top of page

Bolehkah Kita Melakukan Seks Sebelum Berkahwin?




Apabila bercakap mengenai hubungan seks pranikah, bersekedudukan, dan homoseksualiti, orang Kristian selalu dianggap sebagai ketinggalan zaman, strict, dan menghakimi. Masalah ini mungkin merupakan salah satu halangan utama bagi ramai individu untuk menjadi orang Kristian. Tapi menurut pengalaman saya, tidak kurang ramai orang yang meninggalkan gereja atau berpindah gereja apabila mereka tidak bersetuju dengan ketetapan atau peraturan yang dibuat oleh gereja tersebut mengenai topik ini.


Yang jelas, Alkitab melarang dosa seksual, iaitu percabulan (percabulan seksual secara umum) dan perzinaan (seks yang yang dipersetujui antara orang yang sudah berkahwin dan orang lain selain suami atau isterinya) masing-masing disentuh dalam Amsal 6:32 dan 1 Korintus 6:18.


Dalam Alkitab, istilah seks sebelum nikah atau seks sebelum berkahwin, tidak disebut secara khusus namun dalam 1 Korintus 7:1-2, Paulus menyatakan bahawa kerana bahaya percabulan bagi orang yang bujang, setiap lelaki baiklah berkahwin supaya dia bersetubuh dengan isterinya sendiri dan setiap wanita dengan suaminya sendiri. Ini bertujuan supaya mereka tidak jatuh dalam dosa percabulan. Walau bagaimanapun, Paulus tidak menggalakkan perkahwinan sebagai "rawatan" atau solusi untuk mengatasi tingkah laku seksual yang tidak bermoral.


Saya pernah mendengar bahawa ada ibu bapa yang tidak mahu anak mereka terus menerus dalam dosa perzinahan, maka mereka menyuruh anak mereka berkahwin saja supaya orang tidak bergossip mengenai mereka. Saya tidak setuju dengan alasan ini kerana berkahwin belum tentu menjamin seseorang itu tidak akan melakukan zinah selepas berkahwin. Ini kerana berkahwin hanya mengubah status fizikal seseorang (bujang menjadi berkahwin) namun tidak menangani akar dari permasalahan tersebut, iaitu dosa percabulan.


Hubungan seksual berasaskan perkahwinan adalah sesuai dengan firman Tuhan dan dipandang kudus dimata Tuhan. Jadi, apa-apa hubungan seks yang berlaku di luar perkahwinan bukan saja dilihat sebagai tidak bermoral namun ianya dosa!


Ibrani 13:4 AVB berkata,”Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya.” Ayat ini jelas menunjukkan bahawa hubungan seks sebelum berkahwin sebagai dosa.


Bagaimana pula halnya jika ada yang berkata “kami tidak melakukan hubungan seks namun kami hanya berkongsi tinggal di dalam rumah yang sama dan bilik yang berasingan”?

Ini jawapan saya; Paulus menasihati Timotius, mentee nya yang muda, dalam 2 Timotius 2:22 “Sebab itu jauhilah nafsu orang muda, kejarlah keadilan, kesetiaan, kasih dan damai bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni.” Dari ayat ini, firman Tuhan jelas mengajar kita untuk menjauhi nafsu orang muda dan sebaliknya kita dinasihatkan untuk mengejar keadilan, kesetiaan, kasih dan damai. Pertanyaannya, bagaimanakah seseorang dapat melakukan 2 Timotius 2:22 apabila dia bersekedudukan dengan pasangan yang bukan menjadi suami atau isteri yang sah? Lagi pula, firman Tuhan dalam 1 Korintus 10:12 berkata “...siapa yang menyangka, bahwa ia teguh berdiri, hati-hatilah supaya ia jangan jatuh” . Jadi, tiada seorang pun, termasuk hamba Tuhan yang terhebat sekalipun, dapat menganggap dirinya teguh berdiri kerana iblis akan selalu mencari kesempatan untuk menjatuhkan orang-orang percaya.


Yang jelas, apabila dua individu bujang melakukan hubungan seks, mereka mencemarkan anugerah seks yang indah dari Tuhan. Bukan itu saja, mereka mencemarkan gambaran hubungan Tuhan Yesus dengan gereja-Nya (Efesus 5:24-27).


Hari-hari ini, ramai orang yang mengaku kristian hanya menganggap seks sebagai suatu ekspresi kasih (eros) dan tidak salah sekiranya mereka akan bertunang (atau sudah bertunang) atau akan berkahwin suatu hari nanti. Ini jelas salah kerana yang sebetulnya cinta yang dibangun dalam hubungan tersebut hanya berpusatkan nafsu kedagingan mereka dan bukan berpusatkan Kristus.


Saya mahu akhiri dengan firman Tuhan di dalam 1 Korintus 6:18-20 ​​Jauhkanlah dirimu dari percabulan! Setiap dosa lain yang dilakukan manusia, terjadi di luar dirinya. Tetapi orang yang melakukan percabulan berdosa terhadap dirinya sendiri. Atau tidak tahukah kamu, bahwa tubuhmu adalah bait Roh Kudus yang diam di dalam kamu, Roh Kudus yang kamu peroleh dari Allah, --dan bahwa kamu bukan milik kamu sendiri? Sebab kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: Karena itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu!


Yesus sudah mati bagi kita semua. Kita sudah dibeli dengan harga yang sangat mahal dan kita harus memuliakan Tuhan dengan tubuh kita. Sama ada kita masih bujang, tidak ada pasangan ataupun kita sudah ada pasangan ataupun sudah berkahwin. Saya percaya bahawa jika anda sungguh-sungguh mengasihi Tuhan, anda akan selalu mahu menjalani hubungan yang memuliakan nama Tuhan. Oleh Pr Wagner Daniel


Comments


bottom of page