Menunaikan, Bukan Menghapuskan Taurat (Bahagian 1)
PENTING! MUSTAHAK!
17"Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. (Matius 5:17, AVB)
Di dalam ayat di atas, terkandung prinsip yang paling penting diajar oleh Tuhan Yesus di dalam Khutbah di Atas Bukit-Nya. Kebanyakan isi kandungan khutbah-Nya berdasarkan aplikasi prinsip ini. Jika kita tidak memahami prinsip ini dengan betul, besar kemungkinan kita akan salah tafsir sembilan perbuatan yang dijelaskan oleh Tuhan Yesus, apabila dia mengaitkannya dengan ujian hati untuk perhubungan kita dengan orang lain.
Mari kita pertimbangkan prinsip ini dengan teliti!
17"Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya.
Inilah prinsip yang amat penting dan mustahak seperti yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus:
Yesus datang untuk menunaikan, bukan menghapuskan Hukum Taurat.
Pertama sekali, kita mesti memahami dengan jelas maksud Yesus bahawa Dia tidak datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Frasa “Taurat dan ajaran nabi-nabi” merujuk kepada dua bahagian di dalam Kitab orang Yahudi (Perjanjian Lama), yang sebenarnya mengandungi tiga bahagian yang utama (sila rujuk gambar rajah di bawah).
Tiga bahagian ini ialah:
Taurat (Torah) - Bahagian ini mengandungi lima buku Musa, iaitu lima buku pertama yang sama seperti di bahagian permulaan Alkitab Perjanjian Lama kita.
Nabi-nabi (Nevi’im) - Bahagian ini mengandungi buku-buku sejarah dari Yosua sehingga Raja-Raja, buku-buku nabi utama dari Yesaya hingga Yehezkiel, dan buku-buku nabi kecil dari Hosea hingga Maleakhi (Jelas sekali, golongan buku ini berbeza dengan golongan dalam Alkitab Perjanjian Lama kita. Namun begitu, isi kandungan setiap buku ini adalah sama. Hanya susunan dan cara menggolongkannya sahaja yang berbeza.)
Tulisan-tulisan (Ketuvim) - Bahagian ini menggolongkan pelbagai jenis tulisan seperti syair, kata-kata hikmah, serta buku-buku sejarah dan cerita.
Maka, apabila Yesus menyebut tentang “Taurat dan nabi-nabi,” dia sebenarnya menggunakan singkatan untuk Kitab orang Yahudi, seperti yang dijelaskan di atas.
Pada masa yang sama, dia juga memberi fokus kepada hukum-hukum yang terkandung di dalam Taurat, seperti yang diterangkan-Nya dalam ayat 18-19. Oleh sebab itu, saya hanya menyatakan “Hukum Taurat” di dalam prinsip yang diberikan oleh Tuhan Yesus.
Mengapakah Yesus mengatakan bahawa dia tidak datang untuk menghapuskan Hukum Taurat? Sekiranya Hukum Taurat dihapuskan oleh Yesus, maka seluruh Perjanjian Lama dibatalkan, dan tidak akan diguna pakai lagi! Dalam kata lain, kita tidak perlu memasukkan Perjanjian Lama ke dalam Alkitab kita. Maka, kita hanya perlu membaca Perjanjian Baru.
Selain itu, semua hukum moral di dalam Perjanjian Lama turut dibatalkan dan tidak berfungsi lagi! Ini bermaksud kita bebas untuk berbohong, mencuri, berzina, menyembah tuhan-tuhan lain dan menyembah berhala serta melanggar semua hukum yang tertera di dalam Perjanjian Lama! Sudah tentu hal ini tidak masuk akal dan tidak patut terjadi.
Maka, apabila Tuhan Yesus menyatakan dengan tepat bahawa dia tidak datang untuk menghapuskan Hukum Taurat, itu bermaksud Hukum Taurat masih berfungsi! Hal ini perlu diteliti dengan lebih lanjut supaya kita tidak salah faham tentang fungsi Hukum Taurat ini.
Hukum Taurat tidak boleh diguna pakai untuk mencapai penyelamatan dengan mengusahakannya bagi melayakkan diri sendiri. Realitinya ialah kita tidak dapat mencapai standard Allah yang terlalu tinggi!
Pertama sekali, semua manusia telah berdosa dengan melanggar kebanyakan hukum-hukum Allah.
23Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. (Roma 3:23, AVB)
Kedua, melanggar satu hukum sahaja menjadikan kita seorang “pelanggar hukum” yang patut dihukum!
10Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum…(Yakobus 2:10, AVB)
Ketiga, jika kita tidak melakukan kebaikan yang kita tahu patut dilakukan, itu pun dikira sebagai dosa!
17Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa. (Yakobus 4:17, AVB)
Dengan standard Allah yang begitu tinggi sekali, tidak hairanlah bahawa kesimpulan yang dibuat oleh Alkitab ialah tidak ada seorang pun yang benar di hadapan Allah.
10Sebagaimana tersurat:
"Tiada yang benar, seorang pun tidak.
11Tiada yang mengerti,
tiada yang mencari Allah.
12Semuanya telah berpaling,
semuanya tidak berguna;
tiada yang berbuat baik,
tiada seorang pun.
13Kerongkong mereka seperti kubur terbuka;
tipu daya mengalir dari lidah mereka;
dan racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka.
14Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan.
15Kaki mereka cepat menumpahkan darah.
16Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata,
17sedangkan jalan damai tidak dikenal mereka.
18Rasa takut terhadap Allah tiada dalam jiwa mereka." (Roma 3:10-18, AVB)
Kalau begitu, apakah tujuan Allah memberi umat-Nya Hukum Taurat? Paulus menjelaskan tujuan sebenar Hukum Taurat diberikan kepada manusia:
20Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa. (Roma 3:20,AVB)
Paulus menjelaskan bahawa Hukum Taurat tidak diberikan untuk membenarkan sesiapa di mata Allah dengan mengamalkannya, kerana semua manusia memang tidak sanggup dan tidak mampu memenuhi keperluan-keperluan Hukum Taurat. Oleh sebab itu, Hukum Taurat bukan bertujuan untuk menyelamatkan kita.
Tujuan Hukum Taurat diberikan ialah untuk menyedarkan atau menginsafkan manusia tentang dosa-dosa mereka. Paulus memberi penerangan dan contoh seperti berikut:
7Jadi, apakah yang akan kita katakan? Adakah hukum itu dosa? Sama sekali tidak! Memang aku tidak mungkin tahu apa itu dosa kecuali melalui hukum. Kerana aku tidak mungkin tahu apa sebenarnya keinginan jahat jika hukum tidak mengatakan, "Jangan ingini milik orang." (Roma 7:7, AVB)
Hukum Taurat berfungsi seperti sebuah mesin Sinar-X yang menunjukkan masalah keretakan tulang seseorang, tetapi mesin itu tidak merawat atau menyembuhkan mangsa itu.
Contoh yang diberikan oleh Paulus ialah jika Hukum Taurat tidak menyatakan bahawa mengingini milik orang lain adalah dosa, kita tidak akan tahu bahawa keinginan seperti itu memang suatu keinginan yang salah, tetapi menganggapnya sebagai sesuatu perasaan yang biasa.
Namun begitu, Hukum Taurat menunjukkan dengan ketara dosa kita, tetapi tidak membantu kita mengatasi hukuman dosa iaitu maut:
23Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. (Roma 6:23, AVB)
Maka, apabila Tuhan Yesus mengatakan bahawa dia tidak datang untuk menghapuskan Hukum Taurat, implikasinya ialah hukum Taurat masih diguna pakai sebagai standard moral Allah. Hukum Taurat juga akan diguna pakai untuk menghakimi semua manusia.
Jadi, Yesus menjelaskan bahawa dia datang untuk menunaikan Hukum Taurat. Apakah maksud dan implikasi prinsip ini?
Fahaman yang amat penting yang selaras dengan prinsip ini adalah Yesus menggantikan kita dalam hukuman dosa apabila dia mati untuk kita di kayu salib. Oleh sebab kita tidak dapat memenuhi keperluan Hukum Taurat, Yesus telah turun ke dunia sebagai manusia untuk menggantikan kita membayar ganjaran atau upah dosa, iaitu kematian (maut).
Dalam kata lain, Yesus telah menunaikan keperluan Hukum Taurat bagi pihak kita. Soalannya ialah, “Mengapakah Tuhan Yesus dapat menunaikan keperluan Hukum Taurat, dan apakah yang telah ditunaikan oleh Tuhan Yesus?”
Terdapat sekurang-kurangnya empat perkara:
1. Kelahiran Yesus oleh Anak Dara
Yesus telah dilahirkan oleh Maria, seorang anak dara. Fakta ini sangat penting kerana sekiranya Tuhan Yesus dilahirkan kerana perhubungan seksual antara Maria dan Yusuf, Yesus akan lahir dalam dosa, seperti semua orang yang lain. Tetapi malaikat telah memberitahu Yusuf bahawa Maria mengandung daripada Roh Kudus:
20Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, "Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. 21Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka." (Matius 1:20-21, AVB)
Perkara ini amat penting supaya Yesus lahir suci, tanpa dosa yang diwarisi daripada Adam. Maka, Tuhan Yesus tidak ada apa-apa dosa di dalam dirinya semasa dia dilahirkan di dalam dunia ini.
2. Kehidupan Yesus yang Tidak Bercela
Yesus bukan sahaja lahir dalam kesucian, tetapi dia juga hidup dengan suci, tanpa bercela. Seluruh hidup Yesus, dia tidak melakukan sebarang kesalahan atau dosa. Ayat-ayat berikut menyatakan dengan jelas tentang hakikat ini:
15Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa. (Ibrani 4:15, AVB)
26Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga; (Ibrani 7:26, AVB)
22"Dia tidak melakukan dosa,
dan tidak ada tipu daya dalam mulut-Nya." (1 Petrus 2:22, AVB)
5Kamu tahu bahawa Kristus dihantar untuk menghapuskan dosa umat manusia; dalam diri-Nya tiada dosa. (1 Yohanes 3:5, AVB)
Inilah keunikan Tuhan Yesus, yang telah menjelma menjadi manusia, supaya sebagai manusia dia layak menggantikan manusia yang berdosa kerana dia suci dan tidak pernah melakukan perbuatan atau memiliki perasaan yang salah di dalam hati-Nya. Hal ini amat penting untuk perkara yang seterusnya.
3. Kematian Yesus yang Menebus Manusia yang Berdosa
18Kristus juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh. (1 Petrus 3:18, AVB)
Yesus telah menggantikan kita untuk mengalami hukuman dosa, iaitu “dia telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita.” Yesus layak melakukan ini kerana dia benar dan tidak berdosa. Makam dia telah menderita untuk kita, orang yang tidak benar. Sekiranya Yesus tidak suci dan bercela, dia tidak mungkin dapat menggantikan kita dan tidak dapat pulan menebus dosa kita, kerana dia terpaksa bayar untuk dosa-Nya sendiri. Tetapi kerana Yesus adalah suci dan tidak bercela, maka dialah sahaja yang dapat melakukan pengorbanan ini.
Untuk menjelaskan hal ini, kita boleh mengambil contoh daripada transaksi di dunia ini. Seorang yang muflis tidak boleh menjadi penjamin kepada orang lain yang ingin meminjam duit daripada bank, kerana dia sendiri berhutang begitu banyak duit dengan orang lain sehingga dia tidak dapat membayarnya. Bagaimanakah dia boleh diterima sebagai penjamin orang lain jika dia berada dalam keadaan kewangan yang begitu teruk sekali? Tiada mana-mana bank akan bersetuju untuk menerima orang yang muflis sebagai penjamin untuk transaksi peminjaman wang.
Begitulah juga, orang yang berdosa tidak boleh menebus dosa orang lain kerana dia sendiri berhutang dengan Allah. Setiap orang hanya mempunyai satu nyawa sahaja, jadi apabila dia mati tanpa penyelamatan, dia mesti membayar hutang dosanya sendiri dengan nyawanya sendiri. Hutang dosa mesti dibayar dengan “kematian/maut”. Setiap orang hanya memiliki satu nyawa sahaja. Maka, dia tidak dapat mati untuk orang lain.
Keistimewaan dan keunikan Yesus ialah dia tidak berdosa sebagai Anak Allah yang suci. Maka, dia layak untuk menjadi korban yang sempurna, sekali sahaja untuk menebus semua manusia untuk selama-lamanya. Bacalah ayat-ayat berikut dengan teliti untuk memahami fakta yang penting ini:
26Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga; 27Imam besar yang dahulu perlu mempersembahkan korban setiap hari, mula-mula untuk menghapuskan dosa mereka sendiri dan kemudian dosa orang lain. Tetapi Dia tidak perlu berbuat demikian. Dia telah melakukannya sekali untuk selama-lamanya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya. 28Hukum Taurat melantik manusia biasa dengan segala kelemahannya untuk menjadi imam besar. Tetapi firman dan sumpah Allah, yang datang selepas hukum Taurat, melantik Anak yang telah disempurnakan untuk selama-lamanya. (Ibrani 7:26-28, AVB)
26Andainya demikian, terpaksalah Dia menderita berkali-kali sejak permulaan dunia. Dia tampil sekali sahaja, sewaktu akhir zaman ini, untuk menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya. 27Sebagaimana manusia ditentukan mati sekali, dan selepas itu dihakimkan, 28begitulah Kristus telah dikorbankan sekali untuk dosa semua manusia. Kepada mereka yang menunggu-Nya dengan penuh pengharapan, Dia akan datang bagi kali kedua, bukan untuk menanggung dosa tetapi untuk menyelamatkan mereka. (Ibrani 9:26-28, AVB)
12Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah. 13Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya. 14Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan. (Ibrani 10:12-14, AVB)
4. Kebangkitan Yesus menewaskan Maut
Yesus telah mati dan dikuburkan, tetapi Dia bangkit semula daripada kematian pada hari yang ketiga:
3Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa Kristus telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; 4bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; (1 Korintus 15:3-4)
Kuasa kebangkitan Yesus telah mencapai sesuatu yang amat penting, iaitu dia berjaya menewaskan musuh yang terakhir, iaitu Maut.
25kerana Dia harus memerintah sehingga semua musuh telah diletakkan-Nya di bawah kaki-Nya. 26Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah Maut. 27Segala sesuatu telah ditaklukkan oleh Allah di bawah kaki Kristus. Apabila dikatakan bahawa 'segala sesuatu telah ditaklukkan' jelaslah bahawa Allah, yang membuat segala sesuatu itu takluk kepada Kristus, tidak turut ditaklukkan. (1 Korintus 15:25-27, AVB)
Musuh setiap manusia yang terakhir ialah Maut, kerana Mautlah yang menuntut hidup kita pada akhir hayat kita. Tetapi dengan kebangkitan-Nya daripada kematian, Tuhan Yesus telah menewaskan maut dan merampas anak kunci kematian dan alam maut:
18Akulah Dia yang hidup. Aku pernah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku memegang anak kunci kematian dan alam maut. (Wahyu 1:18, AVB)
Maka, sekarang, Yesuslah yang berwibawa dan memiliki kuasa ke atas kematian dan alam maut. Orang yang telah ditebus-Nya, tidak akan mati dan tidak akan dilontar ke dalam alam maut lagi. Sebaliknya, orang salih Yesus akan “tidur,” dan terus bangun di firdaus untuk berada bersama-sama-Nya buat selama-lamanya!
13Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati (koimao, Gk. bermaksud “tidur”), agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan. (1 Tesalonika 4:13, AVB)
6Selepas itu, Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia (koimao, Gk. bermaksud “tidur”). (1 Korintus 15:6, AVB)
43Yesus menjawab, "Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus." (Lukas 23:43, AVB)
Maka, kita, yang telah disatukan dengan Kristus dalam kematian dan kebangkitan-Nya, juga akan menewaskan Maut dan dibangkitkan semula dengan tubuh rohani yang tidak boleh binasa:
5Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. (Roma 6:5, AVB)
42Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan; 43disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan; 44disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani. (1 Korintus 15:42-44, AVB)
51Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak kita semua akan mati, tetapi semua akan diubah 52serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah, 53kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati. 54Setelah ini berlaku, terbuktilah firman: "Maut telah ditelan dalam kemenangan."
55C"Wahai Maut, di manakah kemenanganmu?
Wahai Maut, di manakah sengatmu?"
56Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat. 57Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. (1 Korintus 15:51-57, AVB)
Semua fakta ini terangkum dalam apa yang Tuhan Yesus mengatakan telah ditunaikan-Nya! Sungguh ajaib dan luar biasa anugerah Yesus bagi kita yang tidak layak menerima kasih kurnia-Nya. Kita hanya boleh bersyukur sahaja dengan hati yang tunduk kepada-Nya.