top of page

Apakah Maksud Bisu Rohani?


Petikan Ayat - Lukas 1: 1-66


Ada banyak peribadi atau karakter penting dalam peristiwa Krismas pertama. Ada Zakharia dan Elisabet; Maria dan Yusuf; Simeon dan Anna. Malaikat dan gembala. Semua peristiwa ini kalau tidak berlaku, akan menjadikan peristiwa Krismas serba kekurangan dan tidak menarik.


Melihat peristiwa Zakharia, dia berada dalam rumah Tuhan untuk melakukan upacara yang ditugaskan kepadanya (membakar ukupan). Tetapi tiba-tiba seorang malaikat muncul di hadapannya. Mesej yang disampaikan oleh malaikat itu sebenarnya dua sahaja, kemudian menjadi 3 mesej! Mesej pertama ialah bahawa Zakharia dan isterinya Elisabet yang sudah tua dan lama menunggu memiliki zuriat akan akhirnya mendapat apa yang mereka inginkan.


Mesej kedua ialah bahawa anak lelaki yang dilahirkan itu akan menjadi seorang yang hebat dan terkenal di Israel, membawa pemulihan rohani dan sosial di Israel. Malang sekali Zakharia selepas mendengar hal itu terus mempersoalkan mesej malaikat itu. Hasil responsnya itu, muncullah mesej ketiga, iaitu bahawa dia akan menjadi bisu sehinggalah semua yang disampaikan itu terlaksana 9 bulan kemudian.


Dalam kita menghampiri Krismas 2023, mari kita perhatikan 3 perkara penting:

Pertama, dengarlah apa yang disampaikan Tuhan, baik itu amaran, teguran, berita baik, musibah, pesanan dorongan, atau mesej menusuk jiwa.


Jangan tutup telinga kita kepada apa yang Tuhan sampaikan – apa pun yang Dia pesankan ada maksud untuk kita, demi kita. Jangan kerana terlalu sibuk tengok video, reels, story di Instagram dan Facebook sehingga kita tidak dapat sahut mesej yang Dia berikan kepada kita.


Perintah kepada bangsa Israel yang paling utama ialah “Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa!” (Ulangan 6:4) Di gereja banyak orang Kristian tidak dengar khutbah pun; ada yang main handphone, sembang dengan kawan, sampai mesej itu masuk telinga satu dan keluar telinga sebelah. Dengarlah!


Kedua, jangan ragui apa yang Tuhan sampaikan kepada kita. Zakharia mendengar tetapi tidak mahu percaya. Dia letakkan situasinya (sudah tua), keadaan persekitarannya (Elisabet sudah melepasi umur beranak) sebagai halangan kepada kepercayaan. Ada banyak orang “Kristian” mendengar Firman Tuhan tetapi tidak percaya. Kerana mahu pertahankan adat dan denominasi, mahu ikut cakap ibu bapa, akhirnya mereka terlepas dari menerima anugerah Allah!


Oleh sebab itu Zakharia menjadi bisu dan lidahnya terikat! Oh betapa ramainya orang Kristian yang bisu di dalam gereja. Di tanya “Kenapa kamu orang Kristian?” Tak dapat jawab. Ditanya “Mengapa kamu percaya Tuhan Yesus Kristus?” Tak dapat jawab. “Kenapa Yesus satu-satunya Jalan, Kebenaran dan Hidup?” Tidak dapat jawab! Bisu rohani jadi kerana sesudah mendengar khabar dari Firman Tuhan, mereka tidak percaya itu sebagai kebenaran atau terhalang oleh kepercayaan lama. Jangan tidak percaya kepada Firman Tuhan.


Ketiga, sesudah 9 bulan berlalu, Elisabet melahirkan seorang anak lelaki. Pada hari kelapan bila anak itu harus disunat, semua ahli keluarga berkumpul, masing-masing dengan idea untuk nama anak itu. Namakan dia “Zakharia!” Elisabet berkata tidak. “Namanya akan disebut Yohanes.” “Huh? Tiada orang dari keluarga kamu bernama Yohanes. Tanya bapanya.” Zakharia minta batu tulis (masih bisu pada ketika itu) dan menulis, “Namanya akan disebut Yohanes.” Selepas itu mulutnya terbuka dan lidahnya terlepas dan dia mula memuliakan dan memuji Tuhan.


Saat kita taat kepada perintah Tuhan, kita akan menerima pelepasan dalam hati dan lidah kita. Nampak orang bisu rohani di gereja? Saat mereka mula taat kepada Tuhan, mulut mereka terbuka dan lidah mereka memuji Allah. Ketaatan melawan kebiasaan, ketaatan melawan arus budaya, ketaatan melawan arus pascamodenisme, ketaatan melawan cakap orang! Bila kita taat kepada apa yang Tuhan suruh, lambat (kerana tidak percaya) atau awal (kerana terus terima Firman Tuhan), kita akan menerima berkat dan sukacita melimpah.


Pada musim Krismas ini, mari kita DENGAR, PERCAYA DAN TAAT apa yang Tuhan ingin sampaikan kepada kita. Sumber : Pr Edmund Kumar

Comments


bottom of page