top of page

DOA NECF Hari 16: Jangan Ketinggalan

Kitab Suci: Ibrani 4:1–6


"Okay, saya akan berada di sana sebelum jam 7 pm," jawab seorang pemuda yang berniat untuk menumpang van gereja yang ingin mengambilnya untuk ke gereja. Malangnya, dia tidak pernah muncul. Van gereja itu telah menunggu sehingga melepasi masa yang dipersetujui tetapi terpaksa meninggalkannya kerana perlu mengambil jemaah yang lain di tempat yang lain.


Ayat 1 dalam Alkitab hari ini memberi amaran agar jangan ada di antara kita yang dianggap ketinggalan, seperti pemuda tadi kerana dia tidak menepati janjinya untuk muncul sebelum jam 7 pm. Kita juga boleh gagal memasuki perhentian-Nya. Tuhan telah berjanji dengan umat Israel melalui Musa bahawa Dia akan memimpin mereka masuk ke Tanah Perjanjian atau tempat perhentian (lihat ayat 3). Namun, berita baik ini tidak lagi membawa kepada kegembiraan kerana iman mereka tidak seiring dengan apa yang telah mereka dengar. Ibrani 4:2 menyatakan, “...tetapi firman pemberitaan itu tidak berguna bagi mereka, karena tidak bertumbuh bersama-sama oleh iman dengan mereka yang mendengarnya.”


Ketidakpercayaan umat Israel terbukti melalui sikap mereka yang kuat merungut dalam pelbagai keadaan. Ketika tentera Firaun mendekati mereka, umat Israel mengadu kepada Musa (Kel. 14:11–12). Setelah melewati Laut Merah dan tiba di Marah, umat Israel mengeluh kerana air yang pahit (Kel. 15:22-24). Di padang gurun Sinai, ketika mereka kekurangan makanan, mereka merungut lagi dan merindukan makanan di Mesir (Kel. 16:2-3). Di Rafidim, ketika kekurangan air, mereka merungut lagi (Kel. 17:1-4). Akibatnya, mereka ketinggalan daripada memasuki Tanah Perjanjian.


Hidup ini tidak selalu mudah atau indah. Keadaan dan cabaran hidup mungkin membuatkan kita berasa geram dan merungut, tetapi ketika berjalan bersama Yesus, Sang Raja Damai, kita akan tetap damai. Iman kita tidak akan goyah selagi dasar iman kita ada di dalam Yesus dan bukan pada dunia ini. Berwaspadalah, sahabat-sahabat, kuat merungut dan tidak percaya kepada janji Tuhan akan membuat kita ketinggalan, walaupun janji tersebut adalah masuk ke dalam perhentian-Nya.


Doa:

  • Tuhan Yesus, selaraskan hati dan iman kami agar tertumpu kepada-Mu, bukan pada dunia ini. Daripada kami merungut, bantulah kami untuk bersyukur apabila masalah dan cabaran datang. Teguhkanlah iman kami kepada-Mu dan bukan kepada keadaan dunia ini atau segala percubaannya. Amin.

  • Berdoa agar Kementerian Ekonomi mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan juga membina daya tahan untuk sebarang krisis ekonomi masa depan yang tidak dijangka.

  • Berdoa agar gereja yang mengalami kemerosotan dalam persepuluhan dan persembahan mereka akan mencari cara untuk membayar sewa, kemudahan, dan pekerja mereka, dan agar jemaah mereka akan dijamah oleh Tuhan untuk memberi dengan setia.


Rev Rion Anjangkal

Comments


bottom of page