top of page

Berdoa Untuk Semua Orang



1 Timotius 2:1-4 (AVB)

Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia – untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat. Inilah yang baik dan diredai oleh Allah Penyelamat kita yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar.


"Penyelamatan itu ialah demonstrasi teragung dan paling nyata kasih Tuhan, paparan muktamad rahmat-Nya sepanjang waktu dan selama-lamanya" (David Jeremiah). Penyelamatan melalui Yesus adalah untuk semua orang.


Hari ini, marilah kita menyahut seruan bagi berdoa untuk semua orang. Ini termasuk para pemimpin dan pihak berkuasa. Berdoalah untuk semua orang ialah perbuatan yang menghormati dan menyenangkan hati Allah. Paulus menegaskan bahawa kita berdoa untuk semua orang supaya mereka akhirnya diselamatkan oleh Allah dalam Yesus Kristus (Yohanes 14:6)


Asalnya, Paulus ialah seorang Yahudi dan penganut Farisi. Dia berkobar- kobar menentang agama Kristian dan giat mengejami pengikut Yesus. Setelah mengenal Yesus, dia bersungguh-sungguh menginjili orang bukan Yahudi dan orang Yahudi kerana itulah misi Kristus baginya. Paulus bersaksi: "Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus" (Roma 1:16). Inilah yang meyakinkan Paulus untuk tidak henti-henti mengkhabarkan berita baik walaupun dia dianiayai. Demi injil yang menyelamatkan, Paulus berkorban segalanya. Katanya, "Bagiku hidup adalah untuk Kristus, mati itu keuntungan."


Kita juga lihat hal yang sama dalam Yesus Kristus. Dia tergerak hati oleh belas kasihan melihat orang ramai yang hidup lelah dan tidak berdaya, ibarat domba tanpa gembala (Matius 9:36). Yesus memang mahu semua orang selamat.


Mari siap sedia berlutut dan berdoa bagi rakyat Malaysia berbilang kaum tanpa prejudis. Hulurkan talian hayat kepada semua yang sedang lemas dalam dosa. Melalui doa dan penginjilan, kita dapat menyampaikan kasih sayang Kristus kepada mereka untuk percaya.


DOA: Tuhan, upayakan aku berdoa untuk semua orang didorong oleh kemahuan melihat mereka selamat dalam Yesus Kristus.


William Yeong

Comments


bottom of page