(c) Lemah Lembut
5Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini. (Matius 5:5, AVB)
Ayat ini dipetik daripada Mazmur 37:11 -
11Orang yang rendah hati akan mewarisi bumi dan akan bersukacita dengan kesejahteraan yang melimpah-limpah.
Sikap hati yang lemah lembut ini ialah hasil daripada dua sikap hati yang lebih awal, iaitu “miskin kerohanian” dan “kesedihan”. Mereka yang sedar bahawa mereka muflis rohani dan bersedih dengan hati yang hancur dan remuk di hadapan Allah akan menjadi orang yang lemah lembut dan rendah hati dengan kuasa Roh Kudus. Mereka telah ubah fikiran dan arah mereka sesuai dengan kehendak Allah, dan hasilnya ialah sesuatu transformasi yang besar berlaku, iaitu mereka mengubah sikap dalaman mereka terhadap Allah menjadi lebih tunduk dan bersandar kepada Tuhan. Perubahan ini masih sebahagian daripada proses pertaubatan yang telah dipertimbangkan.
Lemah lembut bermaksud seseorang yang mempunyai kekuatan dalaman yang terkawal. Sekiranya kita meneliti Mazmur 37, kita akan dapat mengenal pasti ciri-ciri orang yang lemah lembut:
Percaya kepada Tuhan (ay. 3,5)
Berpegang kepada kesetiaan Tuhan (ay. 3)
Cari kebahagiaan daripada Tuhan (ay. 4)
Menyerahkan jalan hidupnya kepada Tuhan (ay. 5)
Sandarkan hatinya kepada Tuhan dan sabar menanti tindakan-Nya (ay. 7)
Tidak senang menjadi marah, meradang atau gusar (ay. 8)
Maka, orang yang lemah lembut memiliki suatu kekuatan dalaman daripada Allah dan dapat menghadapi pelbagai cubaan dengan hati yang tenteram, kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada Tuhan. Kekuatan ini adalah sesuatu kekuatan yang terkawal. Ini bermaksud walaupun dia mempunyai kuasa ke atas orang lain dan berhak bertindak, namun begitu dia memilih untuk tidak menggunakannya.
Contoh yang playing baik ialah Tuhan Yesus.
51Tiba-tiba seorang murid Yesus menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya. 52Tetapi Yesus berkata kepada murid-Nya itu, "Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang. 53Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku? 54Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?" (Matius 26:51-54, AVB)
Petikan ini memberi kita scenario semasa Yesus ditangkap oleh pihak berkuasa pada malam dia berdoa di Taman Getsemani. Apabila pasukan bersenjata datang menangkap Tuhan Yesus dengan bantuan pengkhianat iaitu Yudas, seorang murid Yesus cuba mempertahankan dan melindungi Yesus dengan menggunakan pedangnya.
Yesus dengan segera menahan murid-Nya itu dengan mengatakan, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang.” Maksud Tuhan Yesus ialah orang yang berlawan secara fizikal dengan pedang akan pada suatu hari mati dibunuh dengan pedang juga.
Tetapi apa yang penting ialah apa yang Tuhan Yesus katakan selepas ini, “Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku?” Dalam pada itu, Yesus memiliki kuasa dan wibawa untuk memanggil bantuan dua belas pasukan tentera malaikat untuk menghapuskan musuh-musuh-Nya.
Pada masa Tuhan Yesus, satu pasukan angkatan askar Romawi terdiri daripada 6,000 orang. Maka, 12 pasukan malaikat terdiri daripada 72,000 malaikat!
Yesaya pernah menulis tentang kekuatan satu malaikat Tuhan yang berperang:
36Kemudian malaikat Tuhan keluar dan menewaskan 185,000 orang di perkhemahan Asyur. Apabila orang bangun pada pagi esoknya, didapati mayat-mayat belaka! (Yesaya 37:36, AVB)
Satu malaikat Tuhan sahaja telah menghapuskan 185,000 orang dalam satu masa sahaja! Maka, kalau kita membuat pengiraan secara logik, jumlah manusia yang boleh dihapuskan oleh 12 pasukan (72,000) malaikat ialah 13,320,000,000 orang, iaitu lebih kurang 13 billion manusia (dua kali ganda bilangan manusia yang hidup di dunia pada masa ini!) Maka, jika 12 pasukan malaikat untuk membantu Tuhan Yesus memang sudah berlebih-lebihan!
Begitulah kewibawaan dan kekuatan yang dimiliki oleh Tuhan Yesus. Namun begitu, dia tidak berbuat demikian dengan musuh-musuh-Nya yang datang menangkap-Nya kerana Tuhan Yesus memang lemah lembut. Dia mengawal kekuatan-Nya dan tidak menghapuskan mereka dengan mengutus 12 pasukan malaikat.
Orang yang lemah lembut seperti Tuhan Yesus, telah dijanjikan akan mewarisi bumi ini. Mereka menjadi orang yang dipercayai oleh Allah dan diberi amanah untuk menerangkan rahsia-rahsia Allah melalui pelayanan memberitakan Injil penyelamatan kepada manusia bumi ini, iaitu warisan yang paling berharga dalam dunia ini.
1Kamu hendaklah memandang kami sebagai hamba Kristus yang diamanahkan dengan rahsia-rahsia Allah. 2Setelah dipertanggungjawabkan dengan amanah, hamba demikian itu wajib membuktikan bahawa dia dapat dipercayai. (1 Korintus 4:1-2, AVB)
1Oleh itu, dengan belas kasihan Allah, kami mempunyai amanah pelayanan ini. Maka kami tidak tawar hati. 2Kami menolak semua perbuatan rahsia yang memalukan. Kami juga tidak melakukan tipu daya atau menyalahertikan firman Allah. Akan tetapi dengan menyatakan kebenaran, kami menyerahkan diri untuk dinilai oleh hati nurani semua orang di hadapan Allah. 3Namun demikian, sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang akan binasa. 4Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat cahaya Injil tentang kemuliaan Kristus yang merupakan gambaran Allah. 5Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Yesus Kristus sebagai Tuhan. Diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Yesus. 6Allah telah berfirman, "Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap." Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita mendapat pengetahuan tentang kemuliaan Allah di wajah Yesus Kristus. 7Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri. (2 Korintus 4:1-7, AVB)
Lebih-lebih lagi, janji Tuhan Yesus kepada mereka yang lemah lembut ialah mereka akan mewarisi bumi ini. Dalam pada itu, apabila menjelang era baru, iaitu semasa Allah mencipta langit dan bumi yang baru, mereka yang telah membuktikan diri sebagai orang yang lemah lembut, akan diberi kepercayaan untuk memimpin di bumi yang baru ini. Mereka yang beramanah semasa di bumi lama akan dipercayai di bumi yang baru! Itu merupakan penghormatan yang paling besar untuk kita sebagai umat Allah.
Tugasan:
Sila kaji Matius 25:14-30 iaitu ibarat tentang wang emas. Apakah yang Yesus ingin mengajar kita dalam ibarat ini?
Amen. Kelemah-lembutkan adalah kekuatan di dalam kawalan. “Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang.” Matius 11:29 AVB