
Pada masa itu Yesus naik ke bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah. Lukas 6:12 AVB
Sebelum Yesus memilih dua belas orang rasul-Nya, pertama-tama Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di atas bukit Yesus mengambil masa semalam-malaman untuk berdoa kepada Allah. Sebab Dia tahu bahawa Dia perlu memilih dua belas orang daripada semua murid-Nya. Oleh itu, datang menghadap hadirat Bapa-Nya merupakan langkah tepat yang dilakukan-Nya.
Apabila hari sudah siang, Yesus pun memanggil semua murid-Nya untuk datang kepada-Nya. Lalu Dia memilih dua belas orang daripada mereka yang digelar-Nya “rasul”.
Dua belas orang rasul-Nya terdiri daripada Simon (yang juga dinamakan-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut orang Patriot), Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat.
Apakah yang kita pelajari daripada Yesus dalam pemilihan dua belas orang rasul-Nya? Pertama sekali Yesus meluangkan masa untuk berdoa kepada Bapa. Dia berdoa sepanjang malam kepada Allah sebelum Dia membuat pilihan. Sebagai orang percaya, sebelum kita membuat apa-apa keputusan dalam hidup ini, terlebih dahulu kita harus melapangkan masa kita untuk memohon bimbingan dan petunjuk daripada Allah.
Oleh itu, janganlah kita sekali-kali mengetepikan Allah ketika kita hendak membuat sesuatu keputusan dalam hidup kita pada hari ini. Betapa penting dan baiknya kita memohon campur tangan-Nya dalam hidup kita.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu dalam hidup ini. Aku mengakui bahawa aku orang yang berdosa dan terbatas dalam segala perkara. Oleh itu, ya Tuhan, tolonglah aku untuk mendengar suara-Mu terlebih dahulu dalam hidup ini, agar setiap keputusan dalam hidupku memuliakan Nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments