Kitab Suci: Ibrani 6:9 – 12
Renungan:
Kerana keselamatan kita dalam Kristus Yesus telah memulihkan hubungan kita dengan Tuhan, kini kita dapat memanggil Dia, Abba, Bapa. Roma 8:16 mengatakan kita adalah anak-anak Tuhan. Ayat 17 mengatakan, “Dan jika kita adalah anak, maka kita juga adalah ahli waris, maksudnya orang-orang yang berhak menerima janji-janji Allah, yang akan menerimanya bersama-sama dengan Kristus, yaitu jika kita menderita bersama-sama dengan Dia, supaya kita juga dipermuliakan bersama-sama dengan Dia.”
Efesus 2:10 mengatakan, “Karena kita ini buatan Allah, diciptakan dalam Kristus Yesus untuk melakukan pekerjaan baik, yang dipersiapkan Allah sebelumnya. Ia mau, supaya kita hidup di dalamnya.” Marilah kita melakukan pekerjaan baik dan bekerja demi Nama-Nya kerana itu adalah sebahagian dari rancangan Tuhan selepas penyelamatan. Mengasihi Tuhan dan sesama merupakan perkara penting dari sifat baru kita dalam Kristus Yesus.
Tuhan mengingati perbuatan baik, kasih, dan jerih payah kita untuk Kerajaan-Nya kerana Dia adil. Marilah kita terus bertekun lebih gigih lagi dengan pengharapan dapat mewarisi janji-janji-Nya pada masanya sambil menunggu dengan sabar. Kita bertahan kerana pengharapan dan pengharapan ini tidak akan pernah mengecewakan. Roma 5:5 mengatakan, “Dan pengharapan tidak mengecewakan, karena kasih Allah telah dicurahkan di dalam hati kita oleh Roh Kudus yang telah dikaruniakan kepada kita.”
Doa:
Bapa Syurgawi yang dikasihi, kami berterima kasih kepada-Mu kerana mengingati pekerjaan kami, walaupun tidak signifikan jika dibandingkan dengan pekerjaan Anak-Mu, Yesus. Kami dapat melakukan pekerjaan yang baik kerana Engkau telah membolehkan kami berbuat demikian, dan kami menantikan Hari yang akan datang apabila kami akan mewarisi Kerajaan yang telah Engkau sediakan untuk mereka yang mentaati Engkau. Dalam nama Yesus, kami berdoa, Amin!
Berdoa agar pembaharuan yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membentuk belia dan budaya sukan akan terus maju dan agar semangat kasih sayang, kecemerlangan, dan perpaduan akan dibangunkan dengan kukuh dalam diri belia Malaysia.
Berdoa agar gereja-gereja di kawasan bandar dan luar bandar menjadi kreatif apabila menjangkau komuniti belia mereka, dan agar program yang mereka reka akan menarik belia namun, pada masa yang sama, membimbing mereka kepada Kebenaran dalam Yesus.
Rev James Doss
Comments