top of page

Blacksheep (Kambing hitam)


Shalom,


Selamat Tahun Baru 2024. Saya berdoa agar tahun 2024 ini menjadi tahun yang mengajar kita untuk terus bertumbuh didalam TUHAN. Kiranya anda menemukan tujuan (visi dan misi) hidup pada tahun ini. Amen.


Siapa disini yang pernah menjadi kambing hitam? ataupun pernah menjadikan orang lain kambing hitam? Saya pernah dijadikan kambing hitam. Puji Tuhan, saya mengampuni dan saya bertaubat. Semua kerana anugerah Tuhan.

Semua bermula apabila saya membaca kisah mengenai Saul dan Daud. Banyak perkara saya ditegur melalui pembacaan ini.


4Lalu orang Daud berkata kepadanya, “Inilah hari yang difirmankan Tuhan kepada tuan, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu. Lakukanlah terhadap dia menurut apa yang kaupandang baik.’ ” Daud pun mendekat lalu memotong bucu jubah Saul secara diam-diam. 5Kemudian berdebar-debarlah hati Daud, kerana dia telah memotong bucu jubah Saul. 6Lalu berkatalah dia kepada anak buahnya, “Tuhan melarang aku melakukan hal sebegitu terhadap tuanku, orang yang dilantik Tuhan, atau mencederakan dia, kerana dia dilantik Tuhan.” 7Dengan kata-kata itu Daud menahan anak buahnya dan tidak mengizinkan mereka untuk menyerang Saul. Sementara itu Saul bergegas meninggalkan gua untuk melanjutkan perjalanannya. 8Kemudian bergegaslah Daud keluar dari dalam gua dan berseru dari belakang Saul, katanya, “Tuanku Raja!”Ketika Saul menengok ke belakang, Daud membongkok dan sujud memberi hormat.


Saya pernah menghadapi masalah dengan seorang pemimpin. Saya diminta untuk bertanggungjawab dengan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain. Oleh kerana dia seorang pemimpin, saya akur dan meminta maaf akan kesilapan itu. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak berpuas hati dan mula ada pemberontakan dalam diri saya. Saya tidak senang hati dengan keadaan itu. Ia benar – benar memberi kesan negatif dalam diri saya.


Beberapa waktu kemudian, saya terbaca dan merenungkan kisah Daud dan Saul. Dalam kisah tersebut, Daud dikejar dan mahu dibunuh oleh Saul (bapa mentua Daud sendiri) hanya kerana Saul merasa tergugat dengan kehadiran Daud. Keadaan Daud ketika itu betul-betul mencemaskan. Daud juga merasa tidak berpuas hati kenapa dia diperlakukan seperti itu. Dipendekkan cerita, Daud memiliki kesempatan untuk bertindak terhadap Saul tetapi TUHAN berkata “Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu.


Lakukanlah terhadap dia menurut apa yang kaupandang baik.’ Wow! Ingat TUHAN mengenal Saul dan Daud, TUHAN tahu rancangan-Nya bagi kedua-dua mereka. Begitu juga kita, TUHAN tahu apa yang saya alami atau anda alami. Ingat Firman TUHAN ini “yang kau pandang baik”. Bererti memberontak atau membalas dendam atau menjatuhkan pemimpin itu bukanlah tindakan yang baik. Apa yang Daud lakukan? Dalam ayat 8, Kemudian bergegaslah Daud keluar dari dalam gua dan berseru dari belakang Saul, katanya, “Tuanku Raja!”Ketika Saul menengok ke belakang, Daud membongkok dan sujud memberi hormat. Tindakan Daud adalah memberi HORMAT. Luarbiasa tindakan Daud, dia mendengar akan TUHAN.

Bagaimana dengan kita hari-hari ini? Ketika kita mengalami masalah dengan pemimpin, apakah kita tetap menghormati mereka atau kita mula memberontak / membalas dendam / menjatuhkan pemimpin tersebut?


Ingatlah bahawa bahagian kita adalah tetap menghormati pemimpin, bahagian TUHAN adalah membimbing dan menghajar pemimpin tersebut. TUHAN punya kuasa untuk mengangkat dan menurunkan pemimpin (Dan 2:21 Dia mengubah waktu dan musim, Dia memecat dan melantik raja-raja. Dia mengurniakan hikmah kepada orang bijak dan pengetahuan kepada orang yang memiliki pengertian). TUHAN punya rancangan dalam diri kita ketika kita mengalami hal seperti Daud. Kita juga diajar TUHAN perkara yang baik untuk kita lakukan melalui hal buruk yang kita alami dalam hidup.


Apa yang perlu anda lakukan ketika menghadapi masalah dengan pemimpin;

  1. Berterus terang.

  2. Siap mengampuni / minta maaf (jika kita melakukan kesilapan).

  3. Jika pemimpin tersebut acuh tak acuh, tidak mengapa, bahagian kita sudah selesai dan milikilah hati yang tetap menghormati pemimpin tersebut.

Saya berharap perkongsian ini dapat memberkati anda. Sekian terima kasih. Tuhan Yesus memberkati.


Pr Nelson Raimon

Comments


bottom of page