top of page

Berdoa Untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi



Ayat Firman Tuhan: Amsal 4:1 (AVB) Hai anak-anakku, dengarlah didikan seorang ayah dan perhatikanlah, supaya engkau memperoleh pengertian.

Pengkhutbah 2:26 (AVB) Sebabnya kepada orang yang Dia berkenan dalam hati-Nya, Allah menganugerahkan hikmah, ilmu pengetahuan dan kegembiraan, tetapi kepada pendosa Dia serahkan tugas untuk mengumpul dan menimbunkan hasil yang kelak terpaksa diberikannya kepada orang yang diperkenan Allah. Maka ini juga kesia-siaan dan usaha menjaring angin.


 

Perkara Doa:

1. Sepakat berdoa untuk pendidikan

2. Sepakat berdoa untuk sains

3. Sepakat berdoa untuk teknologi


 

Doa:

Bapa kami di syurga, dikuduskanlah nama-Mu. Terpujilah nama-Mu dari kekekalan hingga kekekalan. Engkau Allah yang maha bijaksana dan maha perkasa, daripada-Mulah hikmah dan kekuatan-Mu tidak terbatas. Tidak ada seorang yang dapat menyamai pengetahuan-Mu ya Tuhan. Berilah kami nasihat dari-Mu. Ajarlah dan bimbinglah kami, ya Tuhan.


Bapa, kami bersyukur atas rahmat-Mu yang baru setiap hari. Kami percaya Engkaulah yang memberi manusia hikmat untuk membentuk dunia pendidikan. Engkaulah yang membuka pengertian manusia sehingga manusia dapat meneroka alam sains dan merekacipta teknologi yang terus berkembang hingga hari ini. Haleluyah!


Bapa, kerajaan-Mu datanglah dan terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga. Kami memohon kepada-Mu agar semua lapisan masyarakat berpeluang mendapat pendidikan yang sewajarnya. Engkau tahu ya Tuhan, ada jurang besar pendidikan di antara luar bandar dan bandar. Ada perbezaan besar dalam hal kemudahan asas, prasarana dan infrastruktur. Oleh itu yang Bapa, kami berdoa untuk pihak kerajaan khas kementerian pendidikan agar berusaha menjembatani jurang tersebut dengan tindakan yang proaktif. Biarlah jabatan pendidikan akan turun padang untuk memastikan tidak ada anak-anak yang tercicir alam persekolahan dan pendidikan negara.


Bapa, kami rindu agar orang Percaya menjadi saluran berkat dan menjadi berkat dalam pendidikan. Kami berdoa agar orang Percaya yang berkelayakan dan berkemampuan diangkat ke posisi dalam jabatan pendidikan. Kami berdoa untuk para pelajar di kalangan orang Percaya agar memiliki semangat yang tinggi untuk belajar dan mempergunakan kesempatan untuk sungguh-sungguh belajar. Kiranya Roh-Mu membuatkan fikiran mereka cerdas sehingga mereka dapat menguasai subjek teras bahkan semua subjek. Biarlah mereka berjaya di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, pusat latiihan, kolej, maktab dan universiti.


Bapa yang maha tahu, Engkau tahu bahawa sains adalah sebahagian daripada kehidupan manusia di bumi ini. Kami berdoa agar Tuhan memanggil anak-anak-Mu untuk menjadi pakar sains. Oleh pertolongan dan penghiburan Roh Kudus, biarlah mereka akan membuat kajian dan penemuan baru yang membawa kebaikan kepada manusia sejagat. Kami berdoa untuk mereka sebagai orang Percaya, mereka tetap teguh dalam iman dan tidak akan terpengaruh dengan segala macam teori yang bertentangan dengan firman-Mu. Sebaliknya mereka dapat menilai semua idea sains di bawah terang firman-Mu.


Bapa, tolong kami menggunakan teknologi hari ini dengan sepatutnya. Jangan biarkan kami diperhamba oleh teknologi tetapi biarlah kami mengawal diri kami dan mengawal teknologi.Tolong kami untuk menggunpakai teknologi untuk kebaikan dan membangun masyarakat. Tolong kami menggunapakai teknologi untuk memuliakan nama-Mu. Tolong kami melihat bahawa teknologi hanyalah alat, saluran dan wadah dan bukannya tuan. Jauhlah kiranya kami memuja dan memberhalakan teknologi. Engkau Tuan segala tuan. Engkaulah Tuan kami. Kami akan pakai teknologi untuk memuja dan menyembah-Mu. Biarlah manusia percaya kepada-Mu melalui teknologi. Tolong kami menggunapakai teknologi dalam menanti dan mempercepatkan kedatangan hari Allah.


Terima kasih Bapa. Haleluyah!. Dalam nama Yesus, amin.


Pr Hamjah @ Hamzah Sabin

コメント


bottom of page