top of page

Dibaharui Melalui Penyembahan


Bacaan Alkitab: Mazmur 146-150; Amsal 1-5


Setiap yang bernafas, pujilah Tuhan. Pujilah Tuhan! (Mazmur 150:6)

Pembacaan Alkitab hari ini membawa kita ke penghujung kitab Mazmur. Lima Mazmur terakhir (146-150) masing-masing diakhiri dengan penuh semangat dengan perkataan “Haleluyah”, yang bermaksud, “Pujilah Tuhan.” Apakah yang kita boleh pelajari daripada ini? Mungkinkah setelah semuanya dikatakan dan dilakukan, Kitab Suci memberitahu kita bahawa satu-satunya tindakan yang betul dan baik bagi orang yang beriman adalah untuk menyembah. Untuk menaikkan Haleluyah. Untuk ingat sekali lagi bahawa tujuan utama manusia ialah “memuliakan Tuhan, dan mengasihi Dia selama-lamanya.”


Kekuatan penyembahan tidak boleh dipandang remeh. Kitab Suci menunjukkan kepada kita bahawa kita menjadi serupa dengan apa yang kita sembah. Kita mencerminkan apa yang kita utamakan. Pemazmur menyatakannya dengan jelas, “Orang yang membuat [berhala] menjadi seperti berhala, demikian juga semua orang yang percaya kepadanya (Mazmur 115:8).” Apabila kita menyembah perkara- perkara dunia, kita menjadi seperti dunia - mengambil corak dosanya. Apabila kita membuat berhala daripada wang, seks dan kuasa, kita akan jatuh ke dalam tabiat yang merosakkan iaitu tamak, nafsu dan penyalahgunaan.


Terdapat jutaan “tuhan kecil” yang berusaha mendapatkan perhatian kita - dalam talian dan luar talian. Seperti tanah liat, kita sentiasa dibentuk oleh apa yang kita lihat dan kepada siapa kita mendedahkan diri kita. Persoalannya ialah, “Siapakah tukang periuk kita?” Hanya ada satu Tukang Periuk sejati yang mengasihi kita dan memikirkan kepentingan yang terbaik untuk kita - Tuhan Bapa kita. Penyembahan adalah sama dengan meletakkan hidup kita ke dalam tangan-Nya. Semasa kita menyembah, Dia memperbaharui dan membentuk kita menjadi wadah yang suci - hidup sepenuhnya dalam Kristus dan berguna untuk setiap pekerjaan yang baik.


Doa:

Tuhan Yesus, hati saya semakin dekat kepada-Mu setiap kali saya membuka mulut untuk menyembah-Mu dan menyatakan siapa Engkau dalam hidup saya. Singkirkanlah setiap berhala dalam hati saya dan kuatkan gambaran-Mu dalam saya melalui kuasa pembaharuan Firman dan Roh-Mu. Amin.


Pr Lee Yew Meng, NECF




Commentaires


bottom of page