpulan ini di dalam firman Tuhan:
23Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. (Roma 3:23)
Jadi, apakah penyelesaiannya bagi dilema kita ini? Penyelesaiannya tidak terdapat di dalam diri kita, tetapi di dalam Yesus Kristus yang telah diutus bagi penyelamatan kita:
3Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Kristus Yesus, dan tidak mengharapkan hal lahiriah – 4walaupun aku sendiri ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah. Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, aku lebih lagi. 5Aku disunatkan ketika berumur lapan hari, berbangsa Israel, daripada suku Benyamin, seorang Ibrani keturunan orang Ibrani; dalam hal Taurat aku orang Farisi; 6dari segi kesungguhan, aku telah menganiaya jemaah; dari segi perbenarani dalam mentaati Taurat, aku tiada cacat cela. 7Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana Kristus. 8Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu Kristus, 9dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus, perbenaran daripada Allah melalui iman. 10Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya, 11supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian. (Filipi 3:3-11)
Apa yang dikatakan oleh Paulus ialah apabila dia menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamatnya, dia tidak lagi bergantung kepada perbenaran dahulu yang diusahakannya sendiri. Dia telah membuang semua “kebaikannya” (yang memang tidak mencapai standard kemuliaan Allah) dan menganggap semua itu sebagai sampah sarap belaka. Sebaliknya, dia memaling kepada Yesus dengan rendah hati dan bergantung seratus peratus kepada perbenaran Kritus yang diberikan kepadanya melalui iman. Begitulah juga kita mesti hidup secara iman di dalam Yesus Kristus.
Iman kita mesti ditetapkan pada Kristus. Kita berpaling daripada dosa itu kepada Allah yang berbelas kasihan dan bersedia untuk mengampuni serta menyucikan kita daripada segala dosa. Melihat Allah yang sebegini akan menggalakkan kita untuk berpaling kepada Allah:
1Kasihanilah aku, ya Allah,
demi kasih setia-Mu yang kekal;
demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku.
2Bersihkan aku daripada kejahatanku,
sucikan aku daripada dosaku. (Mazmur 51:1-2)
Begitulah kita memohon kepada Allah untuk mencurahkan belas kasihan-Nya ke atas kita yang bertaubat. Kita disucikan daripada segala dosa kita kerana darah Yesus yang dicurahkan mampu menebus dan menyucikan segala dosa kita. Selain itu, perbenaran Yesus juga diperhitungkan kepada kita. Jadi, apabila Allah melihat kita, Dia tidak lagi lihat kita sebagai “orang bernajis,” tetapi Dia melihat perbenaran Kristus yang telah diperhitungkan kepada kita. Haleluyah!
Segala ini merupakan langkah pertama dalam proses pertaubatan, iaitu mengubah fikiran kita tentang dosa dan perbenaran kita supaya sesuai dengan firman Tuhan. Kita mesti menganggap dosa kita sebagai najis yang busuk dan jijik. Kita mesti ubah fikiran kita tentang keupayaan kita untuk mencapai standard kemuliaan Allah dan sedar bahawa kita adalah pengemis yang muflis rohani serta digelumang kemiskinan rohani. Dengan sikap hati begini, barulah kita bersedia memaling kepada Tuhan Yesus dan berganjak kepada langkah yang kedua dalam proses pertaubatan.
(b) Mengakui dan Meninggalkan Dosa
Langkah kedua dalam proses pertaubatan ialah mengakui bahawa saya yang telah membuat pilihan yang salah. Dalam kata lain, saya bertanggung jawab untuk semua dosa saya kerana saya memilih untuk melakukannya. Saya tidak boleh menyalahkan orang lain atau keadaan di sekeliling saya, sebab Allah telah memberi saya kebolehan untuk membuat pilihan dengan bebas. Kalau saya memilih untuk melakukan dosa, sayalah yang bersalah dan bertanggung jawab.
Sehubungan dengan langkah kedua ini, kita mesti mengakui dosa spesifik yang kita telah lakukan.
9Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan. (1 Yohanes 1:9)
Kita tidak boleh mengakui dosa secara umum kerana tindakan sebegini bukan pertaubatan yang sebenar. Tindakan ini seakan-akan melepaskan batuk di tangga. Jika kita mahu bertaubat dan bersedih selaras dengan kehendak Allah, kita mesti mengenal pasti dosa khusus yang dilakukan dan bertaubat daripadanya.
Seterusnya, kita mesti memilih untuk menolak dan meninggalkan perbuatan yang berdosa itu. Keputusan dan pemilihan ini mesti dibuat dengan tegas dan jujur. Kita tidak boleh mengakui dengan mulut tetapi masih menginginkan dosa itu di dalam hati kita. Kalau kita masih berkawan dengan dosa itu dan berjinak-jinak dengannya, nescaya kita tidak dapat menewaskannya. Kita mesti memerangi dosa itu sehabis-habisnya dengan segala kekuatan dan perasaan kita.
Dalam hal ini, kita perlu bantuan Roh Kudus untuk melakukan ini:
8Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman; 9tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku; 10tentang perbenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi; 11dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi. (Yohanes 16:8-11)
Roh Kuduslah yang menginsafkan kita dan menusuk hati kita tentang dosa. Seterusnya, dia menjadi pembantu kita untuk melihat jalan keluar yang Tuhan berikan kepada kita daripada semua godaan dan cubaan:
13Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya. (1 Korintus 10:13, AVB)
Apabila kita memilih jalan keluar Allah, kita sekaligus menolak dan meninggalkan dosa itu. Langkah ini amat penting jika kita hendak menewaskan dosa yang spesifik, apa jua dosa itu. Kita mesti mengisytiharkan dengan tegas bahawa kita menceraikan diri daripada dosa itu dan tidak akan kembali kepadanya. Kita tutup pintu kepada dosa itu, kuncikannya dan membuang kunci itu supaya kita tidak dapat lagi buka pintu kepada dosa itu.
Sikap kita ialah kita mesti benci dosa itu dan menganggap dosa itu sebagai musuh sengit kita. Pertempuran rohani telah dideklarasikan dan kita tidak akan bertoleransi serta langsung tidak mempertimbangkan untuk mengadakan rundingan damai dengan dosa itu. Dosa itu mesti dimusnahkan dalam hidup kita dan disingkirkan sama sekali.
(c) Menghasikan Buah Yang Sesuai Dengan Pertaubatan
Akhir sekali, dalam proses pertaubatan, kita mesti menghasilkan buah yang sesuai dengan pertaubatan. Hal ini dituntut oleh Yohanes Pembaptis sebagai bukti pertaubatan yang sejati:
8Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. (Matius 3:8, AVB)
Perubahan di hati kerana bertaubat mesti disusuli dengan perbuatan yang sesuai dengan perbenaran. Apa yang berlaku di dalam kita mesti mempengaruhi perbuatan kita di luar.
Zakheus merupakan seorang ketua pemungut cukai yang telah memeras ugut ramai orang untuk menjadi kaya. Dosanya memang bertimbun-timbun banyaknya. Namun begitu, apabila Tuhan Yesus memanggilnya, dia telah bertaubat dan terus mengatakan:
8Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Tuhan, "Tuhan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jika aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda." (Lukas 19:8,AVB)
Perubahan dalam hatinya menyebabkan Zakheus tidak lagi tamak wang; malah dia bersedia menebus semua kesalahan yang telah dibuatnya. Itulah perbuatan yang membuktikan pertaubatannya adalah sejati. Dengan perbuatannya, dia telah menunjukkan bahawa dia telah meninggalkan dosanya.
Maka, tidak hairanlah Tuhan Yesus mengesahkan pertaubatan, kepercayaan dan penyelamatan Zakheus:
9Yesus berkata kepadanya, "Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seisi rumah ini kerana kamu juga seorang keturunan Abraham. (Lukas 19:9, AVB)
Proses pertaubatan ini mesti dilalui dengan selengkapnya jika kita ingin mencapai kemenagan mutlak ke atas dosa yang tertentu.
Proses pertaubatan bermula dengan fikiran yang sesuai dengan firman Tuhan, kemudian pengakuan kesalahan melalui mulut dengan keinsafan oleh Roh Kudus dalam hati akan menghasilkan perbuatan yang membuktikan pertaubatan itu adalah tulen.
Kalau kita mengambil masa dan usaha untuk menangani setiap dosa khusus di dalam hidup kita dengan melalui tiga langkah dalam proses pertaubatan ini dengan kebergantungan kepada Roh Kudus, kita akan dapat menewaskan semua dosa yang kita hadapi.
12Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. 13Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya. (Filipi 2:12-13, AVB)
Kita mesti bekerja sama dengan Allah yang bekerja di dalam diri kita. Allahlah yang memberi kita kehendak dan kekuatan yang diperlukan untuk menjalankan kerja menewaskan semua dosa sesuai dengan penyelamatan kita. Kita melakukan ini dengan takut akan Tuhan dan gementar kerana dosa itu begitu menjijikkan kepada Allah yang Maha Suci.
Semua murid Kristus yang sejati akan hidup dengan suci sebagaimana Allah adalah suci:
13Oleh yang demikian, bersedialah dengan akal budimu, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Yesus Kristus menyatakan diri-Nya kelak. 14Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya. 15Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci. 16Ada tersurat dalam Kitab Suci, "Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci." (1 Petrus 1:13-16, AVB)
Anggaplah diri kita telah mati kepada dosa tetapi hidup dalam perbenaran kepada Allah dalam Kristus Yesus:
11Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus. (Roma 6:11, AVB)
Hiduplah dalam pertaubatan sepanjang hidup kita dan sentiasa bersinar dalam perbenaran dan kesucian yang Allah kerjakan di dalam kita.
Akhir sekali, soalan 87 di dalam the Shorter Catechism, ialah, “Apakah pertaubatan yang memberi hidup?” Jawapan yang diberikan sangat relevan kepada pertimbangan kita dan merupakan rumusan yang sesuai untuk menutup bahagian ini:
“Pertaubatan yang memberi hidup adalah kasih kurnia yang menyelamatkan. Melalui ini, seorang yang berdosa dan secara jujur insaf akan keadaan dosanya, memahami belas kasihan Allah di dalam Kristus, bersedih ke atas dan membenci terhadap dosa-dosanya, berpaling daripada dosa-dosa tersebut kepada Allah, dengan penuh ikhtiar serta usaha yang gigih, untuk mencapai kepatuhan yang baharu.”
Semoga kesedaran dan amalan hidup dalam pertaubatan ini akan memberi kita semua kebebasan daripada semua dosa. Amin!
Renungkan:
Imbas kembali tentang pergelutan anda dengan dosa-dosa yang khusus dan terkini. Adakah anda melalui tiga langkah proses pertaubatan seperti di atas? Apakah yang kurang? Apakah tindakan yang anda perlu ambil untuk mencapai kemenangan yang mutlak ke atas dosa yang spesifik itu? Siapakah yang anda boleh minta bantuan untuk menjadi rakan akauntabiliti anda?