top of page

Bila Sebenarnya Yesus Kristus Dilahirkan?



Selamat menyambut Perayaan Natal dan tahun baru 2025. Kita bersyukur untuk 2024 yang penuh warna, cerita dan berlimpah berkat dalam kelimpahan kasih karunia dan kasih setia Tuhan. Kita terus percaya, Tuhan Yesus yang tetap sama dulu, sekarang, akan datang dan selama-lamanya, yang juga dikenali sebagai Imanuel, Dia akan setia bersama kita untuk memimpin, menjaga, memelihara dan membawa kita mengharungi 2025 untuk kemuliaan nama-Nya dan berkat bagi manusia.


Kita bersyukur kita sempat lagi merayakan Natal dalam tahun 2024 ini.


Bila sebenarnya tarikh Yesus dilahirkan ke dalam dunia? Seingat saya, sejak saya menjadi seorang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus sebagai Penyelamat dan Tuhan secara peribadi bermula dalam tahun 1984, tarikh kelahiran Yesus Kristus terus menjadi tajuk perbincangan dan perdebatan.


Dapatkah kita tahu bila sebenarnya tarikh Yesus Kristus dilahirkan?


Setelah membuat beberapa penyelidikan, saya percaya kita boleh dapat pada titik keputusan yang tepat tentang tarikh kelahiran Tuhan Yesus Kristus.


Anda berminat untuk tahu? Sekiranya anda berminat untuk tahu bagaimana kita boleh pasti tentang tarikh kelahiran Tuhan Yesus Kristus, sila turunkan LIKE dan komen di ruangan komen dengan ayat ini, “Benarkah Yesus lahir pada 25 Disember?” Sekiranya ada ramai yang respon sedemikian, maka saya akan lebih bersemangat dan terdorong untuk menuliskan tentangnya di wall saya. Respon pembaca dapat memberi petunjuk masyarakat kita masih membaca dan bersifat ingin tahu.


Sebagai pembuka selera, saya dapat buktikan di sini bahawa Yesus Kristus memang lahir dalam bulan Disember.


Bagaimana kita boleh pasti tentang bulan kelahiran Kristus? Maklumat bulan kelahiran Kristus jatuh dalam bulan Disember itu tersirat dalam Lukas 1:26.

Dalam Lukas 1:26 Malaikat Gabriel datang menemui Perawan Maria dalam bulan ke-6. Kalendar Yahudi dikira dari bulan September. Bulan ke-6 dalam kalendar Yahudi adalah bulan Mac dalam kalendar Gregorian kita. Maka bila pada bulan Mac Maria mula mengandung oleh kuasa Roh Kudus, maka bulan kelahiran Yesus Kristus adalah dalam bulan Disember. Setuju?


Satu bantahan ramai terhadap kelahiran Yesus Kristus dalam bulan Disember adalah soal iklim. Kata suara bantahan, “Disember adalah musim sejuk bersalji. Tidak mungkin ada gembala menjaga domba-domba di atas padang pada musim sejuk bersalji.” Bagaimana kita hadapi bantahan ini? Dulu saya juga setuju dengan bantahan ini.


Saya telah membuat sedikit penyelidikan tentang jenis iklim yang ada di Betlehem. Saya dapati Bethelem mengalami iklim Mediteranean yang mengalami musim panas yang panas dan kering sementara musim sejuknya adalah musim sejuk yang sederhana dan basah. Dalam bulan Disember, itu adalah musim sejuk di Betlehem tetapi salji jarang turun. Cuaca sejuk di Betlehem tidak ekstrem dan para gembala boleh berada di atas padang rumput menjaga domba-domba mereka pada waktu malam yang suhunya sekitar 7-14 darjah Celcius. Pada suhu ini salji jarang turun. Kalau turun pun, ianya akan segera cair.


Para pembaca dapat terima penjelasan di atas?


Kalau saudara saudari bertanya pada Chat GPT atau AI yang lain, kepintaran buatan manusia ini tidak dapat terima kelahiran Yesus Kristus dalam bulan Disember atas alasan iklim pada waktu itu. Jadi jangan tanpa usul periksa hanya menerima respon A-I. Kita manusia lebih pintar dari A-I. Dengan "prompt" yang tepat kita dapat mengumpulkan banyak maklumat yang dapat membawa kita kita kepada kesimpulan yang tepat.


Jadi bila sebenarnya tarikh Yesus Kristus dilahirkan dalam bulan Disember? Kalau ingin tahu sila turunkan komen seperti yang saya pesankan di atas. (Rujuk Facebook Jubilie Apin)


Semoga ada yang sudi membaca dari mula sampai habis. Kalau bercerita tentang artis ramai yang mahu membaca dan terus jadi bahan bualan, kenapa cerita tentang Yesus Kristus tidak dibaca dengan semangat dan dijadikan bahan bualan? Kan?


Semoga bermanfaat. Selamat menyambut Natal 2024. Tuhan memberkati.


Oleh Pr Jubilie Apin

Comments


bottom of page