Kitab Suci: Ibrani 10:26-39
Renungan:
Penulis Kitab Ibrani menyampaikan mesej, “Janganlah buangkan keyakinan” kepada orang-orang percaya masa kini yang sedang menghadapi pencubaan dan penganiayaan yang besar. Dalam masa pencubaan, ada yang mungkin mundur sementara yang lain mungkin lemah, ada yang tetap teguh bersandar pada Tuhan, sementara yang lain mungkin menunjukkan belas kasihan dengan menemani mereka yang menderita. Mereka yang dengan berani mengandalkan Tuhan dan mempertahankan pola fikir yang teguh sering kali harus mengerahkan lebih banyak upaya serta membayar harga yang tinggi dalam menghadapi pengawasan, cemuhan, dan penyalahfahaman oleh orang lain. Melalui orang-orang percaya seperti itulah Tuhan menyelesaikan pekerjaan-Nya yang indah.
Pandemik COVID-19 yang terjadi sekali dalam satu abad telah menguji kita. Sejauh manakah kita sudi untuk melangkah maju membantu orang lain atau menjadi berkat bagi mereka sambil berusaha mencegah daripada dijangkiti? Dapatkah kita juga menjaga hati yang gagah berani sambil memberitakan Injil dengan mengesampingkan kesombongan kita dan dengan berani melibatkan diri dengan orang lain?
Ketika kita berdoa dan memohon kebangunan rohani, Tuhan menunggu anak-anak-Nya dengan berani mengongsikan Injil-Nya. Kiranya Dia menolong kita untuk melihat orang lain bukan dengan mata kita sendiri melainkan melalui mata-Nya. Semoga kita memanfaatkan setiap kesempatan untuk mengongsikan berita baik kepada mereka dengan keyakinan. Selama 40 hari puasa dan doa ini, semoga kita menjangkau rakan-rakan yang belum percaya dan marilah kita mengongsikan Injil yang luar biasa ini kepada mereka tanpa rasa takut! Ingatlah: Setiap orang memerlukan Tuhan!
Doa:
Ya Tuhan, terima kasih kerana mengingatkan kami bahawa, selain berdoa, kami harus mengambil tindakan dan memberi kepada pekerjaan-Mu melalui pemberitaan Injil dengan hati yang tidak tergoncangkan dan berani. Tolonglah kami untuk dengan berani mengongsikan berita baik dengan ketekunan. Dalam nama Yesus, kami berdoa. Amin!
Berdoa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memiliki pengetahuan dan kemahiran yang baik dalam pengaturan harga dan kawalan barangan, dan hak pengguna akan dipelihara dan diutamakan.
Berdoa agar Tuhan menyentuh ramai usahawan Kristian untuk melihat perniagaan mereka sebagai satu cara untuk melayani Tuhan dan Kerajaan-Nya, dan agar mereka didorong oleh agenda penyelamatan jiwa dan pemuridan. Berdoa agar kualiti produk dan perkhidmatan mereka memberi kesaksian akan kebesaran dan kebaikan Tuhan.
Pr Grace Lee
Comments