top of page

Bolehkah Orang Kristian Bertatu?


Saya percaya bahawa orang Kristian harus membuat keputusan dengan penuh hikmat dari Tuhan sekiranya mereka ingin membuat tatu. Sebelum saya teruskan, let me give the context. Soalan ini adalah berkaitan orang-orang kristian yang membuat tatu pada tubuh mereka SELEPAS mereka mengenal dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat.


Mungkin sebelum ini mereka tidak terfikir mengenai tatu kerana mereka melihat itu sebagai dosa. Namun sesuatu mungkin terjadi, pengaruh kawan, pengaruh persekitaran, media sosial dan sebagainya, dan itu membuatkan mereka merasa mereka mahu membuat tatu. Sepertinya mereka mendapat “perwahyuan” dari Tuhan. Walau bagaimanapun, hanya Tuhan yang tahu isi hati setiap kita namun kita tahu bahawa setiap pohon dikenal dari buahnya (Matius 7:16-20)


Walaupun tiada larangan secara langsung dari alkitab terhadap tatu, orang Kristian masih tetap harus mempertimbangkan potensi implikasi untuk mendapatkan tatu pada tubuh mereka. Saya senaraikan beberapa ayat yang saya sendiri gunakan sebagai prinsip-prinsip yang saya pegang selama ini. Berdasarkan pengalaman saya, prinsip-prinsip ini boleh diaplikasikan untuk semua jenis pertanyaan yang bermula dengan “Boleh kah seorang kristian…..”


Roma14:13-23


“13Karena itu janganlah kita saling menghakimi lagi! Tetapi lebih baik kamu menganut pandangan ini: Jangan kita membuat saudara kita jatuh atau tersandung!...19Sebab itu marilah kita mengejar apa yang mendatangkan damai sejahtera dan yang berguna untuk saling membangun”


1 Korintus 10:23-24


”Segala sesuatu diperbolehkan.” Benar, tetapi bukan segala sesuatu berguna. ”Segala sesuatu diperbolehkan.” Benar, tetapi bukan segala sesuatu membangun. 24Jangan seorang pun yang mencari keuntungannya sendiri, tetapi hendaklah tiap-tiap orang mencari keuntungan orang lain.


1 Korintus 10:31-34


31Aku menjawab: Jika engkau makan atau jika engkau minum, atau jika engkau melakukan sesuatu yang lain, lakukanlah semuanya itu untuk kemuliaan Allah. 32Janganlah kamu menimbulkan syak dalam hati orang, baik orang Yahudi atau orang Yunani, maupun Jemaat Allah. 33Sama seperti aku juga berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala hal, bukan untuk kepentingan diriku, tetapi untuk kepentingan orang banyak, supaya mereka beroleh selamat.


Efesus 2:10


Karena kita ini buatan Allah, diciptakan dalam Kristus Yesus untuk melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya. Ia mau, supaya kita hidup di dalamnya.


Di sini saya senaraikan 4 soalan penting yang setiap orang Kristian harus tanyakan diri mereka sendiri sebelum mereka membuat tatu.


  1. Apa yang menjadi motivasi saya untuk mendapatkan tatu?

Orang Kristian harus mempertimbangkan motivasi mereka untuk mendapatkan tatu dan tanya diri sendiri sama ada ia sejajar dengan nilai firman Tuhan. Adakah hanya untuk kesenangan sendiri? Supaya kelihatan menonjol dari yang lain? Atau sebagai lambang “pembebasan” dari autoriti yang Tuhan sudah letakkan di atas kita? Atau mungkin tatu tersebut digunakan supaya kita lebih dikenali, lebih disukai dan diterima oleh orang lain?

Sebagai orang percaya, kita wajib mempertimbangkan sama ada keinginan mereka

untuk mendapatkan tatu berakar pada kesombongan atau keinginan untuk

menyesuaikan diri dengan golongan atau budaya tertentu.

Seorang pastor dan ahli teoloji bernama John Piper pernah berkata, "Apakah motif tatu itu? Adakah ia untuk menarik perhatian kepada diri saya sendiri? Atau untuk menyampaikan sesuatu yang positif dan membina kepada orang lain?" 1 Korintus 10:23-24 boleh menjadi rujukan disini.


2. Adakah ini membantu saya menjadi saksi Kristus dengan lebih efektif?


Satu faktor penting untuk dipertimbangkan ialah kesan tatu pada kesaksian peribadi seseorang sebagai seorang Kristian. Orang Kristian dipanggil untuk dipisahkan daripada dunia dan menjalani kehidupan yang berkenan kepada Tuhan. Jika tatu boleh dilihat sebagai simbol pemberontakan atau mengabaikan ajaran Alkitab, ia berpotensi memburukkan kesaksian seseorang kepada orang yang tidak percaya. Selain itu, jika tatu menyinggung perasaan atau tidak sesuai, ia boleh menyebabkan orang Kristian yang lain tersandung dalam iman mereka.

Orang Kristian harus mempertimbangkan kesan tatu pada kesaksian peribadi mereka dan samada tatu itu boleh menjejaskan hubungan mereka dengan orang bukan percaya dan hubungan mereka dengan anggota tubuh Kristus yang lain. Sekiranya anda mengetahui bahawa tatu anda membuatkan orang tidak mahu mendengar kesaksian anda mengenai Yesus, apa respon anda?


Bapa saya, Rev. Daniel Raut, pernah menasihati saya seperti ini: “Ada orang yang akan menolak kamu dan kesaksian kamu sebelumpun mereka mendengar kesaksian kamu. Semua kerana penampilan kamu (memakai tatu) yang menjadi batu sandungan kepada mereka”. For the record, saya tidak memiliki tatu namun inilah jawapan dia mengenai orang kristian yang membuat tatu setelah mereka menjadi orang percaya.


Soalan saya untuk anda, mahukah anda terlepas kesempatan untuk bersaksi mengenai Yesus kepada orang tersebut hanya kerana tatu anda? Ramai hamba-hamba Tuhan dan orang-orang Kristian yang lain dipakai Tuhan dengan luar biasa dalam kesaksian mereka tanpa mereka harus memakai tatupun.


Seorang hamba Tuhan,Charles Spurgeon, berkata "Kita mesti sentiasa ingat bahawa tindakan kita, walaupun tindakan yang kelihatan tidak penting, boleh memberi kesan yang mendalam kepada orang di sekeliling kita."


3. Adakah saya memuliakan Tuhan dengan harta (kewangan) dan tubuh saya?


Membuat tatu tidak murah. Ada tatu yang berharga ratusan dan ribuan! Saya ada seorang kawan (bukan kristian) yang memiliki sejumlah tatu dibadannya jika dihitung boleh membeli sebuah iphone 14! Sekiranya sebagai orang Kristian kita sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk tatu, adakah kita setia dalam pemberian persembahan, persepuluhan dan pelayanan kebajikan kita kepada Tuhan dan gerejaNya? Amsal 3:9 menuntut kita untuk memuliakan Tuhan dengan harta benda kita. Adakah kita lebih cenderung memuliakan diri kita sendiri atau memuliakan Tuhan? Semua itu dapat dilihat dari cara kita menggunakan wang kita.



4. Sudahkah saya meminta pandangan daripada ibubapa (sekiranya anda masih belajar), pastor atau pemimpin rohani saya?


Saya tahu ada ramai anak muda tidak mahu meminta pandangan daripada ibubapa atau pemimpin rohani mereka kerana meraka sudah tahu apa jawapan yang akan mereka terima. Saya percaya Tuhan meletakan ibubapa, pastor dan pemimpin rohani diatas kita sebagai autoriti dari Tuhan yang menjaga kita daripada jatuh. Sekiranya kita enggan mendengar pendapat dan nasihat mereka, itu jelas menunjukkan ada roh pemberontakan dalam diri kita.



Kesimpulannya, sebagai orang percaya, kita harus berdoa, memeriksa hati kita dan minta pendapat dari pemimpin rohani kita dan sahabat-sahabat Kristian kita yang lain sebelum membuat tatu. Kalau saya boleh simpulkan jawapan saya dalam 1 ayat, saya akan gunakan 1 Korintus 10:23 ”Segala sesuatu diperbolehkan.” Benar, tetapi bukan segala sesuatu berguna. ”Segala sesuatu diperbolehkan.” Benar, tetapi bukan segala sesuatu membangun.


Semoga perkongsian ini dapat memberi pencerahan bagi anda yang sedang dalam dilema dalam persoalan ini. Tuhan memberkati.


Oleh Pr Wagner Daniel


Comments


bottom of page