top of page

Apakah Yesus Hanya Seorang Nabi Kepada Bangsa Israel Sahaja?






Pendahuluan

Adakah Yesus datang hanya untuk bangsa Israel sahaja dan bukan untuk semua bangsa di dunia?

Ada segolongan orang yang salah faham tentang misi Yesus, menurut Al-Kitab, kerana mereka gagal memahami kata-kata Yesus dalam Injil Matius seperti berikut:

“Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang."

(​Injil Matius 15:24​)

“Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. Pergilah kepada domba-domba hilang antara keturunan kaum Israel.”

(​Injil Matius 10:5,6)

Adakah kata-kata ini bermaksud Yesus diutus kepada bangsa Israel sahaja? ​TIDAK SAMA SEKALI!​ Salah faham ini hanya timbul jika kita cuma memahami sebahagian dan bukan KESELURUHAN​ pelayanan Yesus semasa di bumi.

Mari kita mengkaji bersama-sama apa sebenarnya misi Yesus ke dunia ini.

Terlebih dahulu, kita perlu sedar Yesus lahir daripada keturunan Abraham, Ishak dan Yakub (Israel) yang merupakan moyang kepada bangsa Israel. Yesus adalah perkabulan segala janji-janji Allah kepada Abraham berabad-abad yang lalu.

Allah telah berjanji kepada Abraham​: “ Aku akan memberkati kamu dan menjadikan namamu hebat. Kamu akan menjadi suatu keberkatan! ...Melalui engkau, ​SEMUA KAUM di BUMI akan diberkati​.”

(Kej 12:2-3)

“Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu serta KETURUNANMUkelak, turun-temurun, menjadi suatu perjanjian yang kekal, iaitu bahawa Aku akan menjadi Allah kepadamu dan kepada keturunanmu.”

(​Kej 17:7)

“A​ku akan menjadikan kamu bapa kepada beberapa banyak bangsa. Aku akan membuat kamu beranak cucu sangat banyak. Melalui kamu Aku akan menjadikan ​bangsa-bangsa, bahkan raja-raja akan muncul daripada keturunanmu​. (Kej 17:4-5)

Janji Allah ini mempunyai dua bahagian.

  1. Pertama, Allah berjanji untuk memberkati keturunan Abraham iaitu Ishak, Yakub, dan juga anak-anak (keturunan) Israel.

  2. Kedua, Allah telah berjanji bahawa daripada keturunan Abraham, Ishak dan Yakub inilah, ​akan bangkit satu sumber ​berkat dan anugerah untuk segala bangsa-bangsa iaitu ​untuk seluruh dunia

(Kejadian 12:2-3; Kejadian 17:4-5; Kisah Para Rasul 3:25,26 dan Galatia 3:8,14).

Dalam perjanjian dengan Abraham itu, kedua-dua keturunan Israel (Yahudi) dan keturunan bangsa lain (bukan Yahudi)​ akan sama-sama diberkati.

Ini disahkan apabila Yesus dilahirkan beberapa abad kemudian: ketika masih seorang bayi, beliau dibawa masuk ke bait Allah. Di sana, seorang lelaki tua yang salih bernama Simeon telah digerakkan oleh Roh Allah untuk mendukungnya dan berkata:

“.. mataku telah melihat penyelamatan-Mu, yang telah Kau sediakan dihadapan segala bangsa​, satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing ​dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel."

(Injil Lukas 2:30-32)

Dari ini, dapat kita fahami pelayanan Yesus mempunyai dua misi.

Misi Pertama Yesus:

Oleh kerana Yesus dilahirkan daripada bangsa Israel, misi pertamanya adalah untuk menyatakan Tuhan serta diri-Nya kepada bangsa-Nya Israel. Mereka adalah bangsa pilihan Allah – keturunan Abraham, Ishak dan Yakub.

Maka, Yesus melayani dan bekerja di antara mereka secara peribadi dengan membawa tanda-tanda ajaib dan mukjizat supaya dapat meyakinkan mereka bahawa: (i) beliaulah satu-satunya ​Kristus atau Al-Masih ​yang telah lama ditunggu-tunggu dan dijanjikan Allah, (ii) beliau sahajalah yang telah menggenapi segala nubuat-nubuat para nabi beratus-ratus tahun yang lalu tentang Penyelamat yang akan diutus Allah untuk menyelamatkan manusia dari dosa; (iii) beliaulah yang telah dipilih, ditahbiskan dan diurapi oleh Allah untuk membawa kesejahteraan kepada manusia.

Oleh sebab itulah, semasa pelayanan peribadi-Nya, Yesus perintahkan murid-murid-Nya supaya pergi kepada bangsa Israel sahaja. Merekalah yang harus mendengar berita baik Yesus itu TERLEBIH DAHULU​. Inilah ​keistimewaan bangsa Israel​ kerana mereka ​umat pilihan Allah​ dan Allah telah berjanji akan memberkati mereka secara khususnya.

Lagi pun, Yesus sendiri juga berasal daripada bangsa Israel. Berikutan dengan kewafatan dan kebangkitan Yesus, muridnya Petrus, menyatakan bangsa Israel sebagai berikut:

“Kamu ialah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Abraham, 'Melalui benihmu ​SEMUA BANGSA DI BUMI akan diberkati. P​ertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Yesus dan menghantar-Nya untuk memberkatimu ​dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu."

(​Kisah Para Rasul 3:25,26)

Jadi, jelaslah Allah sebenarnya telah merancang dari awalnya bahawa bangsa pertama yang akan mendengar khabar baik Yesus adalah bangsa Israel. Maka, tidak hairanlah Yesus menumpukan misi pertamanya pada mereka.

Misi Kedua Yesus:

Misi kedua Yesus adalah yang paling mustahak sekali. Ia adalah untuk memberikan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi dosa-dosa seluruh umat manusia.

Kenapa Yesus harus mengorbankan nyawaNya? Al-Kitab mengatakan Allah mengampunkan dosa kita hanya bila ada tumpahan darah (sebagai tebusan dosa) kerana kita hanya boleh disucikan oleh darah. Tiada sesiapa pun yang layak menjadi persembahan korban untuk dosa manusia kerana tiada sesiapa pun dalam dunia ini yang bebas dari dosa. Hanya Yesus yang layak menjadi korban sempurna bagi dosa manusia.

Al-Kitab menyatakan: “ Kristus Yesus..telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia..​ ​

(1 Timotius 2:4-6​)

"​Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.​"

(​Injil Matius 20:28​)

"Demikianlah yang tersurat: Bahawa Kristus harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem.

(Injil Lukas 24:46,47)

Al-Kitab jelas bahawa Yesus adalah berkat anugerah Allah ​untuk ​seluruh umat manusia​ bagi pengampunan dosa. Penyelamatan dalam Yesus ini tersedia bagi semua orang, baik orang-orang Yahudi mahupun orang-orang bukan Yahudi. Ini berita yang sungguh baik sekali untuk manusia sejagat!

Ingatlah, semasa pelayanan peribadi Yesus di dunia ini, beliau hanya memerintahkan murid-murid-Nya agar pergi kepada orang-orang Israel sahaja

TETAPI selepas misi keduaNya selesai (iaitu penebusan dosa di atas kayu salib), beliau perintahkan murid-murid-Nya untuk ​pergi kepada semua bangsa, sampai ke hujung bumi​. “Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan ​kamu akan menjadi saksi-Ku ​di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan ​sampai ke hujung bumi."

(Kisah Para Rasul 1:8)

“Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku...”.

(Injil Matius 28:19)


Yesus sendiri mengesahkan misi-Nya untuk seluruh dunia apabila beliau berkata: "Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup."

(​Injil Yohanes 8:12)

Jelaslah Yesus menyatakan diri-Nya sebagai berkat yang datang ke seluruh dunia dan bukan sahaja kepada bangsa Israel.

Yesus juga telah merujuk kepada dirinya sebagai Gembala Baik yang akan memimpin ‘domba-domba dari kawanan lain’ iaitu pengikut-pengikut dari bangsa-bangsa lain.

"Akulah Gembala yang Baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal Aku, sama seperti Bapa-Ku mengenal Aku dan Aku mengenal Sang Bapa. Aku menyerahkan nyawa-ku bagi domba-domba-Ku.

Pada-Ku MASIH ADA ​DOMBA-DOMBA LAINYANGBUKAN DARI KAWANAN INI.​ DOMBA-DOMBA ITU PUN ​HARUS KUBAWA DAN SUARA-KU AKAN MEREKA DENGAR.​ DOMBA-DOMBA ITU ​AKAN MENJADISATU KAWANAN DENGAN​SATU GEMBALA.​" (Injil Yohanes 10: 14-16)

Jadi, selain dari domba-dombaNya dari bangsa Israel, Yesus juga akan membawa domba-domba dari kawanan lain iaitu bangsa lain kepada diriNya. Sangat jelaslah bahawa misi dan pelayanan Yesus itu tidaklah terbatas kepada Israel sahaja.

Seterusnya, sebelum Yesus pulang ke syurga, Dia telah memberi Amanat Agung-Nya kepada pengikut-pengikutnya untuk: membawa berita baik Injil "kepada S​ELURUH DUNIA​, serta ​menjadikan ​SEMUA bangsa-bangsamurid-murid Yesus, s​ampai ke hujung Bumi.​"

(Injil, Matius 28:18-20)

Dia juga menubuatkan bahawa Hari Kiamat tidak akan datang sehingga Khabar Baik tentang Injil-Nya akan tersebar luas – sampai ke hujung bumi dan menjangkau semua bangsa-bangsa (bukan hanya sekadar umat Israel!)

“Injil (ini) akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua Bangsa. Selepas itu, barulah tiba akhir zaman.”

(Injil, Matius 24:14)

Dan ini sudah pun memenuhi janji Allah besar kepada Hamba-Nya Abraham seperti mana terkandung di dalam Kitab Suci Taurat.

Kesimpulan

Jadi, kesimpulannya ialah, peranan dan misi Yesus Kristus tatkala di Bumi ialah untuk memberkati SELURUH Dunia dan umat manusia dengan anugerah rahmat Allah​ dengan terang dan berkat-Nya. Dia telah menyatakan ​“Akulah terang Dunia, barang siapa yang ikut Aku, tidak berjalan dalam kegelapan tetapi akan memperolehi cahaya kehidupan.” (Injil, Yahya 8 ayat 12).

Inilah rahmat yang dipelawakan kepada anda juga, di mana jua anda berada sekarang!

Comments


bottom of page