Doktrin Ilham :
Umat Kristian menganggap Al-Kitab itu firman Allah yang telah diilhamkan oleh Allah. Apakah sebenarnya maksud “ilham”? Untuk memahami konsep ini, haruslah kita membaca dua petikan dari Al-Kitab.
2 Timotius 3:16 menyatakan demikian: “Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran.”
Dari petikan tadi, perkataan Kitab Suci ini disebut sebagai “graphe” dari bahasa asalnya, iaitu bahasa Yunani. Maksud “graphe” ialah tulisan. Graphe/ Kitab Suci ini adalah Firman Allah dalam bentuk tulisan.
Perkataan seterusnya yang harus kita lihat ialah perkataan “diilhamkan”. Perkataan asal “theopneustos” yang terdiri daripada 2 perkataan, iaitu “Theos” bermaksud Allah; dan “pneo” bermaksud nafas/hembusan.
Jadi, ilham di sini boleh difahamkan sebagai hembusan Allah. Sepertimana kita menghembuskan nafas apabila kita bercakap, tulisan-tulisan ini dianggap sebagai firman Allah yang dibawa oleh hembusan-Nya apabila Allah berfirman. Petikan ini menunjukkan bahawa seluruh Kitab Suci datang daripada Allah.
Tapi, kita tahu bahawa Kitab Suci ini juga ditulis oleh manusia, bagaimanakah ia boleh dianggap sebagai firman Allah?
Beberapa analogi boleh membantu kami untuk memahami konsep ini. Bayangkan, seorang pemuzik mempunyai pelbagai jenis alat muzik, antaranya termasuk seruling, serunai, keluri dan sebagainya. Setiap jenis alat muzik ada bunyi dan nada yang tersendiri. Apabila pemuzik itu meniup alat-alat muzik itu, alat-alat muzik itu mampu menghasilkan bunyi yang berbeza, walaupun pemuzik itu memain irama yang sama. Dalam analogi ini, pemuzik itu ibarat Allah, di mana Allah menghembuskan nafas ke dalam alat-alat muzik yang berbeza, yang mewakili penulis-penulis Kitab Suci, manakala irama itu ibarat firman Allah, yang tidak diubah walaupun dimainkan dengan bunyi dan nada yang berbeza. Allah yang menentukan firmannya, dan mengilhamkan penulis-penulis untuk menulis firman tersebut.
Al-Kitab 2 Petrus 1:20-21 bertulis demikian: “Hal terutama yang harus kamu ketahui: Tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal daripada pentafsiran sendiri, kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi disuarakan oleh orang ketika digerakkan oleh Roh Kudus untuk menyampaikan kata-kata daripada Allah.”
Walaupun ditulis oleh manusia, nubuat-nubuat dan ayat-ayat Kitab Suci ini bukan lahir dengan kehendak manusia, tetapi daripada Allah yang mengerakkan manusia. Jadi, umat Kristian tidak ada masalah untuk menganggap Al-Kitab itu firman Allah, walaupun ia ditulis oleh manusia.
Mungkin ada yang juga tertanya-tanya, terdapat pelbagai jenis dan bentuk kesusasteraan dalam Al-Kitab. Jikalau kitab ini firman Allah, bukankah kitab ini seharusnya ditulis dalam bentuk ucapan, seolah - olah Allah itu memberi penerangan tentang sesuatu atau memberi arahan kepada umatnya?
Ya, memang Al-Kitab itu ditulis dalam pelbagai jenis dan bentuk kesusasteraan. Antaranya termasuk naratif, sejarah, undang-undang, nubuat, puisi, lagu, kata-kata hikmah, salasilah, injil, surat dan sebagainya. Tapi hal ini tidak membatalkan Al-Kitab ini sebagai firman Allah.
Adakah Allah itu hanya boleh memberi firman-Nya dalam satu cara, dan satu bentuk atau jenis sastera sahaja? Kita sebagai manusia pun boleh menyampaikan fikiran kita melalui sastera yang pelbagai, memberikan pengajaran melalui cerita-cerita, dan meluahkan perasaan melalui lagu-lagu, apatah lagi Allah yang maha kuasa? Pastinya Allah yang maha mengetahui dapat mengirimkan firmannya dalam pelbagai bentuk penyampaian.
Jadi, yakinkanlah bahawa Al-kitab ini adalah firman Allah yang telah diilhamkan. Hargailah kitab suci ini dan taatilah segala perintah dari-Nya.
Comments