Sekali sekala orang tanya apa rahsia kepada kebahagiaan perkahwinan saya. Tanpa membocor segala kisah dan cerita perkahwinan saya, inilah beberapa "rahsia" perkahwinan saya:
1. Kami (suami-isteri) tidak pernah bercakap atau kisahkan hal buruk dan negatif tentang sesama kami, kepada orang lain. Biarpun hal-hal negatif, kami tidak dihebohkan. Kami saja yang tahu dan uruskan. Kami tidak umumkan, dan tidak viralkan dengan tujuan memalukan pasangan kami. Bukan macam si anu dan si anu, status WhatsApp sindir isteri, sindir suami. FB pun sama juga, kasi viral keburukan pasangan. Kami hanya ceritakan yang baik, kerana kasih menutupi banyak kesalahan (Amsal 10:12). Ada orang yang kata tak boleh cakap yang baik-baik tentang pasangan kita, kalau tidak ada yang mencuri atau ada perkara buruk terjadi. Itu semua karut belaka. Alkitab kata “Janganlah ada perkataan kotor keluar dari mulutmu, tetapi pakailah perkataan yang baik untuk membangun, di mana perlu, supaya mereka yang mendengarnya, beroleh kasih karunia.” Efesus 4:29
2. Dalam hal karakter dan sikap kami saling akur dan saling menegur. Saya rela ditegur dan demikian isteri saya juga. Ego yang besar macam bola pantai memang susah sikit ditegur. Kalau suami-isteri rela ditegur, maka hidup lebih baik dan bahagia. Suami yang tidak boleh ditegur ialah orang bodoh dan bebal. Isteri yang tidak boleh ditegur dan kuat merajuk ialah isteri bodoh dan bebal.
3. Dalam hal kewangan dan keperluan keluarga, isteri saya akur kepada pengurusan kewangan saya. Dia tidak pernah menyoal keputusan saya dalam kewangan rumah. Juga saya sebagai suami memahami tanggungjawab saya (hasil teladan dari keluarga sendiri yang berdisiplin dalam kewangan). Saya menjaga keluarga saya; itu tanggungjawab saya. Bukan orang lain. Bukan keluarga besar. Bukan kawan-kawan. Simpanan, wang saku isteri, tabung cuti, keperluan dapur, semua saya urus. Saya percaya Tuhan tidak kedekut; jadi buat apa saya bersikap kedekut. Saya juga percaya Tuhan bukan muflis, jadi saya pun berusaha dan percaya bahawa Dia akan selalu mencukupkan keperluan saya. Saya tidak perlu berjudi, main empat ekor, atau menipu untuk mendapatkan keperluan saya.
4. Dalam hal hubungan intim, kami pelihara dengan baik. Saya setia kepada isteri saya, dia setia kepada saya. Cemburu tidak juga dilayan. Isteri saya boleh berbual dengan lelaki lain, dan saya boleh berbual dengan perempuan lain. Kami tidak bersangka buruk dan cemburu buta. Soal curang tidak pernah wujud dalam fikiran kami. Janji perkahwinan kami ialah meninggalkan semua yang lain. Berkata “I do” kepada pasangan bermaksud berkata “I don’t” kepada orang lain. Kami jaga hubungan perkahwinan kami daripada hal-hal luar – termasuklah dari keluarga besar. Bukan bermaksud kami tidak mengunjungi ahli keluarga lain, tetapi dalam hal keputusan, acara, kegiatan, dan sebagainya, keluarga kami yang didahulukan, bukan keluarga besar. Ini sesuai dengan apa yang tertulis dalam Alkitab: “Sebab itu seorang laki-laki akan meninggalkan ayahnya dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya menjadi satu daging.” (Kejadian 2:24)
5. Kunci kebahagiaan perkahwinan kami ialah sandaran kami pada Tuhan.
Apa pun yang berlaku atau dirancang atau dilakukan, kami masih bersandar kepada Tuhan. Baik itu dalam pelayanan mahupun dalam kegiatan harian. Kami tidaklah suami-isteri yang sempurna secara rohani; kami masih berdosa dan menyakiti sesama, tetapi kerana kami hidup dalam sikap takut akan Tuhan, maka kegagalan hanya jalan membawa kami lebih dekat kepada Tuhan dalam pertaubatan dan iman. Penulis : Pr Edmund Kumar
Comentarios