“Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya; ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa...” - Mazmur 105:1
Mazmur ini merupakan mazmur pujian yang sangat panjang. Tujuan umum mazmur ini adalah untuk menyatakan kemuliaan kepada Tuhan. Oleh itu, pemazmur mengajak semua orang agar memuji Tuhan atas pekerjaan-pekerjaan-Nya yang ajaib dalam memelihara dunia ini secara umum.
Demikian juga pada hari ini, pemazmur juga mengajak kita agar bersyukur kepada Tuhan dengan mengisytiharkan segala keagungan-Nya; dengan menceritakan segala perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Dan memuji-Nya atas kebaikan-kebaikan-Nya yang istimewa terhadap kita.
Pemazmur berkata kepada kita bahawa sumber pujian dan kesyukuran kita kepada-Nya adalah atas dasar pekerjaan-pekerjaan keagungan-Nya, oleh itu, layaklah segala pujian dan kesyukuran kita dinaikkan hanya untuk Dia.
Sebab pujian dan kesyukuran yang bermakna kepada Tuhan adalah pujian dan kesyukuran yang didorong oleh hati yang mengerti dan mengakui segala perbuatan-perbuatan Tuhan yang ajaib dalam hidupnya secara peribadi. Itulah sebabnya kita terus bersyukur kepada Tuhan, sebab kita ingin mengisytiharkan keagungan-Nya dan menceritakan perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa.
Oleh itu, kita harus sentiasa bersyukur kepada Tuhan selama kita hidup di dunia ini, sebab Dia baik kepada kita. Dengan itu, Rasul Paulus berkata kepada kita yang percaya pada hari ini supaya kita “…sentiasa bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal ini adalah dikehendaki oleh Allah daripada kita yang telah hidup bersatu dengan Kristus Yesus…” - 1 Tessalonika 5:18
Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya; ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa.
Doa: Bapa yang di surga, saya datang kepada-Mu, memuji dan mengagungkan nama-Mu kerana Engkau sangat baik dalam hidup saya. Oleh itu, ajarlah saya untuk bersyukur kepada-Mu sentiasa, dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin.
Pr. Patrick Taie
Commentaires