Jantung Ratu Ester mungkin berdebar dalam ketakutan. Tetapi demi bangsanya, dia harus beranikan diri untuk menghadapi suaminya, iaitu Raja Ahasyweros yang patut ditakuti. Dalam hukum-hukum Parsi, tiada sesiapa pun yang dibenarkan untuk berjumpa dengan raja sesuka hati tanpa dipanggil raja sendiri. Sesiapa yang pergi jumpa raja tanpa disuruh, mereka berisiko untuk dihukum mati, tidak kira status seseorang biarpun dia ialah seorang ratu, mahupun dia memiliki paras yang cantik. Lebih-lebih lagi kerana ratu yang cantik sebelum Ratu Ester, dilucutkan atas sebab keingkarannya terhadap perintah raja.
Kecantikan Ratu Ester tidak gagal mengagumkan ramai orang, tapi kecantikannya tidak menjamin nyawanya terpelihara di depan peribadi yang ada hak untuk menjatuhkan hukuman mati. Ratu Ester menduduki status yang terhormat sebagai seorang ratu diraja, namun dia tetap di bawah autoriti seorang raja. Ratu Ester tahu bahawa dia tidak boleh bergantung pada kecantikannya mahupun statusnya untuk menghadapi Raja Ahasyweros. Dalam dirinya, tiada satu pun yang dia boleh harapkan untuk memelihara nyawanya. Apa yang dia hanya mampu lakukan ialah yakin pada Allah, dan teruskan apa yang patut dia buat demi keselamatan bangsanya. Tiada cara lain selain daripada berjumpa dengan raja, dan tiada benda lain dia boleh harapkan selain daripada Allah. "Jika kerana itu aku harus binasa, biarlah aku binasa", kata Ratu Ester sebelum jumpa raja. Jadi atau tak jadi hidup, janji jumpa raja. Syukur, raja berbuka hati terhadapnya dan terima kunjungannya yang tidak dirancang mahupun disuruh. Dari situ, bangsa Ratu Ester dipelihara.
Begitu juga dengan keselamatan kita dalam Allah. Kita tidak dapat bergantung pada apa yang kita miliki (seperti kealiman, kerap melayani di gereja, kuat berdoa, dll) untuk berjumpa dengan Raja di takhta syurga mahupun mengekalkan keselamatan kita. 1. Usaha paling baik pun kita lakukan hanyalah sebuah kain kotor (Yesaya 64:6). “Kami semua seperti orang bernajis, dan segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar. Kami semua layu seperti daun, dan kesalahan-kesalahan kami menerbangkan kami seperti angin.”
2. Kita hanya mampu berjumpa Allah dengan mengimani Jalan, Kebenaran, dan Hidup yakni Kristus sendiri (Yohanes 14:6). “Yesus menjawab, "Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.”
3. Keselamatan kita hanya boleh bergantung kepada Pemerintah Yang Terpuji dan Tuhan segala tuhan (1 Tim. 6:14-15). “taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Yesus Kristus, Tuhan kita, datang kembali, yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah Yang Terpuji dan satu-satunya Raja segala raja dan Tuan segala tuan.”
4. Nyawa kita hanya boleh mengharapkan pada Pemberi hukum kita (Yakobus 4:12). “Hanya ada seorang Pemberi hukum dan Hakim. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan atau membinasakan seseorang. Siapakah kamu maka ingin menghakimi sesama manusia?”
5. Hanya Gembala yang Baik dapat memelihara nyawa kita dengan sempurna dan kekal, dan dalam diri-Nya tiada satu pun umat pilihan-Nya dirampas hidup kekal mereka dan binasa (Yohanes 10:11 & 28). “Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.”
Yohanes 10:11 AVB
“Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.”
Yohanes 10:28 AVB
6. Roti Hidup juga sendiri berjanji kepada kita bahawa sesiapa yang Bapa berikan kepada Yesus tidak akan ditolak mahupun dicicir oleh Yesus sendiri, malah akan dibangkit oleh Yesus pada hari akhir (Yoh. 6:35-39). “Yesus berkata kepada mereka, "Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.”
7. Perkataan "kekal" ada dalam Yohanes 3:16 bukan sebab manusia mampu berusaha untuk mengekalkan hidup mereka, melainkan dengan kasih karunia dan kemahakuasaan Allah Dia memelihara hidup kita (Efesus 2:8). “Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah –”
8. Terpujilah nama Allah, sebab Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam umat-Nya dengan memelihara mereka dari saat mereka diselamatkan sehingga ke garis akhir iaitu hingga hari Yesus Kristus (Filipi 1:6). “Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus.”
9. Kita tidak keseorangan berjumpa dengan Bapa di syurga, sebab Yesus Kristus yang adil telah berjumpa Bapa dan membela bagi pihak kita (1 Yohanes 2:1).“Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Akan tetapi, jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Bapa, iaitu Yesus Kristus Yang Benar itu.”
𝗝𝗶𝗸𝗮 𝗔𝗹𝗹𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗲𝗻𝗱𝗮𝗹𝗶 𝗮𝗹𝗮𝗺 𝘀𝗲𝗺𝗲𝘀𝘁𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗯𝗲𝘀𝗮𝗿 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝘁𝗲𝗿𝗵𝗶𝘁𝘂𝗻𝗴, 𝘀𝘂𝗱𝗮𝗵 𝗽𝗮𝘀𝘁𝗶 𝗗𝗶𝗮 𝗱𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗺𝗲𝗺𝗲𝗹𝗶𝗵𝗮𝗿𝗮 𝗵𝗶𝗱𝘂𝗽 𝗱𝗮𝗻 𝗸𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗸𝗶𝘁𝗮 𝗱𝗮𝗿𝗶 𝗸𝗲𝗸𝗮𝗹 𝘀𝗲𝗵𝗶𝗻𝗴𝗴𝗮 𝗸𝗲𝗸𝗮𝗹. Oleh itu, marilah kita letak harapan kita pada Allah kita!
Bacaan: Kitab Ester bab 1 & 4, dan Yohanes 6:25-59 Penulis : Bryan Wong Sumber : PagePr Edmund Kumar
Comments