top of page

DOA NECF Hari 20: Belajar Ketaatan

Kitab Suci: Ibrani 5:8 – 14


Renungan:Istilah “belajar ketaatan” yang digunakan dalam Ibrani 5:8 tidak bermaksud Yesus memiliki kekurangan dalam ketaatan atau kepatuhan kepada Tuhan. Dalam konteks ini, istilah “belajar” lebih merujuk pada pengalaman hidup Yesus sebagai manusia di bumi dan penderitaan-Nya selama menjalani misi-Nya sebagai Juruselamat.


Yesus, sebagai Tuhan yang menjelma dalam rupa manusia, memilih untuk mengalami kehidupan manusia dengan semua kecenderungan dan penderitaannya. Melalui pengalaman tersebut, Dia menjalani setiap aspek kemanusiaan, merasakan godaan, pencubaan, dan penderitaan seperti yang dialami manusia. Ini bukanlah proses “belajar” dalam erti kekurangan pengetahuan atau ketaatan, tetapi lebih sebagai pengalaman hidup-Nya sebagai manusia.


Bagaimana dengan kita hari ini? Sering kali dengan pelbagai cabaran, godaan dan penderitaan hidup ini membuat kita menjadi tidak taat dan tidak setia. Kita gagal untuk taat kepada pengajaran Firman dan kehendak Tuhan. Akibatnya kita tidak lagi setia kepada Tuhan gara-gara tawaran dunia ini. Sebab itulah penulis kitab Ibrani berkata makanan keras adalah untuk mereka yang matang dalam iman. Hanya seseorang yang matang secara rohani boleh terus mempelajari ketaatan dan kesetiaan.


Renungkan, di tahun 2024 ini sudah berapa tahun kita menjadi orang Kristian? Adakah kita masih mengambil susu rohani atau makanan keras rohani? Jika ditinjau dari sudut waktu, mungkin sepatutnya kita sudah menjadi guru atau teladan rohani kepada mereka Kristian yang masih “bayi” sekarang. Tetapi, jika kita tidak mahu taat dan setia pada Firman dan kehendak Tuhan maka kita masih tergolong sebagai “bayi Kristian”. Mari fikirkan bagaimana kita boleh terus bertumbuh dalam ketaatan kepada Kristus melalui pengalaman hidup kita. Juga, mari renungkan peranan kita dalam mengajar dan menerima ajaran rohani, dan bagaimana kita dapat membangun dan memperkuatkan satu sama lain.


Doa:

  • Tuhan Yesus, terima kasih atas Firman-Mu hari ini. Tolonglah kami untuk bertumbuh lebih kuat dalam ketaatan dan untuk memahami kebenaran rohani yang lebih mendalam melalui Roh Kudus. Kami berdoa kiranya kerinduan ini akan membantu kami menjadi lebih matang dalam iman kami sebagai orang percaya dan untuk menjalani kehidupan yang tak tergoncangkan dalam perjalanan kami bersama-Mu. Amin.

  • Berdoa agar Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berusaha untuk memulihara alam sekitar kita dengan adanya pembangunan, ini akan menerima sokongan penuh daripada semua pihak berkepentingan untuk hasil yang berjaya.

  • Berdoa agar, sebagai agen Tuhan di bumi, Gereja akan belajar untuk menyampaikan nilai-nilai yang sesuai dan beretika dan mewujudkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar supaya generasi kita sekarang dan akan datang menjaga alam sekitar kita sebagai amalan harian.


Rev Rion Anjangkal

ความคิดเห็น


bottom of page