(d) Lapar dan Dahaga akan Perbenaran
6Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan. (Matius 5:6, AVB)
Proses pertaubatan di hadapan Allah akan diperlengkapi dengan perubahan amalan yang didorong oleh suatu keinginan yang kuat, iaitu lapar dan dahaga akan perbenaran. Kesedaran tentang kemiskinan rohani mereka dan bersedih dengan hati yang hancur dan remuk, memberi mereka hati yang lemah lembut dan kelaparan dan kehausan untuk perbenaran yang sejati.
Keadaan mereka yang terus bertaubat daripada segala yang salah di hadapan Allah, dan segala tarikan dunia ini, akan menghasilkan kesalihan yang disertai dengan rasa puas yang membawa keuntungan besar.
6Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar. (1 Timotius 6:6).
Kepuasan mereka sebenarnya hanya di dalam Tuhan seperti yang dilafazkan oleh Raja Daud:
4Satu perkara yang kuingini daripada Tuhan, akan kupohonkan: semoga aku akan tinggal di dalam rumah Tuhan seumur hidupku, melihat keindahan Tuhan dan tinggal di dalam rumah suci-Nya. (Mazmur 27:4, AVB)
Hal-hal lain tidak lagi menjadi begitu menarik apabila mereka telah mengecapi perbenaran yang datang daripada Yesus Kristus:
8Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Kristus Yesus, Tuhanku. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu Kristus, 9dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan perbenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada Kristus, perbenaran daripada Allah melalui iman. (Filipi 3:8-9, AVB)
Apabila seseorang telah mengecapi nikmat sejati di dalam Allah, perkara lain tidak begitu menarik lagi:
11Engkau akan menunjukkan aku jalan hidup; di hadirat-Mu sepenuh bahagia dirasai, di tangan kanan-Mu nikmat dikecapi selama-lamanya. (Mazmur 16:11, AVB)
Selain itu, perbenaran itu datang secara praktikal melalui latihan di dalam Firman Tuhan:
16Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. (2 Timotius 3:16, AVB)
Firman Tuhan mengajar mereka tentang jalan yang benar untuk diambil. Jika mereka melakukan perkara yang bercanggah dengan kehendak Allah, firman Tuhan akan menegur perbuatan mereka, dan memberi hikmat untuk membetulkannya.
Namun begitu, perubahan tidak akan berlaku dengan sekelip mata sahaja. Realitinya ialah sesuatu tabiat mengambil masa yang panjang dengan pengulangan perbuatan yang bertubi-tubi kali, sebelum ia dibentuk di dalam seseorang.
Jika kita hendak membentuk tabiat yang baik sesuai dengan ajaran firman Tuhan, kita perlu melakukannya untuk jangka masa yang panjang seolah-olah melalui suatu latihan. Hal ini seperti seorang olahragawan yang perlu berlatih hampir setiap hari untuk beberapa tahun, sebelum dia siap untuk menyertai sesuatu pertandingan. Begitu juga, jika kita memiliki tabiat yang buruk, kita mesti dididik atau dilatih ke arah kebenaran untuk tempoh masa yang panjang, sehingga tabiat yang baik dibentuk untuk menggantikan tabiat yang buruk itu.
Mendidik atau melatih ke arah kebenaran merupakan amalan yang paling penting untuk membentuk watak dan perbuatan yang sesuai untuk kita, orang salih Allah.
Mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran akan mencari makanan rohani yang terkandung di dalam firman Tuhan yang memberi mereka “tenaga rohani” untuk dilatih ke arah kebenaran. Mereka tidak perlu dipujuk dan didorong untuk membaca, mengkaji dan memahami firman Tuhan sebab mereka sendiri mengalami kepuasan yang datang daripada mengkaji firman Tuhan:
2Seperti bayi yang baru lahir, hendaklah kamu selalu haus akan air susu suci firman Allah, supaya kamu bertumbuh subur sehingga beroleh penyelamatan. 3Kamu sendiri telah mengalami kebaikan Tuhan. (1 Petrus 2:2-3)
Sekiranya proses ini terus bertumbuh, orang yang lapar dan haus akan perbenaran akan maju ke tahap orang rohani yang matang, iaitu mereka boleh makan makanan pepejal. Orang yang sebegini telah membiasakan akal mereka untuk membezakan baik dengan buruk.
11Tentang ini kami ada banyak untuk dikatakan, namun sukar hendak diterangkan, kerana pendengaranmu sudah tumpul. 12Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang asas-asas pertama firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal. 13Orang yang hanya boleh minum susu itu tidak mahir dalam ajaran tentang perbenaran, kerana dia masih bayi. 14Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akal mereka membezakan baik dengan buruk. (Ibrani 5:11-14, AVB)
Maka, mereka menjadi alat-alat perbenaran yang melakukan apa yang baik dan suci.
11Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus. 12Oleh itu, jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana. 13Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat perbenaran. 14Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia. (Roma 6:11-14, AVB)
Mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran dijanjikan akan dipuaskan oleh Allah sendiri. Dengan itu, mereka akan terus hidup dalam pertaubatan untuk mengecapi kepuasan yang abadi ini.
Tugasan:
Sila mengkaji Filipi 3:1-16. Apakah keinginan Paulus yang paling utama? Apakah dasar untuk keinginan yang sebegini? Apakah implikasinya kepada kita?
Renungan
Empat sikap yang indah ini memperkayakan perhubungan kita dengan Allah kerana kita senantiasa hidup dalam pertaubatan dan kesucian berdasarkan takut kepada Tuhan. Teliti proses pertaubatan yang telah dipertimbangkan dalam bahagian ini seperti yang digambar kisahkan di bawah:
Soalan utama yang kita perlu tanya diri sendiri pada ketika ini ialah, “Adakah sikap saya mencerminkan empat sikap indah yang disebut oleh Tuhan Yesus? Sekiranya ada kekurangan, apakah yang saya patut lakukan untuk terus hidup dalam pertaubatan dan kesucian berdasarkan takut kepada Tuhan?”