top of page

Diperbaharui dalam Takut dan Pengetahuan Akan Tuhan


Bacaan Alkitab: Amsal 6-15


Takut kepada Tuhan adalah permulaan hikmah, dan pengetahuan akan Yang Maha Suci adalah pengertian. (Amsal 9:10)


Dengan kemajuan teknologi maklumat, kita telah diberikan ilmu yang hampir tidak terhad di tapak tangan. “Pakcik Google” nampaknya mempunyai semua jawapan yang kita perlukan, memberikan pengetahuan mengikut kehendak dan keinginan kita. Budaya yang berlaku ini akan membuatkan kita berfikir bahawa kita menjadi lebih baik jika lebih banyak maklumat yang kita tahu. Namun kajian menunjukkan sebaliknya. Keadaan kesihatan mental seperti gangguan kemurungan dan kebimbangan terus meningkat di seluruh dunia. Ia seperti lautan maklumat yang menenggelamkan manusia dan bukannya menyiramnya untuk pertumbuhan.


Cukuplah untuk mengatakan, banyaknya pengetahuan tidak dapat disamakan dengan sebuah kehidupan yang dijalani dengan baik. Sebaliknya, ramai yang bersetuju bahawa apa yang diperlukan bukanlah banyaknya pengetahuan tetapi banyaknya kebijaksanaan. Kebijaksanaan boleh dianggap sebagai keupayaan untuk menggunakan pengetahuan yang kita ada dengan cara yang baik, adil dan praktikal. Dan kitab Amsal dipenuhi dengannya.


Tetapi lebih daripada sekadar memberi kita kata-kata hikmat, kitab Amsal mendasarkan hikmat dalam sesuatu yang lebih dalam dan besar iaitu, takut akan Tuhan yang selari dengan pengetahuan tentang Yang Mahakudus (Ams. 9:10). Maknanya, kebijaksanaan yang sebenar hanya terdapat pada hati yang takut kepada Tuhan dan fikiran yang berusaha untuk mengenal-Nya. Jadi, penuhi hati kita dengan sukacita dan hadiah kehidupan, tetapi jangan sekali-kali hilang rasa hormat kepada Pemberi segala sesuatu. Isi fikiran kita dengan banyak pengajaran tetapi jangan mengabaikan perkara yang paling penting - pengetahuan tentang Tuhan melalui Kitab Suci. Ini akan menjadi perahu penyelamat untuk kita - mata air kehidupan yang menyelamatkan banyak orang daripada jerat maut (Amsal 14:27).


Doa:

Tuhan Yesus, semakin saya takut kepada-Mu, semakin saya bijak. Alihkanlah mata dan fikiran saya dari perkara-perkara yang tidak berharga dan jangan biarkan hati saya mengejar pengetahuan duniawi tanpa henti tetapi, sebaliknya, jadikanlah hati saya tempat menyimpan Firman-Mu yang berharga. Amin.


Pr Lee Yew Meng, NECF



Comentarios


bottom of page