Kitab Suci: Ibrani 9:11; Matius 1:23; Yohanes 10:9; 1 Petrus 1:15-16; Ibrani 12:28; 2 Timotius 3:16; Roma 12:2
Renungan:
Yesus Kristus ialah Khemah yang sejati dan sempurna (Ibrani 9:11). Banyak simbol dalam Khemah Suci diambil daripada nubuat dan janji Tuhan dalam Perjanjian Lama mengenai Yesus Kristus. Dalam Perjanjian Lama, Khemah Suci melambangkan hadirat Tuhan di kalangan umat Israel, manakala dalam Perjanjian Baru, ia melambangkan Tuhan Yesus Kristus bersama kita (Matius 1:23).
Khemah Suci hanya mempunyai satu pintu masuk di sebelah timur untuk masuk ke hadirat Tuhan. Ini melambangkan Kristus, yang merupakan satu-satunya cara untuk memperoleh keselamatan. “Akulah pintu. Siapa masuk melalui Aku akan selamat” (Yohanes 10:9).
Apabila kita berbicara tentang Khemah Suci, kita juga berbicara tentang kekudusan. Tuhan memerintahkan kita untuk menjadi kudus kerana Dia kudus (1 Petrus 1:15-16). Perkataan kudus, dalam bahasa Yunani **hagios**, bermaksud untuk diasingkan—diasingkan daripada dosa dan dimurnikan untuk Tuhan. Ia menandakan kualiti yang diperlukan untuk berhadapan dengan Tuhan dan untuk memenuhi syarat untuk melayani Dia. Sebagai anak-anak Tuhan, kita harus meresponi kekudusan Tuhan dengan mempraktikkan kekudusan dalam kehidupan kita. Kita perlu mengekalkan hubungan intim dengan Dia, dan takut serta menghormati Dia (Ibrani 12:28).
Luangkanlah masa untuk belajar Firman Tuhan. Firman yang hidup sangat bermanfaat untuk mengajar, menyatakan kesalahan, memperbetulkan tingkah laku, dan mendidik kita tentang kebenaran (2 Timotius 3:16). Kita perlu memperbaharui fikiran kita supaya kita dapat membezakan kehendak Tuhan: “apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna” (Roma 12:2). Kita tidak dapat hidup dalam kekudusan dengan kekuatan kita sendiri tanpa kuasa Roh Kudus.
Doa:
Tuhan kami Yesus, murnikanlah hati kami melalui Roh Kudus-Mu. Kami berdoa agar kami menjadi bijak dan jujur, dan tidak jatuh ke dalam godaan. Kami juga berdoa untuk satu penerobosan dalam kehidupan kami supaya kami dapat hidup kudus dan benar di bumi, bersaksi kepada dunia kuasa dan kasih Tuhan yang membolehkan kami berbuat demikian. Amin.
Berdoa agar Kementerian Pelancongan berjaya mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya dan menonjolkan keunikannya dalam pasaran pelancongan yang kompetitif supaya industri pelancongan kita akan berkembang maju.
Berdoa untuk pelancongan orang Kristian ke tapak ziarah dan tempat lain yang mempunyai kepentingan Kristian yang bersejarah seperti Tanah Suci, Perjalanan Rasul Paulus dan Camino de Santiago. Berdoa agar Tuhan menyalakan kembali api penginjilan dan misi ketika orang Kristian melawat, mengenang, dan mengagumi tempat-tempat di mana Yesus dan para Rasul telah berjalan.
Comments