top of page

Didik Minda Anda!




-Tulisan oleh Samuel Nesan

(Terjemahan Dr Michelle Ling)


Minda yang tidak dididik dalam kebenaran Tuhan menjadi pintu terbuka bagi pengajaran sesat dan murtad.


Baru baru ini, saya menemui petikan yang diposkan oleh seorang pastor di Facebook yang mengatakan, “ Sedikit kesaksian seringkali lebih bermanfaat kepada hati yang lapar daripada banyak pengajaran doktrin." Maksud sebenar pastor tersebut mungkin tidak dapat difahami sepenuhnya tetapi yang jelas ialah terdapat jurang yang besar di antara minda dan hati.


Pada zaman sekarang, ada segelintir penganut Kristian yang menjauhi penggunaan minda ataupun intelek. Penggunaan minda dianggap sebagai musuh kepada iman. Apabila mereka menghadapi cabaran intelektual, mereka akan amalkan mantra, “ Saya ada iman yand sederhana.’ Sebagaimana beberapa pendeta Kristian berkata, kita seharusnya memahami perbezaan di antara beriman seperti anak kecil dan bukannya beriman bertaraf kebudak-budakan. Perbezaannya ialah orang yang beriman seperti anak kecil akan semakin bertambah iman. Mereka bersifat ingin tahu. Mereka akan menggunakan minda untuk bertanya soalan and mencari jawapan. Mereka terbuka sepenuhnya untuk memperolehi pengetahuan. Bukankah sifat anak-anak kecil sebegini juga?


Beriman bertaraf kebudak-budakan pula berlainan kerana ia adalah iman yang enggan menjadi matang, enggan berubah dan sering memusuhi apa saja yang mencabarnya. Sebenarnya iman yang begini langsung tidak mahu menggunakan minda ataupun intelek untuk memahami apa-apa. Ia memberi alasan bahawa kepercayaan tulus, pengalaman dan emosi adalah mencukupi. Kelaziman kepercayaan seperti inilah yang mengakibatkan agama Kristian dianggap sebagai agama yang tidak menggunakan akal.


Pada zaman Kristian yang moden ini, kita mungkin berpendapat bahawa terdapat jurang yang besar di antara hati dan minda. Jurang ini sebenarnya tidak kelihatan dalam Kitab Suci. Sebaliknya, Rasul Paulus berkata,


”Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kank, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.” (1 Korintus 14:20 AVB).


Pengarang Ibrani pula menegur pembacanya,


“ Sepatutnya sekarang kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang asas-asas pertama firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal.” (Ibrani 5:12 AVB).


Ketika ditanya apakah perintah yang terutama dan paling penting, Yesus menjawab,


“Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.” (Matius 22:37 AVB).


Ini bermaksud jikalau kita hanya mengasihi Tuhan dengan hati, kita akan mengabaikan perintah itu kerana Yesus bertitah supaya kita juga harus mengasihi Tuhan dengan fikiran. Sebenarnya, mustahil untuk seseorang mengasihi Tuhan dengan hati tanpa menggunakan minda. Ini adalah kerana tidak mungkin hati kita boleh mengasihi apa yang kita benci dalam pemikiran.


Di Amerika,di mana saya kini menetap, agama Kristian berdiri teguh di Universiti- universiti dan sekolah pada zaman Puritan sehingga tahun 1800-an. Pada asalnya, pemahaman iman diperolehi lebih melalui teologi (iaitu ilmu mempelajari segala sesuatu yang berkaitan dengan agama).


Setelah masa berlalu, secara beransur ansur, cara mendekati iman telah berubah kepada pemahaman iman melalui pengalaman dan emosi. Keinginan untuk mengetahui iman digantikan dengan keinginan untuk merasakan iman.


Masalahnya ialah jikalau minda kita diabaikan, ia menjadi pintu terbuka bagi ajaran sesat dan murtad. Pada zaman ini, sekularisme dan ajaran sesat bertambah.


Darwinism berkembang maju menggugat pendirian orang Kristian di jabatan saintifik. Ia mencabar kepercayan orang Kristian berkenaan Penciptaan alam dan manusia.


Sekularisme dan Liberalisme (falsafah-falsafah yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dari kawalan agama) menggugat orang Kristian di jabatan falsafah dan teologi.


Kritikan Tinggi (Higher Criticism) pula menyerang orang Kristian dari segi kewibawaan dan inspirasi Kitab Suci. Tempoh ini juga menyaksikan kenaikan agama seperti Mormonisme yang menyebabkan ramai meninggalkan iman benar dan memeluk agama bidaah.


Mengapa gereja tidak dapat menanggapi semua cabaran ini dengan berkesan seperti pendeta Athanasius, Tertullian dan Justin Matyr pada masa lalu? Saya syaki ini disebabkan gereja gagal mendidik minda orang-orang beriman. Seperti Jen Wilkin berkata,


Literasi Kitab Suci (berkaitan dengan kebolehan membaca and mentafsirkan Bible) penting kerana ia melindungi kita dari pemahaman yang salah. Ajaran guru-guru palsu dan humanis secular bergantung kepada kejahilan alkitabiah untuk berakar umbi jadi gereja moden kini menjadi tanah subur untuk ajaran sesat. Disebabkan kita kurang pengetahuan dalam Alkitab, pendirian kita mudah runtuh apabila menghadapi apa apa cabaran berkenaan pandangan dunia.


Pada zaman sekarang, ajaran sesat dan sekularisme semakin berluaspada sehingga tahap di mana kita telahpun biasa dengan perkara ini. Sudah tiba masanya untuk berhenti mengagungkan kebutaan huruf Alkitab ini. Kita perlu menguruskan pendidikan minda setiap penganut Kristian di bawah penjagaan kita. Golongan yang menjadi pertahanan di antara generasi Kristian muda dan institusi institusi yang mencabar pendirian mereka adalah para ibubapa Kristian, pastor dan pemimpin-pemimpin di gereja. Kita tidak boleh sekadar mengisi hati yang lapar. Kita perlu mengisi minda yang kosong dengan Kitab Suci.


Salah satu tujuan utama melibatkan diri dalam Apologetics(ilmu mempertahankan iman menggunakan perbahasan) adalah untuk menguruskan pendidikan minda. Dalam kata-kata mendiang Ravi Zacharias, “ menolong yang memikir percaya dan menolong yang percaya memikir.”


Kita perlu merebut kembali minda kita untuk kemuliaan Tuhan dan kemajuan Injil. Kita memerlukan orang beriman seperti Rasul Paulus yang ada hati untuk Injil dan minda untuk memahami and menyampaikan kebenaran Alkitab kepada dunia yang tegak menentangnya. Seorang penginjil yang dipenuhi Roh Kudus, seorang yang mampu berbahas dengan para falsafah di Athens pada zaman dulu, seorang guru Alkitab yang mampu menangani ajaran sesat yang mengancam gereja dulu. Inilah Rasul Paulus yang setelah menulis separuh daripada Perjanjian Baru, mengakhiri surat terakhirnya sebelum kematiannya dengan cabaran begini,


Di hadirat Allah dan Kristus Yesus yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: 2Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran, 3kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka. 4Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng. 5Tetapi kamu, berwaspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna.

2 Timotius 4:1-2 AVB

Comments


bottom of page