Dasar Manakah Hidupmu Dibina?
- Komuniti Digital 05
- 9 hours ago
- 1 min read

'Akan tetapi, orang yang mendengar dan tidak menurut kata-kata-Ku umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan runtuh dan kerosakannya besar sekali.”' (Lukas 6:49) AVB
Tuhan Yesus menggunakan perumpamaan tentang dua jenis asas rumah untuk mengajar mengenai akibat yang dihadapi oleh seseorang yang datang kepada-Nya dan mendengar kata-kata-Nya. Ada yang melakukan apa yang Dia ajarkan, dan ada pula yang tidak melakukannya.
Bagi mereka yang mendengar kata-kata Yesus dan melaksanakannya, mereka ibarat orang yang membina rumah di atas asas batu. Sebaliknya, mereka yang mendengar tetapi tidak melakukannya, adalah seperti orang yang membina rumah tanpa asas, iaitu di atas pasir.
Apabila banjir melanda rumah yang dibina di atas pasir, kerosakannya amat dahsyat. Namun, rumah yang dibina di atas batu tidak dapat digoncangkan, kerana asasnya kukuh dan teguh.
Bagaimana pula dengan kita hari ini? Di atas asas manakah hidup kita dibina? Adakah kita membina asas kehidupan kita di atas “batu” atau “pasir”? Pilihan itu terletak di tangan kita sendiri.
Hidup ini pasti akan menghadapi pelbagai badai dan gelombang kehidupan. Namun, kekuatan kita untuk bertahan ditentukan oleh asas kehidupan yang kita bina hari ini. Jika kita membina kehidupan atas dasar yang benar, maka kita akan tetap bertahan dalam menghadapi setiap “badai kehidupan” yang datang.
Justeru, marilah kita membina asas kehidupan kita di atas batu—iaitu Firman Tuhan.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon agar Engkau memberikanku hikmat untuk membina dasar hidupku di atas asas yang benar, supaya aku dapat bertahan dalam menghadapi badai kehidupan ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments