“Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia akan melakukannya.”
(1 Tesalonika 5:24 AVB)
Tuhan tidak akan memanggil kita untuk melakukan sesuatu tanpa menyediakan dan mempersiapkan kita untuk melakukannya. Urapan adalah salah satu tanda Tuhan melengkapi dan memperkasakan kita untuk memenuhi tugasan yang Dia berikan kepada kita.
Apakah kita mahu kuasa kebangkitan Tuhan bekerja di dalam hidup kita? Oleh itu, kita harus memahami apakah maksudnya untuk mendapat urapan Tuhan, di dalam kehidupan kita seharian dan di marketplace (di tempat kerja kita).
(1) Apabila Tuhan memanggil kita, kita boleh bergantung kepada urapan Tuhan.
Tugasan Yesus kepada murid-muridnya adalah sesuatu yang mustahil dilakukan secara manusia. Mereka tidak mungkin membawa Injil sampai ke hujung bumi. Ini hanya dapat dilakukan melalui kuasanya. Tuhan akan memanggil kita untuk melakukan yang secara manusia mustahil, tetapi Dia akan melakukan apa yang mustahil menjadi tidak mustahil.
“Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia akan melakukannya.”
(1 Tesalonika 5:24 AVB)
John Haggai ada mengatakan “Attempt something so impossible that unless God is in it, it's doomed to failure.”
“Cuba sesuatu yang sangat mustahil sehinggakan usaha itu akan gagal, jikalau Tuhan tidak ada di dalamnya”
(2) Urapan Tuhan akan menyenangkan usaha kita.
Sumber kita, tenaga kita, pengetahuan kita, kebijaksanaan kita dan talenta kita adalah terhad. Tetapi dengan Tuhan, semua itu akan dilipatgandakan. Urapan Tuhan akan membolehkan kita menangani tugasan yang diberikan Tuhan kepada kita untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik, lebih jauh dan lebih lama.
“Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu.”
(Efesus 3:16 AVB)
(3) Urapan Tuhan akan menyebabkan yang mustahil menjadi nyata.
Di dalam business kita, di dalam pekerjaan kita, di dalam perkahwinan kita, di dalam kesihatan kita dan perhubungan kita, kita akan berhadapan dengan masalah yang ada kalanya susah untuk kita atasi. Tuhan boleh mengatasi semuanya.
Yesus menjawab, "Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah."
(Lukas 18:27 AVB)
(4) Tuhan mengurapi kita untuk memberkati orang lain.
Tuhan memberikan suka cita untuk mereka yang tertekan, buta, sakit hati, terbelenggu dengan tabiat yang tidak baik dsb. Tuhan memberikan kita urapan untuk menolong dan memberkati orang lain.
“Perkhabaran itu tentang Yesus orang Nazaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai Kristus dan memberi-Nya Roh Kudus serta kuasa. Dia telah pergi ke merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus.”
(Kisah Para Rasul 10:38 AVB)
(5) Kita memerlukan kuasa Tuhan yang baru untuk setiap cabaran baru yang kita hadapi.
Urapan Roh Kudus, tidak boleh disimpan. Kita tidak boleh mengendalikan masalah kita yang hari ini dengan urapan yang semalam. Tentu sekali kita tidak boleh menangani masalah keesokan hari dengan urapan yang semalam.
Maksudnya, kita harus sentiasa diurapi Tuhan. Urapan yang hari ini, tidak boleh disimpan untuk hari esok.
Renungkan:
Jikalau kita percaya bahawa Tuhan mahu memberkai hidup kita, apa yang ingin kita minta daripada Tuhan?
Apakah kita cuba mengendalikan tugasan kita dengan kuasa sendiri atau dengan kuasa Tuhan? Apakah perbezaannya?
Dengan cara apakah yang dapat kita lihat Tuhan mengurapi kita? Untuk memenuhi panggilan Tuhan di dalam hidup kita?
Comments