Keluarga
Oleh Teri K. Reisser dan Dr Paul C. Reisser
Anda tidak terhad kepada pilihan bercerai atau terus terperangkap dalam perkahwinan yang memeritkan. Anda boleh tinggal bersama dan memupuk tiga sikap utama yang akhirnya mungkin membantu membina perkahwinan yang lebih baik.
Melissa duduk di pejabat kaunseling saya dan berkata, “Gene dan saya telah berkahwin selama 22 tahun. Pendapatannya lumayan, dan ini membolehkan saya tinggal di rumah dengan tiga anak kami yang baik. Sekarang mereka berada di kolej dan hidup mereka memuaskan. Kawan-kawan fikir bahawa perkahwinan kami sempurna tetapi saya berasa seolah-olah sudah mati dalam jiwa saya. Saya berasa rumah kami sungguh kosong dan sunyi. Perkahwinan kami kosong dan sunyi juga.
“Saya mendapati bahawa saya akan berkhayal tentang bagaimana kalau saya bersama lelaki lain. Sekiranya saya dapat meninggalkan perkahwinan ini tanpa dibenci oleh anak-anak, saya akan berbuat demikian.
Saya kerap mendengar kisah tentang perasaan tidak puas hati di pejabat kaunseling saya. “Suamiku tidak beri perhatian,” “Isteriku tidak menghormati ku,” “Kehidupan seks kami tidak wujud lagi”, “Saya tak dapat bernafas.” Setengah dari rungutan ini timbul kerana realiti membayar bil, pekerjaan dan penjagaan anak-anak kecil telah memadamkan apa yang bermula sebagai percintaan yang hangat. Seperti yang dialami oleh Melissa, kesemua anak akhirnya meninggalkan rumah dan ibu sepenuh masa akan menghadapi kekecewaan.
Individu dalam keadaan ini mungkin mempertimbangkan perceraian. Tapi tak kira bagaimana seseorang menilai pilihan-pilihannya, bercerai bukan jalan kemas menuju ke arah kebahagiaan. Jauh sama sekali. Saya tidak membuat penilaian buruk terhadap orang yang telah bercerai, tetapi saya percaya pasangan yang mempertimbangkan perceraian harus cuba pilihan lain dahulu.
Sebelum saya berkongsi tentang kekurangan dalam pilihan untuk bercerai, saya perlu beri sedikit penjelasan:
· Saya tidak mengesyorkan bahawa sesiapa dalam perkahwinan bermasalah ‘tahan kesakitan sahaja’ dan menderita dengan senyap untuk selama-lamanya.
· Saya tidak menumpukan perhatian kepada situasi yang melibatkan apa-apa bentuk penderaan. Penderaan memerlukan perpisahan segera untuk memastikan keselamatan keluarga. Jika perlu, bantuan hendaklah diminta dari pihak penguatkuasa undan-undang, kaunselor professional dan peguam.
· Nasihat saya juga tidak ditujukan kepada pasangan yang menghadapi isu ketagihan atau sikap tidak bertaubat kerana kecurangan. Kes-kes ini memerlukan usaha yang intensif untuk menghasilkan penyembuhan dan pemulihan.
Keburukan Bercerai
Di sini ada beberapa sebab kenapa anda harus berfikir dua kali sebelum mengambil keputusan untuk bercerai:
Ada kemungkinan besar anda tidak akan lebih bahagia. Institute of American Values telah menerbitkan laporan yang mencabar apa yang dipanggil ‘andaian perceraian’. Ramai orang yang mengandai bahawa seseorang dalam perkahwinan bermasalah hanya ada dua pilihan – kekal berkahwin dan kekal sengsara atau bercerai dan menjadi lebih bahagia. Penyelidik mendapati bahawa orang dewasa dalam perkahwinan yang tidak bahagia dan bercerai tidak berasa lebih bahagia daripada pasangan dalam perkahwinan bermasalah yang kekal berkahwin. Tambahan pula, dua dari tiga orang dewasa dalam perkahwinan bermasalah tetapi memilih untuk tidak bercerai menganggap diri mereka dalam perkahwinan bahagia lima tahun kemudian. Para pengkaji melaporkan bahawa perceraian tidak mengurangkan gejala kemurungan.
Anak-anak pastinya tidak akan lebih bahagia. Perceraian akan menggegarkan kestabilan dunia anak-anak anda. Kesannya akan menjalar ke semua arah dalam hidup mereka – keluarga, hubungan dengan ahli keluarga lain, sekolah, aktiviti, persahabatan, percutian, taraf hidup dan pada masa yang akan datang, perkahwinan mereka. The Unexpected Legacy of Divorce karya Dr Judith Wallerstein menerangkan suatu kajian selama 25 tahun ke atas 131 kanak-kanak dari pasangan yang bercerai, di mana umur mereka adalah dalam lingkungan 3 sampai 18 tahun. Kajian tersebut menunjukkan bahawa perceraian sering mempunyai kesan negatif ke atas kanak-kanak sehingga zaman dewasa yang lewat.
Seperti Melissa, ramai pasangan yang tidak bahagia menganggap bahawa adalah lebih baik untuk menunggu sehingga semua anak telah berpindah keluar rumah sebelum bercerai. Dalam dua dekad yang lepas, kadar ‘perceraian zaman tua’ yang melibatkan pasangan yang usia menjangkau 50 tahun telah meningkat dengan hebat. Seiring dengan kecenderungan ini, sebilangan besar buku dan makalah telah menyatakan kesan negatif yang mendalam terhadap orang-orang dewasa semasa perceraian ibu bapa mereka.
Taraf hidup anda akan merosot selepas bercerai. Perceraian mahal terutamanya jika hak penjagaan anak menjadi isu. Dalam kebanyakan kes, pembahagian harta adalah 50–50 dan selalunya mengakibatkan sumber kewangan yang akan dikurangkan untuk semua pihak yang terlibat; Namun begitu, kaum wanita yang lebih terjejas dari segi kewangan. Menangani butiran kewangan untuk sesuatu perceraian – bukan sekadar pembahagian harta, tetapi menguruskan insuran, cukai, pinjaman dan perbelanjaan yang berterusan – juga menjadi proses yang sangat mencabar.
Tiga sikap mental untuk kebahagiaan dalam perkahwinan. Apakah yang anda boleh lakukan sekiranya berada dalam perkahwinan yang tidak bahagia? Laporan Institute of American Values mengenalpasti tiga sikap orang yang telah berkahwin yang boleh digunakan untuk meramal sama ada sesuatu pasangan akan terus tinggal bersama dan akhirnya mendapat perkahwinan yang lebih bahagia. Saya memang menggalakkan pasangan-pasangan berusaha untuk memupuk sikap-sikap berikut:
Berazam untuk meneruskan hubungan perkahwinan.
Apabila ditemuduga, pasangan yang mendapati perkahwinan bertambah baik telah menyatakan bahawa mereka tidak berusaha membaiki hubungan, sebaliknya mereka ‘tahan sahaja’. Pasangan-pasangan tersebut melaporkan bahawa lama-kelamaan masalah mereka bertambah baik, dan ini menambahkan kebahagiaan mereka.
Saya tidak mengesyorkan rancangan di mana pasangan bertahan lebih lama daripada masalah dalam perkahwinan mereka melalui keazaman yang degil. Namun demikian, komitmen untuk terus tinggal bersama, ‘tidak kira apa’ boleh menjadi asas untuk mencari jalan membaiki perkahwinan anda.
Ini adalah persoalan kritikal yang memberi kesan mendalam terhadap komitmen ini: Adakah terdapat pihak ketiga? Jika kamu mahu terus bersama dengan pasangan dan berusaha membaiki hubungan perkahwinan yang rosak, hubungan dengan orang lain mestilah ditamatkan. Jika tidak, proses berhubung dengan pasangan anda ibarat berjalan merentasi padang gurun Sahara manakala hubungan dengan pihak ketiga seolah-olah oasis yang sejuk dan menyegarkan. Perkahwinan anda tidak akan bertahan lama. (Dan, oasis itu adalah khayalan semata-mata.)
Menetapkan Etika Perkahwinan
Para pasangan yang menghadapi masalah boleh berdamai dengan penerimaan nasihat kaunselor, seminar perkahwinan, buku-buku yang baik atau berhubung dengan seorang mentor.
Dalam buku The Good News About Marriage, seorang pengkaji bernama Shaunti Feldhahn telah menunjukkan bahawa kebanyakan perkahwinan gagal bukan kerana masalah besar yang sistemik seperti penderaan pasangan atau ketagihan. Sebaliknya, apa yang sering berlaku ialah suami isteri yang saling mencintai akan tersandung oleh perkara kecil yang selalunya disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang keperluan pasangan atau apa yang akan menyakiti pasangan.
Melissa sedang menghadapi isu yang sering timbul di kalangan para isteri – berasa dirinya tidak dihargai. Sesi-sesi kaunseling bersama suaminya, Gene, akhirnya mendedahkan beberapa isu yang kerap dihadapi oleh para suami: Dia berasa tidak dihormati, rungutan tentang ‘kemarau seks’ dan hubungannya dengan isteri diketepikan bila dibandingkan dengan hubungan dengan anak-anak. Paling baik pun, dia kadangkalanya diiktiraf sebagai pihak yang membiayai perkongsian hidup mereka. Mereka bersetuju untuk berusaha memperkayakan perkahwinan mereka dari segi emosi dan bukan mengganggapnya sebagai hubungan perniagaan.
Memilih untuk berpuas hati sambil terus setia kepada pasangan
Akhirnya, kebahagiaan anda tidak bergantung kepada situasi anda atau merupakan tanggungjawab pasangan anda. Memupuk kepuasan di tengah-tengah situasi yang tidak sempurna atau keadaan yang sangat sukar merupakan ikhtiar seumur hidup yang memang berbaloi. Tindakan ini bertentangan dengan sikap ‘saya mahu cara saya sendiri’, tetapi kepuasan hati adalah permulaan kebijaksanaan dan kematangan emosi. Saya menyarankan supaya anda fikir mendalam tentang tanggungjawab anda yang menimbulkan rasa tidak puas. (Ingat, walaupun anda memutuskan hubungan perkahwinan, anda masih bawa bersama peribadi serta kelemahan anda.)
Proses ‘Jemputan’
Saya selalu membimbing pelanggan-pelanggan dalam proses pelbagai langkah yang dipanggil ‘jemputan tersebut’. Ini melibatkan pengenalpastian apa yang anda mahu atau perlu dan kemudiannya, memberitahu pasangan dengan permintaan yang spesifik dan realistik. Seterusnya anda menjemput pasangan anda dengan cara yang mesra dan murah hati untuk menangani isu-isu yang timbul. Jemputan ini melibatkan pengakuan kecederaan yang telah berlaku dan keinginan untuk penyembuhan.
Sekiranya pasangan bertindak balas dengan positif, bagus-lah! Sekarang mulakan proses penyembuhan.
Sekiranya tindak balas pasangan adalah negatif, saya menasihati dengan bersungguh-sungguh supaya: Jangan mendesak pasangan memberi sesuatu yang dia enggan beri. Anda harus menghapuskan perasaan marah dan keinginan menghakimi pasangan anda, walaupun anda berpendapat bahawa dia harus dikecam. Sebaliknya, fikirkan satu atau beberapa cara yang bertanggungjawab dan beretika untuk memenuhi keperluanmu, seperti menjalinkan persahabatan dengan mereka yang sama jantina denganmu, ‘melabur’ dalam hidup anak-anak atau cucu atau melayani Tuhan.
Memenuhi keperluan anda dengan cara yang sewajarnya akan mengurangkan perasaan jengkel dan menjadikan anda lebih bermurah hati terhadap pasangan. Ia juga mengurangkan risiko anda akan terjebak dalam hubungan sulit.
Gene telah menerima jemputan Melissa untuk berusaha memupuk hubungan perkahwinan mereka. Tiga tahun kemudian, Melissa percaya bahawa dia telah membuat pilihan yang betul. Perkahwinan boleh diibaratkan sebagai sebidang taman: Ia perlu perhatian berterusan untuk terus membuahkan hasil. Jika pasangan memilih untuk bekerjasama menangani perkahwinan yang bermasalah, mereka boleh mengubah suatu gumpalan rumpai liar menjadi beberapa ekar tanah yang indah.
Hakcipta Teri K. Reisser. Semua hak terpelihara. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
Like