Matius 6:5-15 (AVB)
5 "Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. 6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.
7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
9 Berdoalah demikian:
'Ya Bapa kami yang di syurga,
sucilah nama-Mu.
10 Datanglah kerajaan-Mu.
Terlaksanalah kehendak-Mu
di bumi sebagaimana di syurga.
11 Berilah kami makanan untuk hari ini.
12 Ampunkanlah kesalahan kami
sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13 Janganlah biarkan kami tergoda,
tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.
Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.'
14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu."
Ayat 9
Berdoalah demikian: 'Ya Bapa kami yang di syurga, sucilah nama-Mu.
Di dalam doa yang terkenal sebagai Doa Tuhan (The Lord’s Prayer) Tuhan Yesus memberi satu pola kepada pengikutNya untuk mereka berdoa. Dia bermula dengan
'Ya Bapa kami yang di syurga”
Ini sangat penting kerana Dia mengingatkan pengikutNya mengenai dua perkara, iaitu;
a) mereka berdoa kepada Allah Mahabesar, Mahakuasa, Pencipta langit dan bumi yang juga merupakan Bapa mereka.
b) mereka berada di bumi tetapi Allah berada di syurga.
Kita diingatkan bahawa kita mendekati Allah dalam doa sebagai seorang anak kesayangan dan bukan sebagai seorang pekerja atau seorang asing. Allah Mahabesar telah memilih dan memanggil kita dan mengangkat kita sebagai anak anakNya. Kita mempunyai perhubungan intim dengan Allah sebagai anak dengan Bapanya yang istimewa dan intim. Kita berhak mendekati Dia dan memanggil Dia Bapa, Ayah, Papa.
Oleh demikian, kita mempunyai kebebasan untuk datang ke dalam hadirat Allah bila bila masa, di mana sahaja dan dalam apa keadaan pun. Dia tidak akan melarang kita atau memaksa kita menunggu lama atau memerlukan perkenalan daripada mana mana pihak sebelum menerima atau menyambut kita.
Juga, kita mempunyai keyakinan bahawa apa sahaja permintaan yang kita doakan, tiada yang mustahil bagi Allah Bapa kita kerana Dia Mahabesar dan Mahakuasa. Juga Dia menetap di syurga di mana berjuta juta malaikat melayani Dia dan yang Dia akan utus ke bumi untuk membantu kita bila perlu.
Kesedaraan kedudukan kita sebagai anak Tuhan yang mendekati Allah yang Mahabesar dan Mahukuasa sebagai Bapa kita seharusnya melahirkan rasa kesyukuran, keyakinan dan kerinduan untuk mendekati Allah Bapa kita lebih kerap dan lebih berani lagi.
DOA
Allah Bapa,
Aku sungguh bersyukur Engkau telah menjadikan aku anakMu.
Aku rindu untuk sentiasa bersamaMu dan lebih dekat dan intim dengan Engkau.
Aku tahu aku tidak perlu takut sesiapapun kecuali Engkau, tidak perlu bimbang atau kuatir apa pun.
Aku hanya ingin memuliakan namaMu dan memperkenalkan orang lain
yang belum kenal Engkau kepad mereka supaya mereka juga dapat menjadi anakMu.
Aku begitu bersyukur dan begitu yakin bahawa aku diberkati, dilindungi dan dipelihara dengan sempurna sebagai anakMu
Allah Bapa aku mengasihi Engkau dan memuliakan namaMu di bumi ini setiap hari
Dalam nama Tuhan Yesus , Amin.
Ps. Lam Kee Hing
コメント