top of page

Apa Yang Ada Dalam Hati Allah?


Ada ramai orang Kristian berfikir bahawa Paskah ialah peristiwa yang berlaku waktu anak domba disembelih dan menjadi detik kepada pembebasan bangsa Israel dari Mesir (Keluaran 12). Namun semakin kita mendalami Firman Tuhan, kita dapati bahawa "Ada salib dalam hati Allah sebelum ada salib dipacak di bukit hijau di Yerusalem."


Dr. Donald Grey Barnhouse menghuraikannya demikian untuk kita: "Di Taman Eden, Allah menyediakan satu domba untuk 2 individu. Di Mesir, Allah menyediakan satu anak domba untuk seisi rumah. Pada Hari Penebusan Dosa (Yom Kippur), Allah menyediakan satu domba untuk seluruh bangsa. Dan di Golgota, Allah menyediakan satu DOMBA untuk seluruh dunia."


Semua peristiwa penting ini tertulis dalam Firman Tuhan (Kejadian 3, Keluaran 12, Imamat 16 & Yohanes 1). Ini menunjukkan bahawa Allah sedang menyingkapkan mesej Salib itu sedikit demi sedikit kepada manusia.


Ada seorang kawan saya menceritakan sejarah purba suku Rungus: "Dalam tradisi Rungus purba (suku di Sabah), salah satu hukuman paling berat di panggil "isangkap" iaitu di gantung dengan memacaknya di pohon besar untuk kumpulan Mangazou dari darat atau di pacak di pampang (batu besar) di laut."


Pusing ke kiri, pusing ke kanan, kita dapati bahawa idea salib ini sudah ditanam dalam sanubari dunia! Jantung dunia ini berdenyut dengan penantian suatu korban sekali untuk selamanya bagi manusia. Semakin kita menghampiri Paskah atau Jumaat Agung, mari kita lihat sekali lagi kepada hati Allah. Dia memberikan Anak-Nya sendiri jadi korban di atas salib bagi dosa kita agar manusia yang berdosa tidak perlu dihukum, tidak perlu dibinasakan, tidak perlu disalibkan. Salib Kristus ialah peristiwa yang melampaui sejarah dan masa!


Sumber : Pr Edmund Kumar | Facebook

Comments


bottom of page