top of page

Apakah Ertinya Alkitab Diilhamkan?





Apabila orang berkata Alkitab itu diilhamkan, mereka merujuk kepada kenyataan yang Allah telah mempengaruhi secara ilahi penulis-penulis Alkitab. Ia berlaku dengan sedemikian rupa sehingga apa yang mereka tuliskan benar-benar adalah Firman Tuhan. Dalam konteks Firman Tuhan, perkataan “diilhami” bererti “diberi nafas oleh Tuhan”. Pengilhaman bererti Alkitab merupakan Firman Tuhan dan ini membuatkan Alkitab itu sangat unik di kalangan semua kitab-kitab yang ada.


Walaupun terdapat pandangan yang berbeza tentang sejauh mana Alkitab itu diilhami, Alkitab itu sendiri mengaku bahawa setiap perkataan dan bahagian Firman itu berasal dari Tuhan (1 Korintus 2:12-13; 2 Timotius 3:16-17).


Pandangan ini sering dirujuk sebagai pengilhaman “kata demi kata yang mutlak”. Ini bererti pengilhaman berlaku ke semua bahagian Firman Tuhan –bukan setakat konsep atau buah fikiran- dan semua perkara yang disebut dalam Firman Tuhan. Ada pendapat mengatakan hanya bahagian-bahagian tertentu atau hanya konsep yang bercakap tentang keagamaan sahaja yang telah diilhamkan, tetapi pandangan ini bercanggah dengan apa yang diakui oleh Alkitab. Pengilhaman sepenuh secara kata demi kata yang mutlak merupakan ciri-ciri penting Firman Tuhan.


Keluasan pengilhaman Firman Tuhan dapat dilihat dengan sangat jelas dalam


2 Timotius 3: 16-17 (AVB) ““Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran. Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.”


Ayat-ayat ini berkata kepada kita bahawa Tuhan telah mengilhamkan kesemua Firman Tuhan dan ianya bermanfaat untuk kita. Bukan hanya bahagian-bahagian tertentu dalam Alkitab yang bercakap tentang agama sahaja yang telah diilhamkan tetapi semua perkataan dari Kejadian sampai Wahyu. Oleh sebab Alkitab telah diilhamkan oleh Tuhan, maka Firman Tuhan itu berwibawa apabila memberikan pengajaran dan cukup untuk mengajar manusia tentang bagaimana hendak memiliki perhubungan yang betul dengan Tuhan. Alkitab bukan hanya mengaku telah diilhamkan oleh Tuhan, tetapi juga mempunyai kemampuan yang luarbiasa untuk mengubah dan menjadikan hidup kita “lengkap’.


Ayat lain yang menyatakan tentang pengilhaman Roh Kudus ialah


2 Petrus 1:20-21 (AVB) “Hal terutama yang harus kamu ketahui: Tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal daripada pentafsiran sendiri, kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi disuarakan oleh orang ketika digerakkan oleh Roh Kudus untuk menyampaikan kata-kata daripada Allah.”


Ayat ini berkata, walaupun Tuhan manggunakan manusia yang berbeza keperibadian dan gaya penulisan, Tuhan telah mengilhamkan setiap perkataan yang mereka telah tuliskan. Yesus sendiri telah meneguhkan pengilhaman kata demi kata yang mutlak apabila Dia berkata,


Matius 5:17-18 (AVB) “"Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku.”


Dalam ayat-ayat ini, Yesus menegaskan ketepatan Firman Tuhan sehinggalah ke butiran terkecil dan tanda baca yang terhalus sekalipun, sebab ia memang dan benar-benar Firman Tuhan.


Pandangan yang betul tentang Tuhan akan membawa kita kepada pandangan yang betul pula terhadap Firman-Nya. Kerana Tuhan maha-berkuasa, maha-tahu dan sungguh sempurna adanya, Firman-Nya juga akan mempunyai ciri-ciri yang sama. Ayat-ayat yang telah mengukuhkan pengilhaman Firman Tuhan juga mengukuhkan Firman Tuhan yang tidak mengandungi kesalahan dan berwibawa. Tanpa diragukan lagi, Alkitab adalah seperti apa yang diakuinya, iaitu Firman Tuhan yang tidak dapat disangkal dan yang berwibawa.


(Petikan artikel dari Gotquestion Firman Tuhan dari Teks AVB).


Comments


bottom of page