top of page

(7) Kepuasan



Kita masuk ke dalam prinsip yang terakhir, iaitu yang ke-7, iaitu Prinsip Kepuasan. (Principle of Contentment). Bahagian yang terakhir ini adalah yang paling penting di dalam kita mengendalikan wang yang dipercayakan Tuhan untuk kita.


(Money will make our life easier but will never satisfy us.)


Wang akan membuat hidup kita senang tetapi tidak dapat memuaskan kita. Di dalam kita mengendalikan wang, kita harus belajar rahsia kepuasan. (secret of contentment).


Di marketplace, kita akan sentiasa dikelilingi dengan orang-orang yang inginkan lebih. Mereka tidak akan puas dengan apa yang mereka ada. Mereka selalu mengatakan "jikalau saya ada lebih sedikit, barulah saya akan merasa gembira". Sukacita kita yang percaya di marketplace, tidak bergantung kepada apa yang kita ada, tetapi kepada siapa yang memiliki kita, iaitu Yesus Kristus.



Di dalam Bahasa Inggris, Paulus mengatakan, “I have learned the secret of being content.”, maksudnya, “Dia telah mempelajari rahsia berasa cukup, iaitu kepuasan”


Kebanyakan orang tidak tahu untuk berasa cukup dan puas. Sifat semulajadi kita sebagai seorang manusia, adalah tidak sentiasa berpuas hati.

  • Kita selalu mahu sesuatu yang baru,

  • Kita selalu mahu menukarkan sesuatu,

  • Kita selalu tidak puas hati.

Menjadi seorang yang berpuas-hati, bukanlah satu yang natural untuk kita, kan saudara-saudari? Jadi, prinsip yang ke-7 ini, mengatakan kita harus belajar rahsia kepuasan, termasuk saya sendiri, secara peribadi.


Persoalannya, bagaimana kita melakukannya, kerana kepuasan bukanlah sesuatu yang otomatik. Saya kongsikan 4 kunci, walaupun tidak menyeluruh, tetapi ini, saya rasa cukup untuk kita belajar mempraktikan di dalam kehidupan kita seharian. Dan 4 kunci ini adalah yang bertentangan dengan nilai-nilai yang dipromosikan dunia kepada kita. Jadi, kita kena belajar menukar polar pemikiran kita.


#1: Kita berhenti membandingkan diri kita dengan orang lain



Tuhan menciptakan kita unik dan identiti kita adalah di dalam Yesus Kristus.


2 Kor 10:12 Kami tidak berani menggolongkan atau membandingkan diri kami dengan mereka yang memuji diri sendiri. Apabila mereka menilai diri sendiri dan membandingkan diri sama sendiri, mereka tidaklah bertindak dengan bijaksana.

Bukanlah satu yang bijaksana untuk kita membandingkan diri kita dengan orang lain .. menurut firman Tuhan.


Kita tidak seharusnya mengingini sesuatu yang miliknya adalah orang lain dengan ghariah sekali … dengan tanpa kawalan contohnya.


Keluaran 20:17 Jangan mendambakan rumah jiranmu. Jangan ingini isteri jiranmu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.Kedambakan adalah keinginan untuk memiliki sesuatu yang tanpa kawalan.

Keinginan tidak salah, tetapi, keinginan yang tanpa kawalan-lah yang berbahaya, Kedambakan atau coveteousness, adalah dosa yang sama tarafnya dengan dosa sepuluh perintah Allah yang lain seperti, membunuh, menyembah berhala dsb. Rahsia hidup kepuasan (contented life) ialah untuk kita jangan membandingkan diri kita dengan orang lain.


#2: Kita menikmati apa yang kita ada.



Rahsia kepuasan yang ke-2, ialah bergembira dengan apa yang kita ada. Banyak orang tidak menikmati apa yang mereka ada kerana mereka sibuk dengan mencari yang lebih Kehidupan adalah untuk kita nikmati, bukan hanya bertahan atau berkerja terlalu keras sehingga kita tidak mampu “enjoy” apa yang kita ada. Pengkhutbah 5:19 Setiap orang yang dirahmati Allah kekayaan, harta benda dan kuasa untuk menikmatinya, untuk menerima bahagiannya, dan untuk bersukacita dalam jerih payahnya – itu juga kurnia Allah. Tuhan memberkati kita dengan kekayaan, harta benda dan kuasa untuk kita nikmati dan bersuka-cita. Tidak semestinya, kita harus mendapat yang banyak tetapi menikmati apa yang kita ada. Izinkan saya katakan, bahawa kebahagian adalah satu pilihan. Jikalau kita mengatakan bahawa kehidupan kita tidak mencukupi, kita mempunyai 2 pilihan:

  • Bekerja dengan lebih kuat

  • Atau mengingini dengan lebih kurang.


#3: Kita harus mengingati bahawa hidup bukanlah berkenaan dengan harta kekayaan.



Kita harus mempunyai perspektif yang betul tentang harta-benda.


Lukas 12:15 Yesus terus menambah, “Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.”


Kehidupan bukanlah berkenaan dengan

  • Wang atau Harta kekayaan

  • Kejayaan atau success

  • Pangkat atau posisi

Tetapi kehidupan adalah berkenaan dengan perhubungan.


#4: Kita fokus kepada yang berkekalan.



Kita membina kehidupan kita dengan memberikan prioriti kepada yang berkekalan. Setiap yang kita ada tidak akan berkekalan untuk selama-lamanya.


Hanya 2 perkara yang berkekalan - firman tuhan dan hidup di akhirat satu hari nanti.


Alkitab mengatakan di dalam 1 Petrus 1:24-25, semua manusia umpama rumput, dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang, rumput layu, bunga gugur, tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.


Kebenaran tidak bertukar, saudara-saudari. Sebab itu, kita harus membaca Alkitab.


2 Korintus 4:18 Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal.

Paulus memberikan fokus kepada yang berkekalan. iaitu kehidupan kita di syurga satu hari nanti …. Dan ini diperolehi dengan perhubungan kasih. Pertamanya, Perhubungan kasih kita dengan Tuhan Iaitu menerima Yesus sebagai Juru Selamat kehidupan kita. Inilah harinya untuk kita menyatakan, bahawa kita memerlukan Tuhan. Perhubungan kasih kita dengan Tuhan akan mengakibatkan kita memberikan prioriti kepada perhubungan dengan orang lain. Apabila kita mengasihi Tuhan, kita akan mengasihi orang lain, dan memperkenalkan mereka kepada Yesus Kristus, juru selamat kehidupan kita. Jadi hari ini, mulai hari ini, marilah kita sama-sama minta pertolongan Tuhan untuk mengajar kita mempraktikan rahsia kepuasan, “the secret of contentment.” di dalam kita mengendalikan wang yang diberikan Tuhan kepada kita.



Elder Ann Wan Kuan

Comments


bottom of page