Perhubungan Dengan Orang Lain
Sebelum Yesus menyampaikan penutup-Nya untuk Khutbah di atas Bukit, Dia telah memberi suatu pernyataan yang menjadi kegemaran orang ramai:
12Segala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi." (Matius 7:12, AVB)
Pernyataan ini kerap kali dikenali sebagai Hukum Emas (The Golden Rule), dan merupakan suatu petunjuk yang terkenal bagaimana kita patut melayani orang lain.
Aplikasinya yang khusus adalah begini - apa yang baik yang anda ingin orang lain berbuat terhadap anda, buatlah sedemikian dengan mereka dahulu. Sebaliknya, kejahatan yang anda tidak mahu orang lain berbuat terhadap anda, jangan pula buat terhadap mereka.
Semasa Tuhan Yesus mengutus dua belas orang murid-Nya untuk keluar melayani, Dia telah memberi suatu petunjuk:
Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian. (Matius 18:8, AVB).
Saya memanggil petunjuk ini Hukum Platinum, dan petunjuk ini boleh diolah sedemikian:
“Segala sesuatu yang Allah lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada orang lain.”
Kedua-dua hukum ini, iaitu Hukum Emas dan Hukum Platinum, memberi kita petunjuk yang sangat berguna dan penting untuk membimbing kita semasa kita berinteraksi dengan orang lain. Lebih-lebih lagi, hukum tersebut adalah sejajar dengan apa yang Tuhan Yesus perkenalkan, iaitu sikap hati yang indah untuk perhubungan kita dengan manusia.
7Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga. 8Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah. 9Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah. 10Diberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka. 11Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. 12Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya." (Matius 5:7-12, AVB)
Lima sikap hati yang indah untuk perhubungan kita dengan orang lain ialah:
Berpengasihan
Suci hati
Mendamaikan manusia
Dianiaya demi perbenaran
Dihina, dianiaya dan difitnah kerana Yesus
Kelima-lima sikap hati yang indah ini bertindih satu sama lain seperti yang ditunjukkan dalam gambar rajah di bawah:
Kalau kita menggunakan Hukum Platinum yang dinyatakan tadi, maka kita boleh nyatakan lima sikap hati yang indah ini dalam bentuk begini:
Sebagaimana Tuhan berpengasihan terhadap saya, maka saya perlu berpengasihan terhadap orang lain.
Sebagaimana Tuhan suci hati-Nya dalam tindakan-Nya terhadap saya, maka saya perlu juga suci hati saya dalam tindakan saya terhadap orang lain.
Sebagaimana Tuhan mendamaikan saya dengan Dia, maka saya perlu mendamaikan orang dengan Tuhan dan dengan orang lain.
Sebagaimana Tuhan Yesus dianiaya demi perbenaran, maka saya perlu bersedia dianiayai demi perbenaran dalam kalangan manusia.
Sebagaimana Tuhan Yesus dianiaya demi kita, maka saya perlu bersedia dianiayai oleh orang lain kerana iman saya di dalam Yesus Kristus.
Sebelum kita meneliti setiap sikap hati yang indah ini dengan lebih mendalam, saya juga ingin menarik perhatian kita kepada sembilan perbuatan salah yang telah dinyatakan oleh Tuhan Yesus dalam isi kandungan khutbahnya (kita telah mengenal pasti perbuatan-perbuatan ini pada awal pertimbangan kita tentang “Manifesto Kerajaan Allah untuk Pemuridan Sejati #1”, iaitu di bawah tajuk “Rangka Khutbah Di Atas Bukit”). Perbuatan-perbuatan berikut, memang tidak sesuai untuk orang salih dan mereka yang memiliki sikap hati yang indah, iaitu:
Kemarahan (5:21-26)
Nafsu dan perzinahan (5:27-32)
Berbohong (5:33-37)
Membalas dendam (5:38-42)
Membenci (5:43-47)
Mengingini pujian dan kemuliaan daripada manusia (6:1-18)
Mengasihi wang dan kekayaan (6:19-24)
Kegelisahan dan kekhuatiran (6:25-34)
Menghakimi orang lain (7:1-5)
Kita boleh mengaitkan sembilan perbuatan ini dengan sembilan sikap hati yang indah terhadap Allah dan orang lain seperti demikian:
Izinkan saya untuk memberi sedikit penerangan supaya anda dibantu memahami keterkaitan isi kandungan dalam jadual di atas.
Empat sikap hati kita yang indah terhadap Allah merupakan perubahan yang berlaku di dalam kita, dan biasanya tidak dapat dikesan secara langsung dari luar. Namun begitu, empat sikap hati kita yang indah terhadap Allah ini mendorong lima sikap hati kita yang indah terhadap orang lain.
Dalam kata lain, keberhasilan empat sikap hati kita yang indah terhadap Allah boleh dikesan secara tidak langsung berdasarkan kewujudannya lima sikap hati kita yang indah terhadap orang lain - hal ini boleh dilihat sebagai ujian hati berdasarkan perbuatan luaran kita.
Contohnya, orang yang memiliki hati yang insaf tentang kemiskinan rohaninya, akan menunjukkan sikap berpengasihan dalam tindak balasnya terhadap orang lain, iaitu dia tidak senang marah terhadap orang lain dan tidak akan membalas dendam terhadap mereka yang berbuat salah kepadanya.
Maka, ujian hati sama ada kita memiliki hati yang insaf tentang kemiskinan rohani ialah sama ada kita dapat mengatasi kemarahan dan keinginan untuk membalas dendam terhadap orang membuat kesalahan kepada kita. Itulah ujian getir secara praktikal dalam kehidupan harian kita yang akan menentukan sama ada hati kita betul-betul sudah diubah dan dibentuk oleh Roh Kudus.
Seterusnya, orang yang benar-benar bersedih dalam hatinya kerana kesedaran terhadap dosa-dosa khususnya akan menunjukkan tindakan yang suci apabila dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh.
Contohnya, dia tidak akan berbohong dengan orang lain, kerana itu merupakan perbuatan luaran yang salah terhadap orang lain serta dia berdosa kepada Allah.
Orang yang lemah lembut dalam hatinya pula, akan mempunyai kecenderungan untuk membawa pendamaian antara manusia.
Contohnya, dalam situasi perkahwinan di mana berlaku perzinahan dan keinginan untuk bercerai, mereka akan berusaha untuk mendamaikan kedua-dua pihak, suami dan isteri. Sikap yang tidak memihak dan tidak menghakimi orang lain amat perlu untuk menjadi pendamai dalam situasi yang amat rumit seperti ini.
Akhir sekali, orang yang lapar dan dahaga akan perbenaran mempunyai kesediaan untuk dianiayai demi perbenaran atau Tuhan Yesus. Ujian hati mereka ditunjukkan oleh ketabahan mereka walaupun diancam kerana pegangan mereka untuk mengekalkan perbenaran dalam kehidupan dan amalan mereka.
Contohnya, orang salih akan diuji dalam hal wang dan kekayaan. Adakah mereka tergamak untuk melakukan kesalahan seperti mengambil rasuah, mengejar kekayaan tanpa batas, dan sebagainya. Selain itu, adakah kehidupan mereka dikuasai oleh kegelisahan dan kekhuatiran sepanjang masa? Kesemua ini merupakan ujian hati mereka, yang dapat diperhatikan dari luar.
Selain itu, ujian hati mereka juga ditunjukkan oleh ketaatan mereka kepada Tuhan Yesus apabila mereka dianiayai kerana iman mereka. Dalam keadaan begini, adakah mereka akan membenci musuh-musuh mereka? Apakah mereka lebih mengingini pujian dan kemuliaan daripada manusia, berbanding dengan pujian dan kemuliaan yang datang daripada Allah? Pilihan mereka apabila diuji dengan ancaman daripada musuh-musuh Allah, akan menentukan sama ada mereka benar-benar lapar dan dahaga akan perbenaran yang datang daripada Allah.
Maka, dalam bahagian-bahagian yang seterusnya, kita akan mempertimbangkan secara terperinci, setiap sikap hati yang indah terhadap orang lain dalam konteks ujian hati dan perbuatan luaran, seperti yang telah diajar oleh Tuhan Yesus dalam isi kandungan khutbah-Nya. Pelajaran-pelajaran ini sangat praktikal dan amat mencabar.
Namun begitu, jika kita tabah mengharunginya, hati kita akan dibentuk dan ditransformasikan sehingga perbuatan dan amalan dalam hidup kita, akan lebih mirip kepada teladan yang ditunjukkan oleh Tuhan Yesus sendiri.
Tetapi, sebelum kita menyelami kebenaran ajaran Tuhan Yesus tentang empat sikap hati yang indah terhadap orang lain dalam Manifesto Kerajaan Allah untuk Pemuridan yang Sejati, kita perlu memahami satu prinsip penting yang diajar oleh Tuhan Yesus. Prinsip ini akan mendasari semua interpretasi Yesus tentang Hukum Taurat yang terkandung dalam isi kandungan khutbah-Nya. Hal ini, kita akan selidiki dalam bahagian yang berikutnya.