Kitab Suci: Matius 6:33; Roma 12:1; Yohanes 13:34-35; Yesaya 9:5; Efesus 4:31-32
Renungan:
Kematian Yesus di kayu salib memberi makna pengorbanan yang sejati dalam kehidupan orang Kristian. Sebagai pengikut-Nya, pengorbanan bererti melakukan apa yang diperintahkan Tuhan sama ada dari segi masa, harta, dan usaha kita untuk melakukan pekerjaan-Nya. Tuhan memerintahkan, “Carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya” (Matius 6:33). Kesanggupan kita untuk berkorban merupakan tanda pengabdian kita kepada-Nya.
Inti pengorbanan sejati ialah kasih Yesus. Yesus telah menunjukkan kasih-Nya dengan memberikan nyawa-Nya. Inilah kasih yang sejati—untuk kepentingan orang lain, dilakukan dengan rela dan tanpa syarat. Ini adalah perintah Yesus. Dia memerintahkan kita untuk mengasihi satu sama lain seperti Dia telah mengasihi kita (Yohanes 13:34-35). Kasih bukan hanya perasaan tetapi keputusan untuk menunjukkan cinta kepada orang lain.
Bagaimanakah kita mempersembahkan diri kita sebagai korban yang hidup kepada Tuhan? (Roma 12:1). Dengan menjalani kehidupan dengan penuh kasih Kristus, kita menjadi anak-anak terang di tengah-tengah kegelapan. Setiap hari, kita mempunyai peluang untuk melayani orang lain dan menyemai Firman Tuhan. Penting sekali bagi gereja untuk bangkit dari zon selesa kita dan menjangkau golongan yang memerlukan!
Sebagai sebuah negara yang berbilang budaya, kita harus berdoa dan melakukan yang terbaik untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam negara, sama seperti Yesus yang merupakan Raja Damai (Yesaya 9:5). Marilah kita membuang kepahitan, kegeraman, dan kemarahan terhadap orang lain walaupun kita, sebagai umat Tuhan, diuji, dihina, dan dibenci (Efesus 4:31-32).
Doa:
Bapa Syurgawi, ajarlah kami untuk memiliki hati yang rela menjadi korban yang hidup. Kami berdoa agar kami mengikuti Yesus dengan roh penyangkalan diri, dan kasih pengorbanan untuk orang lain, dan agar kami dapat mengasihi musuh kami, kerana itulah kasih yang telah Engkau tunjukkan kepada kami. Dalam nama Yesus, Amin.
Berdoa agar apabila Kementerian Perpaduan Negara menjalankan kempen yang membantu memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia (seperti Kawasan Pengawasan Kejiranan, Semangat Nasionalisme, Semangat Perpaduan dan Komuniti Penyayang), kita akan memberi respon yang baik dan menyokong usaha tersebut dalam kehidupan peribadi dan masyarakat.
Berdoa agar gereja-gereja di Malaysia mentaati Firman Tuhan dan berusaha untuk mengekalkan kesatuan Roh dalam ikatan perdamaian.
Pr Doris Mayven
Comments