Kitab Suci: Yeremia 3; Yesaya 49:15; Ibrani 8:10
Renungan:
Tuhan sering menggambarkan hubungan-Nya dengan umat-Nya sebagai sebuah pernikahan. Ketika Tuhan menjalin hubungan dengan umat Israel, Dia secara khusus memilih mereka untuk menjadi milik-Nya yang eksklusif. Dalam hubungan perjanjian ini, Tuhan telah berjanji untuk setia dan memberkati umat-Nya. Namun, mereka berpaling dari-Nya dan terus-menerus mengkhianati-Nya.
Yeremia fasal ketiga menyatakan bahawa Tuhan telah menceraikan Israel kerana ketidaksetiaan mereka. Di sini, kasih Tuhan mungkin kelihatan bersyarat. Namun, itu bukanlah keputusan terakhir Tuhan walaupun Dia berhak menceraikan Israel. Tuhan itu penuh belas kasihan; Dia tidak meninggalkan mereka (Yesaya 49:15). Ada dilema di sini, dan penyelesaian Tuhan adalah memberikan janji-janji yang lebih baik kepada umat-Nya melalui perjanjian yang baru, iaitu yang lebih baik.
Ada empat janji dalam Perjanjian Baharu. Pertama, janji memberi keupayaan. Tuhan menaruhkan hukum-Nya dalam fikiran umat-Nya dan menuliskannya dalam hati mereka (Ibrani 8:10). Harus ada transformasi dari dalam, yang melibatkan hubungan batin dan peribadi dengan Tuhan. Kedua, janji bahawa Dia tidak akan meninggalkan kita. Ketiga, janji bahawa kita akan mengenal Dia secara peribadi. Jika Tuhan bekerja di dalam hati kita dan memberi kita hati yang baharu, kita akan mengetahui siapa Dia. Keempat, janji pengampunan dosa kita.
Kini setelah kita menjadi milik Kristus, kita tidak boleh meremehkan kasih-Nya yang tidak ternilai harganya. Perjanjian baharu ini seharusnya menuntun kita menjadi lebih taat kepada Tuhan dan semakin membenci dosa.
Doa:
Tuhan Yesus, ajarlah kami untuk menepati perjanjian-Mu dengan setia. Ini kerana dalam Perjanjian-Mu, kami menemukan kekuatan, keamanan, kasih, dan jaminan keselamatan kami. Kiranya Engkau memberkati kami dengan iman yang memampukan kami menepati janji-janji-Mu meskipun ketika keadaan dalam kehidupan kami seakan-akan bertentangan dengan apa yang telah Engkau janjikan. Amin.
Berdoa agar Kementerian Pengangkutan akan cekap dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar, serta menambah baik infrastruktur pengangkutan di kawasan pedalaman.
Berdoa untuk orang yang tidak dapat mengikut ibadah atau aktiviti gereja kerana kekangan pengangkutan. Berdoa agar gereja dalam komuniti ini mempunyai tenaga kerja dan sumber daya yang mencukupi untuk mengatasi masalah ini.
Pr Doris Mayven
Comments