Kitab Suci: Ibrani 6:13 – 15
Renungan:
Sebab ketika Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, Ia bersumpah demi diri-Nya sendiri, karena tidak ada orang yang lebih tinggi daripada-Nya, kata-Nya: “Sesungguhnya Aku akan memberkati engkau berlimpah-limpah dan akan membuat engkau sangat banyak.” Abraham menanti dengan sabar dan dengan demikian ia memperoleh apa yang dijanjikan kepadanya. (Ibrani 6:13-15)
Tuhan, secara sifat-Nya, tidak berbohong, dan Dia setia kepada janji-janji-Nya. Dia berjanji bahawa Dia akan memberkati Abraham dan memperbanyak keturunannya; memeterai sumpah-Nya dengan bersumpah atas diri-Nya sendiri kerana tidak ada yang lebih besar daripada Dia. Janji ini sekarang telah dimeterai dan dijamin, dan Tuhan pasti akan memenuhinya dengan cara apa pun. Bilangan 23:19-20 mengatakan, “Allah bukanlah manusia, sehingga Ia berdusta bukan anak manusia, sehingga Ia menyesal. Masakan Ia berfirman dan tidak melakukannya, atau berbicara dan tidak menepatinya? Ketahuilah, aku mendapat perintah untuk memberkati, dan apabila Dia memberkati, maka aku tidak dapat membalikkannya.” Berkat Tuhan tidak dapat diubah, demikian juga janji-janji-Nya.
Kehidupan semua golongan patriak, bangsa Israel, dan tokoh-tokoh besar dalam Tuhan di seluruh Alkitab berpusat pada janji-janji Tuhan. Janji-janji Tuhan yang tidak tergoncangkan telah mengubah kehidupan dan masih mengubah kehidupan sesiapa sahaja, termasuk kita.
Tuhan mempunyai banyak janji bagi kita yang mencari wajah-Nya, mendengar suara-Nya, dan membaca firman-Nya setiap hari. Dalam Yeremia 29:11, Tuhan mengadakan perjanjian dengan bangsa Israel ketika mereka ditawan di Babel dan mereka berpegang kepada janji-Nya selama 70 tahun sampai janji itu terjadi.
Kita, keluarga kita, dan Gereja secara keseluruhan memiliki janji pengharapan yang akan digenapi oleh Tuhan pada waktu-Nya. Marilah kita berpegang teguh pada janji-janji ini, baik secara individu mahupun bersama, sebagai “Ia yang memanggil kamu adalah setia, Ia juga akan menggenapinya.” (1 Tesalonika 5:24)
Doa:
Bapa Syurgawi yang dikasihi, terima kasih atas semua janji baik-Mu dalam Kristus Yesus. Kami yakin bahawa kami mempunyai pengharapan dan masa depan, dan kami lebih daripada sekadar pemenang atas segala rintangan dalam hidup ini. Kami percaya pada janji-janji-Mu yang tidak pernah gagal. Dalam nama Yesus, Amin.
Berdoa agar Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri mencapai tiga fokus utamanya iaitu mengeluarkan lebih ramai orang daripada muflis, memperkukuh perkhidmatan bantuan guaman, dan mengambil tindakan terhadap ‘scammer’.
Berdoa agar peguam dan pekerja perundangan Kristian akan menegakkan kedua-dua undang-undang negara dan hukum-hukum rohani dalam Alkitab sambil menggunakan sepenuhnya kepakaran mereka dalam membela orang yang memerlukan dan yang tidak bersalah serta menegakkan kebenaran dan keadilan Tuhan di bumi.
Rev James Doss
Comments