Kitab Suci: Ibrani 1:5-14
Malaikat – makhluk misteri yang muncul di seluruh Kitab Suci. Seorang malaikat dapat melenyapkan seluruh pasukan yang berjumlah 185,000 orang dalam satu malam (lihat 2 Raja-raja 19:35). Seorang malaikat dapat mengambil nyawa setiap anak sulung daripada seluruh bangsa (lihat Keluaran 12:29). Penampakan malaikat begitu mulia sehingga bahkan orang-orang kudus yang paling suci sekalipun tidak dapat bertahan tetapi tersungkur dalam penyembahan (lihat Wahyu 19:10). Kegiatan malaikat sangat memberi kesan sehingga dapat mempengaruhi seluruh bangsa-bangsa (lihat Daniel 10).
Ini bermakna malaikat-malaikat tidak boleh dipermainkan. Mereka bukanlah ‘cupid’ gemuk kecil yang berterbangan seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Tidak, mereka adalah makhluk yang sangat berkuasa yang diutus oleh Tuhan untuk menyampaikan mesej-mesej-Nya.
Roh-roh yang melayani ini adalah nyala api Tuhan (lihat Ibrani 1:8). Namun, penulis kitab Ibrani ingin kita tahu, jika dibandingkan dengan Kristus, nyala api ini hanyalah lilin bagi Matahari. Sinaran Sang Anak jauh lebih terang dari segala ciptaan.
Bagaimanapun juga, malaikat Gabriel yang sangat dihormati hanyalah seorang utusan yang menyampaikan Mesej yang Tidak Tergoncangkan tentang “berita baik dan sukacita besar bagi semua orang” – bahawa bagi kita telah lahir Juru Selamat (Lukas 2:10-11). Walaupun kita tidak layak, kita adalah penerima mesej yang menakjubkan ini.
Tetapi itu tidak berakhir di situ. Pada akhir zaman, Kitab Suci mengatakan bahawa kita yang mewarisi keselamatan suatu hari nanti akan menghakimi bahkan para malaikat (lihat 1 Korintus 6:3). Cuba fikirkan lagi betapa kuat dan agungnya makhluk-makhluk malaikat ini. Pertimbangkan juga betapa kecil dan lemahnya kita. Hal ini tidak masuk akal kecuali mesej Kristus yang tidak tergoncangkan. Sebab di dalam Dialah yang lemah dijadikan kuat, yang fana dijadikan abadi, yang berdosa dijadikan benar, dan yang rendah hati ditinggikan. Dan demikianlah adanya: Kami akan menghakimi para malaikat. Biarkan hal itu terpahat dalam fikiran kita.
Doa:
Ya Tuhan Bapa, “Apakah manusia itu sehingga Engkau memperhatikannya, dan anak manusia yang Engkau kunjungi?” Fikiran kami tidak dapat memahami kasih dan perkenanan tersebut. Engkau telah melimpahkan kepada kami. Biarlah hal itu menjadikan kami rendah hati namun yakin akan Mesej Kristus yang Tidak Tergoncangkan. Amin.
Berdoa agar rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat menjadi inovatif dalam bidang kepakaran dan profesion mereka supaya kita, sebagai sebuah negara, akan maju dengan pesat dengan idea baharu, proses yang dipermudahkan, perkhidmatan yang lebih baik, dan kualiti produk.
Berdoa agar Gereja menjadi inovatif dalam menyampaikan mesej Injil dalam zaman perubahan yang pesat ini supaya kita boleh kekal relevan dan mengikuti keperluan dunia tanpa menjejaskan mana-mana bahagian mesej Injil.
Rev Lee Yew Meng
Comentarios