top of page

Allah Maha Hadir dan Bertindak


Kej 1:1-3

1 Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi.

2 Bumi belum berbentuk dan kosong; gelap gulita menutupi samudera raya, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air.

3 Berfirmanlah Allah: "Jadilah terang." Lalu terang itu jadi.



Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi”; pekerjaan Allah di sini (Kej 1:1) masih terlalu umum. Tetapi dalam ayat-ayat seterusnya, penciptaan langit dan bumi mulai menjadi spesifik dan kita akan perlahan-lahan dapat melihat 5W (what, why, when where and how) dalam pekerjaan penciptaan yang dilakukan oleh Allah. Sepanjang kisah penciptaan Allah ini, setiap inci pekerjaan Allah itu sangat mendalam dan penuh makna.


Sebagai contoh, dalam Kej 1:2-3, kita bukan sahaja dapat melihat fakta keadaan asal bumi, tetapi juga karakter Allah. Dikatakan bahawa, Roh Allah hadir (melayang-layang) ketika wujud keadaan bumi yang belum berbentuk (unorganized or no direction), kosong (emptiness) dan gelap gulita (darkness or lack of vision). Bagi saya, terdapat mesej yang mendalam di sebalik firman ini. Kalau Allah mampu hadir di dalam keadaan yang tidak tentu arah, kosong dan gelap, Allah juga mampu hadir dalam keadaan kita yang kacau, kosong dan penuh kegelapan (dosa dan kesilapan). Ingatlah, karakter Allah adalah Dia Maha Hadir. Allah selalu ada bagi anda dan saya dalam apa pun keadaan. Bahkan tidak kebetulan hal ini diungkapkan pada awalan Alkitab seolah-olah inilah perkara pertama yang Allah ingin anda tahu dalam kehidupan anda!


Bukan sekadar itu sahaja, Allah juga ingin anda tahu bahawa Dia bukan sekadar hadir tanpa melakukan sesuatu dalam kekacauan, kekosongan dan kegelapan anda. Dalam Kej 1:3, dikatakan “Berfirmanlah Allah: "Jadilah terang." Lalu terang itu jadi.” Apakah yang kita dapati di sini? Sedarkah anda bahawa walaupun Roh Allah hadir, tidak ada sesuatu perubahan yang signifikan terjadi. Dikatakan bahawa Roh Allah hanya “melayang-layang di atas permukaan air” tetapi itu tidak mengubah apa-apa. Namun, ketika Allah berfirman; ada sesuatu yang telah terjadi! Terang telah muncul dari kegelapan kerana Allah telah berfirman!


Saudara-saudari, Roh Kudus dan firman tidak dapat dipisahkan. Roh Kudus hanya dapat bekerja ketika ada firman dan firman hanya dapat bekerja ketika ada kuasa Roh Kudus! Allah bukan sekadar mahu hadir dalam kehidupan anda! Dia juga turut mahu bekerja dalam kehidupan anda dan saya demi kemuliaan-Nya! Itulah sebabnya tidak cukup untuk kita tahu bahawa Roh Kudus hidup di dalam kita. Pada masa yang sama, kita perlu diperkayakan dengan firman-Nya kerana Allah kita adalah Allah yang Maha hadir dan bertindak!


Tuhan memberkati!


Pr Roy Dinsim


Comments


bottom of page