Kitab Suci: Ibrani 5:1-7
Bahagian ayat ini mengajak kita untuk memahami peranan imam besar dalam Perjanjian Lama dan membandingkannya dengan peranan Kristus sebagai Imam Besar yang kekal. Imam besar adalah perantara antara manusia dan Tuhan, dipilih dari kalangan manusia dan terikat oleh kelemahan. Di sisi lain, Kristus, sebagai Imam Besar yang sempurna, tidak mengangkat diri-Nya, tetapi menerima gelaran itu daripada Tuhan.
Ketidakupayaan imam besar manusia untuk menangani dosa mereka sendiri dan dosa orang lain memperlihatkan keperluan untuk Imam Besar yang lebih baik. Kristus adalah jawapan kepada keperluan itu. Dia bukan sahaja memahami kelemahan kita, tetapi juga telah mengalahkan maut melalui kebenaran dan kemenangan-Nya di kayu salib.
Marilah kita merenungkan bagaimana peranan Kristus sebagai Imam Besar yang kekal telah memberi kesan kepada kita secara rohani untuk mengubah kita menjadi semakin serupa seperti Kristus. Yesus sebagai Imam Besar yang kekal seharusnya mengingatkan kita bahawa kita tidak dapat menyelamatkan diri sendiri, tetapi hanya melalui Yesus kita diselamatkan daripada dosa dan kematian. Memiliki jalan yang tidak tergoncangkan bukan bermakna hidup kita tidak akan ada cabaran dan penderitaan, tetapi ada Yesus, Imam Agung kita, yang akan senantiasa mendengarkan doa serta tangisan kita (lihat ayat 7). Sebagai anak-anak Tuhan, kita tidak dijanjikan kekebalan daripada dosa, tetapi kita dikuatkan oleh kasih karunia-Nya. Apabila kita menyedari ketidakmampuan kita dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita diundang untuk mendekat kepada Dia dalam keintiman dan menikmati kepenuhan-Nya dalam hidup kita.
Doa:
Tuhan Yesus, terima kasih kerana menjadi Imam Besar kami. Kami serahkan kepada-Mu mereka yang belum menerima-Mu sebagai Tuhan dan Juruselamat agar mereka menerima kasih karunia keselamatan melalui Engkau. Kiranya Engkau juga memberikan kami kekuatan, penghiburan, dan iman yang tak tergoncangkan, khususnya bagi mereka yang melayani dalam pelbagai pelayanan.
Berdoa agar bantuan dan perkhidmatan kebajikan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat akan diperluaskan untuk memberi manfaat kepada sektor masyarakat yang lebih lemah seperti kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, orang miskin, NGO, dan mangsa bencana.
Berdoa agar gereja-gereja Malaysia yang menjangkau komuniti yang kurang berupaya akan dilengkapi dengan baik untuk menangani cabaran mereka dan agar mereka akan memampukan komuniti ini berdikari.
Rev Rion Anjangkal
Comments