top of page

DOA NECF Hari 37: Sion Yang Tidak Tergoncangkan

Kitab Suci: Ibrani 12:22-24


Renungan:

Gunung Sion melambangkan tempat tinggal dan hadirat Tuhan serta peristiwa yang akan berlaku iaitu kota syurga yang terdapat sehimpunan besar para malaikat. Ini adalah kerajaan masa depan yang tidak tergoncangkan, kerana ini adalah tempat di mana Tuhan akan melaksanakan penghakiman-Nya. Pada masa yang sama, Yesus berperanan sebagai pengantara kita dan maka, jiwa orang benar akan disempurnakan. Perjanjian ini dibuat dengan darah Tuhan yang mahal. Dengan demikian, mereka yang percaya kepada Yesus akan memperoleh kehidupan kekal, iaitu Kerajaan yang tidak tergoncangkan. Di Kerajaan ini, Tuhan memerintah dan bertakhta di hati umat-Nya, membawa kuasa dan pengaruh untuk misi.


Gunung Sion adalah perjanjian baru yang ditetapkan oleh Kristus Yesus dengan umat manusia dua ribu tahun yang lalu. Janji ini diberikan kepada mereka yang ada di dalam Kristus, menawarkan kepada mereka pengharapan akan kehidupan kekal, dengan memasuki hadirat Tuhan yang kekal. Betapa indahnya janji yang dipegang ini kerana tidak akan ada lagi penyakit, kesakitan, kesedihan, tangisan, atau bahkan kematian. Hal-hal yang lalu, atau hal-hal di masa lalu, semuanya akan menjadi sejarah. Bagi kita yang masih hidup hari ini, marilah kita mengejar dengan sungguh-sungguh dan mensyukuri Tuhan yang telah memberikan keselamatan kepada kita. Di akhir zaman ini, marilah kita memberitakan dengan segenap hati betapa besarnya kuasa Injil ini, agar setiap orang yang percaya kepada Tuhan Yesus sebagai Juru Selamat mereka tidak binasa, melainkan beroleh kehidupan yang kekal.


Doa:

  1. Tuhan, bukalah mata kami dan arahkanlah pandangan kami ke Gunung Sion seiring dengan kerinduan kami terhadap Kerajaan yang tidak tergoncangkan. Pakailah kami untuk membawa orang lain kepada Kristus supaya mereka dapat berkongsi dengan kami berkat-berkat syurga yang besar. Kami berdoa dengan sungguh-sungguh bagi mereka yang belum diselamatkan, agar mereka dapat mendengar Injil dalam hidup mereka, merasakan sukacita keselamatan, dan mengambil bahagian dalam Gunung Sion yang tidak tergoncangkan.

  2. Berdoa agar Kementerian Kerja Raya mencapai kecemerlangan dalam pembangunan dan pengurusan jalan persekutuan, memenuhi standard keberkesanan kos, kualiti, dan mengekalkan persekitaran pembinaan yang kondusif.

  3. Berdoa agar kerja-kerja Gereja bukan sahaja sihat, kukuh dan berkekalan di bumi ini tetapi agar ia juga dapat bertahan dalam api pembersihan-Nya, bertahan dalam ujian dan akhirnya membawa kepada kita menerima ganjaran syurga.


Rev Paulus Wong

Comments


bottom of page