Kitab Suci: Ibrani 2:2-4
Ibrani 2:2 berbicara tentang “mesej yang disampaikan oleh malaikat-malaikat.” Beberapa ahli sarjana Alkitab percaya bahawa ini merujuk kepada Taurat – lima kitab pertama Perjanjian Lama. Tradisi Ibrani mengatakan bahawa Taurat telah disampaikan kepada Musa di Gunung Sinai oleh para malaikat. Mesej ini terbukti dapat dipercayai. Setiap berkat atas ketaatan dan penghukuman atas ketidaktaatan yang tertulis dalam Taurat terjadi ke atas umat Israel. Walaupun diberikan Tanah Perjanjian, mereka menyerahkannya melalui ketidaktaatan. Mereka kehilangan warisan mereka. Sebuah “pembalasan yang adil” telah menimpa mereka.
“Tetapi cukuplah mengenai mereka,” penulis kitab Ibrani seakan-akan katakan. Tumpuan kini tertuju kepada pembaca. Kita telah diberi mesej yang jauh lebih besar daripada mereka. Mesej yang diisytiharkan tersebut bukan hanya oleh para malaikat tetapi juga oleh Tuhan Yesus sendiri ketika Dia menjadi manusia. Mesej pengampunan bahawa meskipun kita tidak taat, Kristus telah mati untuk kita. Mesej keselamatan bahawa setiap orang yang percaya kepada-Nya akan memperoleh hidup yang kekal. Mesej pengharapan bahawa semua orang yang bertahan bersama-Nya akan menerima warisan yang tidak dapat binasa. Hal ini jauh lebih besar dari apa pun yang dapat difikirkan atau dibayangkan oleh bangsa Israel.
Dan di sinilah prinsip kepengurusan diterapkan. Tuhan kita Yesus berkata, “Setiap orang yang kepadanya banyak diberi, dari padanya akan banyak dituntut” (Lukas 12:48). Jadi apakah yang dituntut daripada kita? Saya percaya ini adalah untuk mengisytiharkan Mesej dengan berani sekali lagi—dalam perkataan dan dalam perbuatan. Bagaimana? Ibrani 2:4 memberi petunjuk kepada kita. Ia memberitahu kita tentang peranan penting Roh Kudus dalam memberikan kesaksian tentang Mesej yang Tidak Tergoncangkan. Seperti pada awalnya, demikian juga pada akhirnya. Datanglah, Roh Kudus!
Doa:
“Datanglah, Roh Kudus, penuhilah hati umat-Mu dan nyalakanlah api kasih-Mu dalam mereka.” Biarlah kami diberi kuasa oleh-Mu untuk mengisytiharkan mesej Kristus yang tidak tergoncangkan kepada kota-kota kami, bangsa kami, dan kepada bangsa-bangsa di dunia. Amin.
Berdoa agar kepercayaan antara rakyat dan kerajaan serta antara kumpulan etnik dan kaum akan dipulihkan secara beransur-ansur di bawah usaha Madani supaya kerjasama di kalangan rakyat Malaysia menjadi lebih baik.
Berdoa agar kepercayaan gereja-gereja Malaysia kepada Pencipta dan Penyempurna iman kita akan menjadi tidak tergoncangkan ketika menghadapi masa yang penuh kesusahan dan mencabar ini.
Comments