top of page

Anugerah Identiti (Bhg. 1)


Yohanes 1:12 (TB) Tetapi semua orang yang menerima-Nya diberi-Nya kuasa supaya menjadi anak-anak Allah, yaitu mereka yang percaya dalam nama-Nya.


Identiti adalah anugerah! Identiti kita tidak dibeli, dicapai, diusahakan atau diberikan oleh sesiapa seperti ibu bapa kita ataupun orang lain. Identiti hanya mampu diberikan oleh Allah kerana tidak ada seorang pun yang layak memperolehinya. Identiti yang saya maksudkan ialah identiti kita sebagai anak-anak Allah (Yoh 1:12). Jalan untuk mendapatkan identiti tersebut adalah hanya dengan percaya dan menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi kita dan melalui respon ini, kita diberi autoriti menjadi anak-anak Allah!


Adakah anda sudah menerima identiti anda? Atau adakah anda masih tercari-cari akan identiti anda? Yang lebih teruk lagi adalah apakah anda sedang mengusahakan identiti anda? Sekiranya anda masih bersikap demikian, anda mengalami krisis identiti. Orang yang mengalami krisis identiti akan selalu ingin membuktikan dirinya di hadapan orang tertentu. Orang seperti ini akan berusaha membuat yang terbaik di hadapan orang semata-mata untuk diterima. Biasanya ketika ada pujian, penerimaan dan pengiktirafan, barulah orang tersebut akan merasa lebih baik terhadap dirinya sendiri kerana nilai dan harga dirinya sudah diperolehi. Sikap seperti ini adalah salah dan tidak Alkitabiah!


Namun, orang yang sudah menerima anugerah identiti mempunyai sikap yang sebaliknya. Anak-anak Allah tidak membuktikan dirinya tetapi mengekspresikan dirinya secara semula jadi. Anak-anak Allah membuat yang terbaik bukan untuk diterima tetapi kerana sudah diterima. Tanpa pujian, penerimaan dan pengiktirafan sekalipun, anak-anak Allah tetap merasa diri pada tahap yang terbaik kerana harga dan nilai diri mereka tidak bergantung kepada pujian, penerimaan dan pengiktirafan orang tetapi bergantung kepada pujian, penerimaan dan pengiktirafan Allah melalui Yesus Kristus.


1 Korintus 6:20 (TB) Sebab kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: Karena itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu! Kita sebagai anak-anak Allah tidak membayar harga untuk identiti diri kerana Yesus Kristuslah yang telah membayar harga identiti diri kita di kayu salib secara lunas. Hari ini, kita hidup kerana sudah memperoleh identiti, bukan lagi untuk memperoleh identiti.


Pr Roy Dinsim



Comments


bottom of page