top of page

Diberkatilah Kamu Yang Miskin


Yesus memandang murid-murid-Nya  lalu berkata, “Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.” Lukas 6:20 AVB

 

Yesus melayangkan pandangan  ke arah murid-murid-Nya lalu Dia berkata kepada mereka, "Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.”  

 

Injil Lukas mengisahkan hidup murid-murid Yesus yang telah memperhambakan diri mereka kepada-Nya. Mereka harus melalui berbagai-bagai keadaan yang sangat sukar selama mereka mengikut Yesus. Mereka sering kali menghadapi kelaparan, kekurangan, kesedihan dan kecelaan sebagai murid Kristus, namun semuanya ini tidak sekali-kali menutup kemungkinan mereka daripada menikmati Pemerintahan Allah.

 

Walaupun kemiskinan secara jasmani sering kali menyebabkan diri mereka mengalami berbagai-bagai kesulitan dan cabaran, namun hal itu turut mendorong diri mereka untuk menjalani hidup yang sentiasa merendahkan diri dan memiliki kesedaran bahawa mereka sangat memerlukan Tuhan dalam hidup mereka. Oleh itu, kemiskinan secara jasmani bukanlah penghalang kepada seseorang untuk menikmati kerajaan Allah.

 

Sesungguhnya, bagi mereka yang miskin secara jasmani, anda tidak perlu lemah semangat untuk menjalani hidup ini. Sebab untuk menikmati kerajaan Allah dalam hidup, kuncinya bukanlah berdasarkan kekayaan dunia yang kita miliki, tetapi berdasarkan iman kita kepada Tuhan Yesus.

 

Ingatlah bahawa kemiskinan secara jasmani tidak sekali-kali membuat kita menjadi miskin secara rohani, tetapi kemiskinan secara jasmani akan membuat kita kaya secara rohani, kerana kita akan sentiasa bersandar dan bergantung pada kuasa serta kasih kurnia Tuhan dalam hidup ini.

 

Oleh itu “…kaya-miskin...” menurut kebenaran Firman Tuhan tidak ada bezanya dalam kerajaan Allah. Orang "miskin" boleh juga memiliki kerajaan Allah.

 

Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang berterima kasih kepada-Mu kerana kerajaan-Mu adalah untuk semua orang, baik orang kaya mahupun orang miskin. Semuanya layak untuk memasuki kerajaan Tuhan. Oleh itu, ajarlah aku, ya Tuhan, untuk mengikut jalan-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page