top of page

DOA NECF Hari 12: Tidak Malu Memanggil Kita Saudara

Kitab Suci: Ibrani 2:10-18


Sungguh istimewa dan penuh penghormatan rasanya apabila mengetahui Tuhan dan Juruselamat yang kekal menerima kita, umat manusia, sebagai saudara-saudara-Nya. Dia adalah Tuhan yang kekal, tiada bandingan, dan tiada tandingan. Namun, Dia memilih untuk menjadi sama dengan manusia yang berdosa dan lemah seperti kita. Lebih daripada sekadar memanggil kita saudara, Dia telah menjadi satu dalam daging, dengan meninggalkan kemuliaan-Nya dan mengambil ke atas diri-Nya rupa manusia serta hidup di antara manusia. Dalam bentuk manusia, Dia telah menjadi satu dengan kita dan satu seperti kita.


Sungguh suatu pengorbanan yang merendahkan hati dan besar ketika Dia mengambil jalan itu. Dia juga terus membuktikan bahawa Dia adalah seorang saudara sejati. Siapakah saudara sejati? Seseorang yang membela dan mendukung saudara-saudaranya dalam kesusahan.


Dalam Amsal 17:17, Salomo menulis, “Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan menjadi seorang saudara dalam kesukaran.” Maksudnya adalah seseorang yang menjadi atau membuktikan dirinya adalah saudara sejati apabila dia membela dan bersama dengan rakan-rakannya ketika dalam kesusahan.


Dan itulah yang Yesus lakukan untuk kita dan banyak lagi. Ketika manusia berada dalam keadaan yang paling mendesak, Yesus meninggalkan kemuliaan-Nya dan datang ke bumi untuk menyelamatkan mereka dengan nyawa-Nya sendiri supaya mereka dibebaskan. Inilah ungkapan persaudaraan yang paling tinggi—seseorang itu sanggup menyerahkan nyawanya bagi orang lain oleh kerana kasih. Dan sedalam itulah kasih dan perhubungan yang Dia miliki untuk setiap kita yang telah menjadi saudara-Nya!


Doa:

  • Tuhan Yesus, sungguh indah sekali mengetahui bahawa kami dianggap sebagai saudara-saudara-Mu di hadapan takhta Tuhan, Bapa. Terima kasih, melalui tubuh-Mu yang hancur, kami dapat datang kepada Tuhan bukan hanya tanpa rasa malu dan rasa bersalah tetapi juga dengan sukacita dan kedamaian. Kiranya kasih karunia ini dilimpahkan kepada semua orang yang saya kasihi. Amin.

  • Berdoa untuk sekolah awam, swasta, antarabangsa, dan pendidikan di rumah yang menawarkan kurikulum yang berbeza untuk anak-anak kita. Berdoalah agar anak-anak kita dipupuk dan disiapkan dalam persekitaran yang membina karakter yang kuat, budi pekerti yang baik, dan intelek yang mantap.

  • Berdoa agar pusat pendidikan yang dikendalikan oleh gereja mempunyai bilangan tenaga pengajar yang komited dan alkitabiah yang mencukupi untuk menyahut seruan pemuridan. Berdoa agar kesannya melangkaui bilik darjah dan meresap ke dalam semua aspek kehidupan pelajar mereka.


Rev Andy Chi

Comentários


bottom of page