top of page

Berebut Tanah?


Kenapa orang kita suka betul bergaduh pasal tanah? Bapa mak baru hembuskan nafas terakhir, mula sudah bergaduh pasal tanah. Berapa besar, lebar dan luasnya tanah orang tua yang mahu dimiliki. Dari sana mula gaduh antara adik beradik. Ada yang sampai diam-diam curi tanah, alihkan pagar, ubah suai dokumen tanah, dan sebagainya. Yang tidak dapat, pandai pula mabuk... kemudian waktu mabuk sampai cakap yang tidak tentu arah dan singgung sini sana, lukai hati dan perasaan ahli keluarga lain. Hanya kerana tidak dapat apa yang dimahui. Pasal tanah, sampai sanggup fitnah dan bohong, curi dan rampas, dan teruk sekali sampai membunuh.


Apa kata-kata Allah dalam Alkitab untuk mereka yang sebut diri mereka Kristian tetapi mempunyai penyakit seperti di atas? 


1. Alkitab memberitahu sikap yang harus ada dalam soal tanah.


Abraham dan Lot berhadapan dengan masalah kekurangan tanah untuk ternak mereka. Ternak itu sama dengan kemakmuran dan keuntungan; kegagalan untuk dapat cari makan di tanah untuk ternak merupakan suatu tragedi. Jadi bila hamba Abraham dan Lot bergaduh soal tanah untuk ternakan mereka, Abraham sebagai pakcik memberitahu Lot bahawa mereka tidak patut gaduh. Kemudian dia minta Lot memilih tanah yang dia inginkan. Sepatutnya Lot yang lebih muda memberi laluan dan keutamaan kepada orang tua, tetapi Abraham merendahkan diri, menyerahkan hak keputusan awal kepada Lot. Dia beritahu Lot, kalau kamu pilih ke kanan, saya akan ke kiri; kalau kamu pilih ke kiri, saya akan ke kanan. Lalu Lot memilih tanah di kawasan Sodom (yang memang subur). Melepaskan hak pada tanah, harta milik, merupakan sikap hati orang Kristian. Memberi keutamaan kepada orang lain ialah sikap hati orang Kristian.


2. Alkitab memberitahu supaya “Jangan engkau memindahkan batas tanah yang lama, yang ditetapkan oleh nenek moyangmu.” (Amsal 22:28)


Sempadan, pagar, batas tanah, jangan diubahsuai. Jangan dipindahkan. Jangan dialihkan pagar seinci, sekaki, semeter ke dalam tanah saudara kamu untuk merampas apa yang adalah miliknya. Musa memberitahu bangsa Israel bahawa, “Terkutuklah orang yang menggeser batas tanah sesamanya manusia. Dan seluruh bangsa itu haruslah berkata: Amin!” (Ulangan 27:17) Terkutuklah pencuri, penipu, orang yang rakus dan gelojoh pada tanah orang lain! 


3. Alkitab juga berkata, “Celakalah orang yang mengambil laba yang tidak halal untuk keperluan rumahnya, untuk menempatkan sarangnya di tempat yang tinggi, dengan maksud melepaskan dirinya dari genggaman malapetaka!” (Habakuk 2:9)


Iaitu menggunakan tipu muslihat untuk memperkayakan diri, untuk meluaskan tanah, memperbanyakkan harta, supaya mendapat kedudukan yang lebih tinggi dan berpangkat. 


Ada garis panduan, ada teguran, ada amaran..... dan Paulus mengingatkan mereka yang rakus dan gelojoh pada harta dunia – “Sebab kita tidak membawa sesuatu apa ke dalam dunia dan kita pun tidak dapat membawa apa-apa ke luar.” (1 Timotius 6:7) Tanah boleh dibawa ke jannah? Harta boleh dibawa bersama ke firdaus? Duit boleh diangkut bersama ke pangkuan Abraham? Segala yang kita miliki di bumi ini tidak boleh dibandingkan dengan apa yang sudah disediakan Allah bagi kita di syurga – maka jangan bawa debu dan rumput ke tempat kediaman Allah.


Sumber : Facebook Edmund Kumar

Comments


bottom of page