Kitab Suci: Yohanes 10:30; 14:6, 14:15; Ibrani 8:6, 9:15
Renungan:
Yesus disebut sebagai “Pengantara yang Satu” diterjemahkan daripada kata Yunani Mesites (Ibrani 8:6, 9:15). Tuhan berinkarnasi sebagai Yesus Kristus, kemanusiaan-Nya sebagai Pengantara yang satu-satunya di antara Tuhan dan manusia.
Mengasihi Yesus bererti kita mengasihi Bapa-Nya kerana Dia dan Bapa adalah satu (Yohanes 10:30). Sebagai respon atas kasih-Nya, maka kita wajib mentaati Dia. “Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku” (Yohanes 14:15). Yesus menginginkan kita selalu berdoa kepada Bapa-Nya dan mentaati perintah-perintah-Nya melalui-Nya agar kita sentiasa memiliki kedamaian, sukacita, dan kekuatan untuk melakukan kehendak-Nya dengan kasih, sabar, rendah hati, dan penuh hikmat.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia melaporkan bahawa kes jenayah dalam talian dari Januari hingga September 2023 telah meningkat sebanyak 23% berbanding tahun 2022. Mangsa penipuan scam bukan sahaja termasuk warga emas dan pesara tetapi juga golongan profesional seperti pensyarah, guru, jurutera, dan doktor. Jenayah penipuan bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada negara tetapi juga membawa kepada kemurungan dan kemerosotan kesejahteraan keseluruhan mangsa.
Dalam dunia yang jahat ini dengan jenayah dan penipuan yang semakin meningkat, masyarakat semakin hilang kepercayaan di antara satu sama lain, dan masalah mental telah menjadi salah satu isu paling mencabar yang perlu ditangani oleh Gereja. Namun kita mempunyai iman untuk mengatasinya, kerana Yesus pernah berkata, “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup” (Yohanes 14:6). Segala masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan melalui campur tangan-Nya. Tidak kira betapa kencangnya ribut yang kita hadapi, Tuhan akan mengurniakan kita kuasa dan kekuatan untuk mengatasinya (lihat Mazmur 68:36).
Doa:
Tuhan Yesus, kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkaulah Pengantara kami yang setia pada masa kesusahan. Kiranya Engkau memberi kami kebijaksanaan dalam menangani situasi kami. Jauhkanlah hati kami daripada ketamakan dan fikiran kami daripada tipu muslihat. Dalam nama Yesus, Amin.
Berdoa agar, ketika Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan yang unggul, mereka mempunyai cara, kemahiran, kebijaksanaan, dan pengetahuan untuk mewujudkan suasana yang bersatu padu, sejahtera, dan bermaruah.
Berdoa agar Gereja mempunyai semangat keusahawanan seiring dengan usahanya untuk meneroka pengembangan pelayanan di tempat kerja. Berdoalah agar kita menjadi orang yang menggunakan karunia dan pengetahuan kita dengan baik, dan yang melipatgandakan sumber yang diberikan kepada kita untuk kemuliaan-Nya.
Pr Doris Mayven
Comentários