top of page

Apa Maksud Mencari Tuhan?



Apakah yang dimaksudkan dengan kata ‘mencari Tuhan’? Adakah Tuhan hilang sehingga kita perlu mencari-Nya? Bukankah yang hilang adalah manusia berdosa dan Tuhan yang telah turun untuk mencari kita?


Sebenarnya setiap orang yang belum mengenal, belum percaya dan belum menerima Tuhan Yesus Kristus mereka itu bukan hilang melainkan mati. Golongan ini mati secara rohani sebab terpisah dari Tuhan Allah akibat dosa. Alkitab bercakap tentang tiga jenis kematian iaitu kematian rohani, kematian jasmani dan kematian kekal. Kematian rohani adalah kehidupan yang tidak mengenal tidak percaya dan belum menerima Tuhan Yesus Kristus. Kematian jasmani adalah ketika roh berpisah dari tubuh manusia. Kematian kekal pula adalah terpisah dari hadirat Tuhan Allah selama-lamanya. Kematian kekal adalah bagi mereka yang tidak percaya kepada Tuhan Allah dalam Anak-Nya, Tuhan Yesus Kristus. Setiap orang perlu percaya kepada Tuhan Yesus Kristus untuk dapat datang kepada Allah Bapa syurgawi dan selamat dari neraka kekal.


Panggilan ‘mencari Tuhan’ adalah untuk orang-orang yang sudah mengenal Tuhan. Orang-orang yang sudah mengenal Tuhan terus mencari Tuhan dalam doa dan penghayatan firman Tuhan untuk mendapatkan kekuatan daripada-Nya untuk menjalani hari-hari mereka.


Panggilan ‘mencari Tuhan’ juga untuk orang-orang yang sudah mengenal Tuhan tetapi mereka tiba-tiba hilang dari radar. Ramai orang percaya berada dalam golongan ini. Golongan ini sudah digambarkan oleh Tuhan Yesus dalam perumpamaan-Nya tentang anak yang hilang dalam Lukas 15. Anak yang memilih untuk keluar dari rumah bapanya untuk pergi jauh dan hidup dalam hawa nafsu tiba-tiba kembali sedar bila berlaku kesusahan besar di tempat orang. Dia pun kembali kepada bapanya yang berlari menyambut dia dengan tangan terbuka dan memeluknya! Anak yang hilang ini termasuklah para jemaat Tuhan yang telah meninggalkan pasangan hidup mereka dan pergi kepada orang lain untuk hidup melayani nafsu manusia. Sedarlah kita dan marilah kembali kepada Tuhan Allah Bapa kita!


Bagaimanakah kita mencari Tuhan? Apakah erti dan apa yang kita lakukan apabila kita ‘mencari Tuhan’?


“Mencari Tuhan” bererti:


1. Kita mengimani dan mengamalkan doa ‘Bapa Kami’. Kita mendoakan doa ini dengan sepenuh hati dalam pengakuan, penyerahan dan pengagungan kita kepada-Nya. Hayati Matius 6:9-13.


2. Kita datang kepada Tuhan dan berserah tubuh dan seluruh kehidupan sebagai korban yang hidup kepada Tuhan Allah (Roma 12:1-2) dan dari titik persembahan hidup ini, kita jalani sepanjang hari-hari kita dalam kebenaran firman Tuhan. Hayati Roma 12-16.


3. Kita hidup dalam sikap penuh percaya kepada Tuhan yang adalah Gembala hidup kita setiap hari. Kita mencari wajah-Nya untuk mendengar dan mentaati suara-Nya. Hayati Mazmur 23, Yohanes 10.


4. Kita terus beriman kepada Tuhan di setiap waktu. Hidup beriman bererti hidup berdasar kebenaran firman Tuhan yang diingatkan oleh Roh Kudus di dalam hati kita. Ini sama juga dengan poin 3 di atas. Hayati Yohanes 14:26, Roma 10:17, Yakobus 1:19-22.


5. Kita mencari Tuhan dengan datang kepada-Nya dalam doa kesyukuran, pujian dan penyembahan dengan berhiaskan kekudusan (Mazmur 96:6, Mazmur 100:4)


6. Berdoa bersama semua saudara-saudari seiman dengan merendahkan hati dan meninggalkan jalan-jalan kita yang jahat dan dengan iman memohon belas kasihan Tuhan untuk mengampuni semua dosa bangsa dan negara kita dan memohon kepada-Nya agar memulihkan tanah kita. 2 Tawarikh 7:14


7. Hidup dalam berbuat baik dan memiliki sikap memuji dan menyembah Tuhan dalam setiap amalan peribadi mahupun keluarga. Ini kerana Tuhan bertakhta di atas puji-pujian umat-Nya dan puji-pujian adalah korban-korban yang menyenangkan Tuhan. Mazmur 22:4, Ibrani 13:15-16.


Marilah kita bersama-sama terus hidup mencari wajah Tuhan dan kekuatan-Nya, baik secara peribadi mahupun keluarga. Tuhan sudah semakin dekat!


Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui,

berserulah kepada-Nya selagi Dia dekat.

7Hendaklah orang fasiq meninggalkan jalannya

dan orang jahat meninggalkan segala rancangannya.

Hendaklah dia kembali kepada TUHAN,

maka Dia akan mengasihaninya,

dan kepada Allah kita,

kerana Dia akan mengampuni dengan limpahnya. (Yesaya 55:6-7 AVB)


Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook Pena Rajawali II

Comments


bottom of page