top of page

Ada Kemenangan Dalam Kuasa Kebangkitan-Nya


Semasa Yesus ditangkap, disalibkan di atas kayu salib dan dikuburkan, murid-murid Yesus bertempiaran lari kerana terlalu takut, kecewa dan putus harapan. Mereka lari menyembunyikan diri. Mana tidaknya kerana selama mereka mengikuti Yesus, mereka berada bersama dengan orang yang nampaknya dapat memberi harapan baru untuk kehidupan yang lebih baik, yang mempunyai kewibawaan dari segi kata-kata mahupun perbuatan. Yesus begitu berwibawa hinggakan iblis, kuasa-kuasa kegelapan malah alam semulajadi pun tunduk kepada-Nya. Mereka menjadi sangat terkenal, ke mana sahaja mereka pergi bersama Yesus pasti akan menjadi tumpuan mata ramai orang. Tiba-tiba Yesus dibunuh! Murid-murid Yesus tergaman dengan apa yang telah terjadi, walaupun sudah berkali-kali diberitahu oleh Yesus sendiri mengenai kematian-Nya. Tiba-tiba mereka sedar bahawa orang yang mereka sandarkan harapan mereka itu sudah meninggal. Dia yang diharapkan sudah tidak ada bersama dengan mereka lagi! Harapan mereka punah bersama dengan kematian Yesus!


Namun, belum lagi mereka sempat memproses tentang apa yang sedang berlaku, tiba-tiba terjadi satu lagi peristiwa gempar di mana mereka diberitahu bahawa kubur Yesus kosong! Yesus tidak ada di sana. Dan malaikat memberitahu beberapa orang wanita bahawa Yesus telah bangkit dan hidup kembali! Sesuatu yang luarbiasa dan sulit untuk dimengerti. Pada saat itu fikiran murid-murid Yesus masih lagi tidak dapat membendung ke semua peristiwa yang telah terjadi itu. Mereka masih lagi terpinga-pinga. Pada hari itu juga, dua orang daripada murid Yesus berjalan menuju ke kampung Emaus. Sedang mereka berjalan dan berbual-bual mengenai apa yang telah terjadi, tiba-tiba Yesus muncul menampakkan diri-Nya dan berjalan bersama mereka. Namun mereka tidak mengenal-Nya. Yesus bertanya apakah yang sedang dibualkan oleh mereka. Mereka berasa muram dan sedih lalu menjawab, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini? Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?” Lalu mereka menceritakan tentang apa yang telah berlaku. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata-kata nabi!” (Lukas 24:13-35).


Murid-murid Yesus belum lagi mengerti tentang apa yang sedang terjadi. Namun Yesus sudah bangkit dari kubur dan hidup kembali serta menampakkan diri-Nya kepada mereka untuk membuktikan bahawa Dia benar-benar telah bangkit. Yesus bangkit bukan dengan tangan kosong, namun membawa kemenangan total demi orang-orang yang dikasihi-Nya. Menang di atas kuasa dosa, kuasa maut dan juga kuasa kegelapan! Kebangkitan Yesus memberi harapan yang baru dan hidup kepada mereka yang percaya kepada-Nya. Kuasa kebangkitan-Nya itu juga merupakan milik kita yang menaruh harapan di dalam-Nya. Tetapi pada masa itu murid-murid Yesus muram dan sedih. Mereka tidak dapat menerima hakikat malah tidak percaya, seolah-olah apa yang telah diajarkan oleh Yesus sebelum ini seakan-akan seperti air yang dicurahkan ke atas daun keladi. Sikap mereka seperti orang yang kalah total.


Bagaimana pula dengan kita? Adakah sikap kita pada hari ini serupa seperti murid-murid Yesus di waktu itu? Kita telah mendengar berita tentang Yesus dan kebangkitan-Nya daripada kematian. Berita tentang kuasa kebangkitan-Nya yang membebaskan. Malah setiap tahun kita akan memperingati dan merayakan Hari Kebangkitan-Nya. Namun dalam kehidupan seharian, kita tidak mengenal mahupun mengalami kuasa kebangkitan Yesus itu. Kita muram, sedih, kecewa, takut serta putus harapan dalam banyak perkara. Kita hidup seolah-olah kita kalah. Tidak ada sukacita yang penuh. Tidak mengecapi kemenangan dalam hidup rohani mahupun jasmani. Hidup yang tidak ada kuasa. Padahal Yesus telah mati di atas kayu salib dan bangkit daripada kematian-Nya untuk memberikan kemenangan total kepada kita.


Apapun situasi kita hari ini, percayalah dan bersukacitalah. Janganlah kita bermuram dan bersedih hati. Marilah kita menghayati dan menyelami kedalaman erti sebenar kuasa kebangkitan Yesus buat kita. Kerana Dia telah melakukan segala-galanya supaya kita dapat menikmati kuasa kebangkitan-Nya itu dalam hidup kita. Bersukacitalah kerana Penebus kita hidup, Dia tidak tetap tinggal di kubur, tetapi Dia sudah bangkit dan memberikan kemenangan-Nya itu kepada kita. Bukan sahaja kuasa kebangkitan-Nya itu ada di dalam kita, malah kepenuhan kuasa Roh Kudus juga ada di dalam kita. Dengan itu, marilah kita hidup sesuai dengan kemenangan yang telah diperolehi dan mendapat kebebasan demi kebebasan daripada apa pun tipu muslihat si iblis. Menghidupi gaya hidup berkemenangan dalam segala perkara kerana di dalam Dia, kita adalah orang-orang yang lebih daripada pemenang! “Tetapi dalam semuanya itu kita lebih daripada orang-orang yang menang, oleh Dia yang telah mengasihi kita” (Roma 8:37).


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.


Amen.

Sue

Comments


bottom of page