
Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu hampir tenggelam.
Lukas 5:7 AVB
Sewaktu Petrus dan saudaranya menebarkan jala mereka di tempat yang diperintahkan Yesus kepada mereka, jala mereka dipenuhi terlalu banyak ikan sehingga jala mereka hampir-hampir terkoyak.
Walaupun jala mereka sarat dengan ikan, jala mereka tidak terkoyak kerana apa yang diberikan Tuhan kepada mereka adalah cukup-cukup untuk ditanggung oleh jala mereka. Sebab Dialah Tuhan yang memberi secukup-cukupnya tanpa merosakkan jala mereka.
Setelah melihat terlalu banyak ikan di dalam jala mereka, Petrus dan saudaranya pun memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam. Kalau dua buah perahu pun hampir tenggelam, apa lagi jika hanya sebuah perahu digunakan. Nyatalah bahawa sebuah perahu sahaja tidak termuat semua ikan tersebut!
Ingat, sekiranya Petrus dan saudaranya tidak berkongsi tangkapan ikan dengan orang lain, sudah tentu bencana akan terjadi kepada perahu mereka, iaitu perahu mereka pasti akan tenggelam. Oleh sebab mereka sudi berkongsi ikan itu dengan orang lain, perahu mereka tidak jadi tenggelam.
Demikian juga dengan hidup kita pada hari ini. Sekiranya kita tidak mahu berkongsi berkat Tuhan yang kita terima dalam hidup kita, besar kemungkinan kita akan lemas dalam berkat tersebut. Demi mengelakkan diri kita daripada lemas dalam berkat Tuhan, kita hendaklah berkongsi berkat Tuhan dengan orang lain.
Tuhan memberkati kita agar kita turut memberkati orang lain di sekeliling kita. Jadilah berkat Tuhan kepada orang lain.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu terhadap berkat yang saya terima dalam hidup ini, agar aku tahu berkongsi dengan orang lain. Ajarlah aku untuk menjadi berkat kepada semua orang. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments