Bacaan Alkitab: Mazmur 136-145
Dengan kasih setia-Mu, tumbangkanlah musuhku; dan musnahkanlah kesemua mereka yang menyakiti jiwaku, kerana aku hamba-Mu. (Mazmur 143:12)
Mazmur bawa bersamanya rasa kedamaian dan ketenangan. Lebih- lebih lagi apabila dibaca dalam keadaan selesa di rumah kita, duduk di kerusi kegemaran kita, sambil menikmati secawan kopi. Oleh sebab itu, kita sering lupa bahawa banyak Mazmur dilahirkan daripada situasi yang tertekan dan huru-hara pada zaman purba yang berdarah dan peperangan di mana musuh kamu bertekad bukan sahaja untuk mencederakan kamu, tetapi juga untuk membunuh kamu.
Pembacaan Kitab Suci hari ini mengingatkan kita bahawa kebanyakan Mazmur telah ditempa dalam api penganiayaan dan kesakitan, penderitaan dan ditinggalkan, keputusasaan dan kemusnahan. Tetapi lebih daripada itu kita dapat mengamati hati pemazmur, Raja Daud. Rayuannya kepada Tuhan menunjukkan kepada kita apa yang perlu dilakukan pada masa-masa sedemikian. Raja Daud merendahkan diri di hadapan Tuhan, meminta Tuhan untuk membebaskan dia, untuk memelihara jiwanya, dan untuk membinasakan orang jahat. Dia melibatkan Tuhan dalam hidupnya, mempercayai Tuhan dengan hidupnya, dan bergantung kepada Tuhan untuk hidupnya. Dengan berbuat demikian dia mengalami kasih setia Tuhan tidak seperti yang dialami oleh orang lain.
Sama ada kita sedar atau tidak, penderitaan dan kesusahan kita sedang memperbaharui kita. Orang percaya yang matang adalah orang yang dapat melihat masa penderitaan sebagai latihan untuk kesalehan. Mereka menyematkan di dalam hati kata-kata Tuhan kita Yesus, “Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia. (Yoh 16:33).” Semoga kata-kata itu terus mengubah kita menjadi semakin serupa seperti Kristus walaupun dalam penderitaan kita.
Doa:
Tuhan Yesus, musim ini adalah masa yang sangat berat untuk setiap kami, tetapi saya bersyukur kerana saya selalu boleh menemui ketenangan dan kekuatan di dalam-Mu. Ubahlah cara saya menghadapi keadaan-keadaan yang di luar kemampuan saya dan tolonglah saya untuk memandang Mu yang berkuasa di atas segala situasi.
Pr Lee Yew Meng, NECF
コメント